PH tak serah kerusi menang kepada Muda, kata Anwar

PH tak serah kerusi menang kepada Muda, kata Anwar

Pengerusi PH itu menjelaskan secara prinsip kerusi dimenangi PH pada pilihan raya umum lalu kekal ditandingi parti penyandang.

Anwar Ibrahim berkata pengumuman mengenai permohonan Muda menjadi komponen Pakatan Harapan (PH) akan dibuat dalam tempoh terdekat. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
PETALING JAYA:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim membayangkan gabungan itu tidak akan memberi laluan kepada Muda di kawasan dimenangi komponennya, pada pilihan raya umum lalu.

Menurut Anwar, perbincangan antara komponen masih berjalan dan sebarang pengumuman berkaitan akan dibuat dalam tempoh terdekat.

“Ada perkembangan di beberapa negeri dan keputusannya akan diumumkan sedikit masa,” katanya selepas sesi dialog dengan belia, di Kuala Lumpur.

Anwar menjelaskan, meskipun ruang perbincangan lanjut sentiasa terbuka sekiranya parti komponen bersetuju, namun secara prinsip kerusi dimenangi PH kekal ditandingi parti komponen penyandang.

Beliau diminta mengulas permohonan Muda menyertai PH dan sama ada parti diketuai Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu meminta untuk bertanding di kerusi disandang PH.

Anwar berkata, Majlis Presiden PH akan membincangkan permohonan itu termasuk mengambil kira kebimbangan Pemuda PKR terhadap hasrat Muda itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.