
Laman penstriman media gergasi Netflix mengumumkan kerjasama dengan Studio WIT, studio anime (animasi) yang menerbitkan “Attack on Titan” dan “Ghost in the Shell” dengan tujuan untuk mengembangkan lagi industri anime.
“Di Jepun, kerjaya animator tidak lagi berkembang berbanding permintaan (untuk anime) yang semakin meningkat. Kami ingin mengubah (keadaan) itu,” kata Ketua Penerbit Anime Netflix Taiki Sakurai di laman webnya.
Hasil usaha sama tersebut tercetus sebuah program bergelar “Akademi Animator WIT” yang dipelopori Hitomi Tateno, seorang pembikin anime veteran yang berkhidmat untuk Studio Ghibli hampir 30 tahun.
Peserta-peserta program itu akan menimba ilmu di Institut Sasayuri, yang juga dikenali sebagai Kafe Sasayuri, di Tokyo atas pembiayaan penuh. Setelah tamat program, mereka akan diambil bekerja secara kontrak sebagai animator dengan WIT untuk menghasilkan anime untuk Netflix, lapor Hypebeast.

Namun, tempat adalah terhad. Hanya 10 pemohon akan dipilih untuk menyertai program itu, dan mereka perlu berusia antara 18 dan 25 tahun, telah tamat pengajian sekolah menengah menjelang Mac, dan menetap di Jepun.
Pemilihan juga terbuka kepada warganegara asing, dan mereka hanya perlu boleh berbahasa Jepun untuk perbualan harian.
Selain daripada Tateno dan Sakurai sendiri, George Wada daripada WIT studio juga akan menjadi antara tenaga pengajar program tersebut.
“Untuk berjaya sebagai animator yang berbakat adalah satu perkara, tapi kami juga percaya terdapat peluang untuk animator berpengalaman untuk menurunkan ilmu kepada generasi muda melalui program yang berstruktur,” kata Sakurai.
Mereka yang berminat dan layak boleh memohon di laman web Akademi Animator WIT sebelum 28 Feb.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]