Semak belanjawan tidak bermakna jika masih boros

Semak belanjawan tidak bermakna jika masih boros

Yang kedua, semakan ini tiada makna untuk rakyat marhaen kerana rakyat akan terus terhimpit dalam inflasi yang semakin meningkat dan jurang pendapatan antara miskin dan kaya yang semakin besar.

Lau-Weng-San,bajet-2016

Oleh Lau Weng San

Saya tertarik dengan pendirian Kerajaan Persekutuan yang bercadang untuk menyemak semula Belanjawan 2016 berikutan harga pasaran sedunia minyak mentah yang semakin menyusut. Dikatakan bahawa Belanjawan 2016 dirangka dengan menggunakan harga minyak mentah sebanyak USD40 satu tan sebagai kiraan, maka penyelarasan diperlukan apabila harga ini terus menjunam ke paras USD32 satu tan dan dijangka akan terus jatuh lagi.

Walaupun secara teknikal, semakan ini diperlukan untuk menggambarkan situasi ekonomi sebenar Malaysia, namun begitu, ianya mencerminkan kelemahan asas ekonomi negara kita sehingga penyelarasan demi penyelarasan perlu dijalankan kerana ekonomi Malaysia tidak dapat menyerap “kejutan” yang berpunca daripada kejatuhan harga komoditi utama.

Yang kedua, semakan ini tiada makna untuk rakyat marhaen kerana rakyat akan terus terhimpit dalam inflasi yang semakin meningkat dan jurang pendapatan antara miskin dan kaya yang semakin besar.

Semakan ini akan bermakna untuk rakyat sekiranya beban rakyat dapat diringankan melalui pembatalan atau pengurangan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST. Dalam keadaan di mana pendapatan Kerajaan Persekutuan yang menyusut, sudah pasti ini ialah sesuatu yang mustahil berlaku.

Malahan Kerajaan Persekutuan tidak pernah menafikan kenyataan bahawa kadar 6% GST boleh dinaikkan lagi pada masa depan sekiranya defisit Kerajaan Persekutuan masih tidak bertambah baik. Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan, apakah cara penyelesaian yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengisi kekurangan pendapatan berikutan kejatuhan harga minyak mentah sedunia? Adakah perbelanjaan Kerajaan akan dikurangkan? Adakah kadar GST akan dinaikkan untuk menampung kekurangan pendapatan ini?

Apapun, semakan ini tidak bermakna kepada rakyat sekiranya Kerajaan Persekutuan masih mengekalkan cara perbelanjaan yang boros seperti dahulu. Pentadbiran yang bersih adalah kunci utama untuk memberi kesenangan kepada rakyat.

Lau Weng San merupakan Adun Kampung Tunku

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.