
Panel tiga hakim terdiri Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Rhodzariah Bujang dan Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohd Norol Latif Abd Raof untuk mengetepikan hukuman mati dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi serta menggantikannya dengan pemenjaraan.
Abang Iskandar memerintahkan tertuduh berusia 55 menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 27 Jan 2018.
Mahkamah juga tidak mengenakan hukuman sebatan kerana usia tertuduh melebihi 50 tahun.
Terdahulu, peguam Charan Singh memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hanya akan meneruskan rayuan terhadap hukuman mati.
Norol dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di Taiping, Perak pada 21 Ogos 2019 selepas didapati bersalah membunuh Mohd Shahrulnizam Abdullah di depan sebuah rumah di Kampung Jong, Gerik, pada 1.20 pagi 16 Jan 2018.
Pada 6 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan dan hukuman dijatuhkan ke atasnya.
Mengikut fakta kes, Norol menikam dada kiri Shahrulnizam selepas mereka bergaduh kerana berebutkan bank kuasa yang didakwa mangsa dicuri oleh tertuduh. Kedua-dua lelaki adalah kawan rapat.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tepi jalan. Dua rakan membawanya ke Klinik Kesihatan Plang di mana seorang pembantu perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Charan Singh, yang dibantu peguam Noor Farihah Arshad, turut memohon hukuman mati Norol diganti dengan penjara 30 tahun namun Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 35 tahun kerana kes itu membabitkan kehilangan nyawa.