
Walaupun C4 mengalu-alukan keputusan supaya semua ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC),serta anggota badan kehakiman mengisythiharkan aset mereka, C4 berkata undang-undang diperlukan untuk memastikan ahli politik dan kakitangan awam turut membuat pengisytiharan harta.
Pengarah eksekutifnya Cynthia Gabriel, berkata pihaknya kekal tidak yakin dengan komitmen kerajaan semasa terhadap agenda anti-rasuah.
“Ismail mesti membuat kenyataan dan mengutamakan penggubalan Akta Pengisytiharan Aset sebagai perkara yang utama untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa undang-undang sedemikian akan berkuat kuasa dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga berkata, undang-undang baharu itu mesti terpakai kepada ahli keluarga dan rakan rapat ahli politik, serta ketua perkhidmatan awam.
“Semua 13 kerajaan negeri mesti menggubal Akta Pengisytiharan Aset mereka sendiri dan ia mesti dikuatkuasakan kepada mereka yang memegang jawatan awam, serta ahli keluarga mereka.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti memulakan penyiasatan dan prosiding ke atas pesalah yang telah menunjukkan tahap kekayaan yang tidak dapat dijelaskan,” katanya.
Cynthia berkata usul Dewan Rakyat yang diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 yang memaksa Ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka tidak membawa kepada sebarang kesan undang-undang.
Beliau menambah, beberapa Ahli Parlimen tidak mematuhinya, usul itu juga tidak lagi dikuatkuasakan dan semua rekod aset yang diisytiharkan tidak lagi berada di laman web SPRM.
Beliau berkata kerangka undang-undang mestilah “merangkumi keseluruhan anti-rasuah” termasuk Akta Pengisytiharan Aset, Akta Perolehan dan Akta Kebebasan Maklumat.
Beliau juga menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuktikan komitmennya dalam memerangi rasuah dengan mengisytiharkan hartanya sendiri berikutan pembebasannya daripada semua 40 pertuduhan rasuah membabitkan sistem visa asing.
Zahid, 69, didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) ketika menjadi menteri dalam negeri.
Dia juga didakwa dengan tujuh pertuduhan lain iaitu memperoleh untuk dirinya sendiri SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat itu.