Saya tak takut pergi Batu Caves

Saya tak takut pergi Batu Caves

Kepada mereka yang beragama Hindu, bertandang ke Batu Caves atau mana-mana kuil sempena sambutan Thaipusam, jangan lupa doakan keselamatan negara.

Thaipusam_600

Pagi tadi mak menelefon saya, tanya betulkah saya mahu berjalan menyertai perarakan kereta berhala ke Batu Caves malam ini?

Soalan itu mengejutkan, kerana ibu tahu benar rutin saya. Walau apapun berlaku kecuali berkaitan kesihatan, saya tetap akan menunaikan nazar saya, berjalan kira-kira 18 kilometer dari kuil Maha Mariamman di Jalan Tun H.S.Lee ke kuil di Batu Caves.

Kenapa mak? Bukankah memang saya berjalan setiap tahun? Bukankah itu sudah semacam tradisi?, tanya saya.

Benar, saya berjalan sejak dari kanak-kanak lagi, seawal usia sembilan atau 10 tahun. Waktu itu dengan ibu, ayah, makcik dan kakak saudara. Kami dalam 10 orang.

Sepanjang perarakan, macam-macam perkara berlaku. Selain perkara berkaitan keagamaan seperti pemujaan, lagu-lagu doa, mantera yang dimainkan oleh sami, persembahan tarian tradisional dan pengedaran makanan serta minuman percuma oleh para penganut, persatuan, NGO dan parti politik, macam-macam perkara lain pun akan berlaku.

Selalunya yang menjadi isu ialah perbuatan mamat-mamat sebangsa saya yang mencemari perarakan suci itu dengan perbuatan keji, kotor dan memalukan.

Tak, saya tak cerita pasal buang sampah, itu perkara paling remeh, semua orang pun terdorong buang sampah dalam keadaan sesak.

Yang menjadi perhatian negatif ialah kegiatan anak muda tidak bertamadun yang suka melakukan kacau ganggu dengan minum alkohol secara terbuka, wheelie motorsikal, tekan injak-injak enjin kereta bikin bising, buka lagu (bukan lagu sembahyang) kuat-kuat, dan sepertinya (banyak lagilah). Memang marah sungguh saya. Langsung takde hormat pada Dewa Muruga.

Tapi, kita kena banyak bersabar dan fokus pada nazar kita. Itulah nasihat mak dan ayah. Lagipun sejak dua tiga tahun yang lepas, aktiviti serupa monyet itu sudah berkurangan, sangat banyak berkurangan. Syukur.

Tetapi tahun ini, mak tanya soalan seolah-olah ada perkara yang membuatkan dia tak senang hati. Seolah-olah dia mahu saya tukar fikiran.

“Kenapa mak? Ada apa? Mestilah saya ikut, macam biasa,” kata saya.

“Tak, bukan… semua ok kan? Hmm maksud saya takde yang perlu ditakuti ke?,” dan saya sudah boleh hidu apa yang merunsingkannya.

Lantas, saya bagitau, “Mak tak payah risau. Tuhan kan ada, bukankah itu yang mak ajar saya…jangan risau.”

Tetapi ibu saya tetap berkelakuan seperti tidak sedap hati. Entah berapa ramai yang berfikiran sama seperti mak saya. Yang penting, bagi saya selain percaya pada tuhan, saya amat mempercayai sistem keselamatan negara dan menerima perkongsian yang bukan-bukan dalam laman sosial itu dengan waspada.

Ya, saya ulang, saya tak takut pergi Batu Caves.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.