Demi rakyat, Zahid-Muhyiddin henti saman fitnah

Demi rakyat, Zahid-Muhyiddin henti saman fitnah

Pada April 2022, Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan dibuatnya dua bulan sebelum itu.

Zahid Hamidi dan Muhyiddin Yassin berharap semua pihak menghormati keputusan menghentikan pertikaian dalam kes saman mereka.
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin bersetuju menghentikan pertikaian dalam kes saman membabitkan keduanya yang difailkan dua tahun lalu.

Pada April 2022, Zahid, presiden Umno memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan dibuatnya ketika menjelang PRN Johor, dua bulan sebelum itu.

Ia melibatkan dakwaan Muhyiddin bahawa Zahid meminta presiden Bersatu itu untuk campur tangan dalam kes mahkamahnya ketika beliau menjadi perdana menteri dari 2020 sehingga 2021.

Menurut kenyataan bersama dikongsi di media sosial dua pemimpin terbabit, keputusan itu diambil selepat mendapat saranan daripada Hakim Mahkamah Tinggi Gan Techiong.

Menurutya, ia turut mengambil kira keadaan semasa negara yang perlu diutamakan terutamanya soal kelangsungan kehidupan rakyat.

“Zahid dan Muhyiddin bersetuju dan mengambil keputusan menghentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

Mereka berharap keputusan itu dihormati selain tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman negara.

Pada prosiding itu, Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Zahid, manakala Muhyiddin diwakili Chetan Jethwani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.