Tanah dan orang Melayu sukar dipisahkan. Kisah tanah sering mewarnai kehidupan dan perhubungan sesama Melayu di negara ini sejak ribuan tahun lalu.
Tanah sangat penting kerana dengan tanahlah orang Melayu dapat mendirikan rumah kediaman, menuai padi, berdusun, berternak dan mengatur kehidupan seharian.
Menerusi tanah juga, orang Melayu membina kekuasaan sehingga terdirinya kerajaan beraja dan kemudian membentuk tamadun.
Mungkin kerana itulah hal ehwal tanah kekal di bawah kuasa negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana negeri pun kalau boleh memang tak nak menyerahkan seinci pun tanah mereka kepada orang lain. Tanah Simpanan Melayu dan tanah adat khusus untuk orang Melayu pula diwujudkan bagi memastikan orang Melayu kekal bertanah.
Begitulah pentingnya tanah kepada orang Melayu. Hakikatnya, kekayaan dan kekuasaan orang Melayu itu dinilai melalui pemilikan tanah.
Ada orang Melayu cakap: “Oh, tak mengapa dia belajar tak tinggi. Tok nenek dia ada tanah banyak. Tiada masalah punya.”
Begitulah hebatnya nilai tanah dalam sosio budaya memasyarakatan orang Melayu dan kerana hebatnya nilai tanah itu, banyak juga kes berebut tanah dalam sesebuah keluarga yang kita dengar sejak dahulu lagi.
Kes berebut tanah dalam kalangan anggota sesebuah keluarga itu sering menjadi dugaan hebat orang Melayu untuk bersatu dan maju ke hadapan.
Banyak juga kes di mana apabila tanah hendak dimajukan, ada sahaja suara anggota keluarga yang membantah atas pelbagai alasan. Jual tanah dan bolot semua hasil pun ada juga.
Rasanya sudah banyak drama dan filem Melayu mengetengahkan konflik keluarga yang membabitkan perebutan tanah ini. Memang ada kes sampai buang mak ayah, adik beradik, bapa dan ibu saudara termasuk sepupu seperti yang dipaparkan dalam filem dan drama Melayu yang mengangkat isu perebutan tanah.
Apa-apa pun kita semua wajar ingat dan saling berpesan yang manusia ini pun dijadikan daripada tanah dan kepada tanah jualah kita kembali.
Tak usahlah bergaduh sampai putus saudara sebab tanah. Tidak berbaloi. Mana-mana orang Melayu yang ada tanah itu, uruskan dengan sebaik-baiknya dan bangunkanlah tanah itu mengikut undang-undang.
Kalau kita berbudi kepada tanah, tanah itu akan berbudi kepada kita semula.
