Tauke gerai diasak, tauke pasar raya dibela

Tauke gerai diasak, tauke pasar raya dibela

Peniaga Melayu di Kuala Terengganu terdesak dan terhimpit akibat dasar pihak berkuasa tempatan.

raja-bahrain

Oleh Raja Bahrin Shah

Seorang ibu yang tidak berkemampuan di Kuala Lumpur terpaksa mencuri satu paket Milo kerana anaknya sangat berkeinginan minuman tersebut.

Atas aduan polis oleh pasar raya berkenaan, ibu itu telah dipenjarakan dan didenda RM 200. Sebagai seorang ibu atau ayah kita amat bersimpati atas tragedi tersebut walaupun perbuatan itu salah.

Di Kuala Terengganu pula seorang peniaga kecil, yang juga seorang ayah, di stesen bas juga ditahan dan di ‘lock-up'(penjara) kerana dikatakan cuba menghalang pihak berkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjalankan tugas.

‘Kesalahan’ beliau ialah kerana cuba menghalang pihak berkuasa merampas kain rentang peniaga-peniaga kecil stesen bas yang membantah arahan pihak berkuasa berpindah dengan notis yang pendek kerana projek pengubahsuaian berbelas juta ringgit.

Kedua-dua kes ini ialah contoh tragedi yang menimpa masyarakat kita yang semakin dihimpit tekanan, kenaikan kos sara hidup yang berterusan.

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit, kenaikan sewa dan harga barangan serta kejatuhan jualan perniagaan serta peluang pekerjaan adalah faktor menyebabkan kesengsaraan ini semua.

Kisah ibu yang mencuri Milo telah banyak dilaporkan media, oleh itu saya memilih untuk menceritakan kes ayah yang ditahan di ‘lock-up’ kerana cuba membela nasib beratus peniaga kecil stesen bas yang dipaksa pindah dengan notis yang pendek.

Peniaga – peniaga stesen bas membantah perintah keluar disebabkan keadaan ekonomi penjualan semasa mereka yang sedang rugi dan bermasalah, tiada tempat peniagaan alternatif yang sesuai, kenaikan berlipat kali ganda lesen perniagaan oleh MBKT baru-baru ini, notis yang terlalu singkat dan kenaikan sewa yang tinggi selepas siap ubah suai.

Ini semua mereka akan alami semasa dalam suasana ekonomi negara dan dunia yang diramal akan menjadi bertambah lembab pada tahun ini.

Di sini saya sebagai Anggota Parlimen Kuala Terengganu menyoal kerajaan dan pihak berkuasa, apakah peranan utama mereka menjaga kebajikan dan membela nasib rakyat terutamanya golongan kurang mampu dan miskin ini?

Peniaga kecil dan kedai runcit banyak rugi diasak oleh pembinaan pasar raya seperti Mydin, Giant dan sebagainya walaupun garis panduan kelulusan mereka tidak mengikut panduan bilangan penduduk sebenarnya.

Tahun lalu pula, peniaga pasar malam dan pasar minggu diarah pindah daripada tapak asal biasa mereka dan mengakibatkan penambahan kejatuhan lagi pendapatan mereka.

Tapak perniagaan mereka sering diubah tanpa penambahan kemudahan asas seperti tandas. Tahun lalu juga peniaga dan penjaja bergerak motosikal diasak dan dirampas barang perniagaan mereka secara agresif sehingga berlaku insiden seorang peniaga dikasari beberapa penguatkuasa di Pantai Batu Buruk, di mana laporan polis telah pun dilakukan.

Di mana pembelaan ke atas peniaga kecil Melayu kita oleh kerajaan dan pihak berkuasa terutamanya dalam keadaan ekonomi yang serba mengancam ini?

Kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil sikap lebih realistik mengambil kira kemampuan rakyat sebenarnya. Adakah kebajikan rakyat diutamakan atau imej kerajaan segala-galanya ?

Kenapa stesen bas perlu diubahsuai dengan harga RM14 juta dan dikatakan telah naik kosnya kepada RM43 juta?

Pusat perniagaan bersebelahan stesen bas sehingga hari ini selepas lebih 10 tahun masih belum dibuka, Pusat Paya Bunga Square masih banyak kosong dan rumah kedai di Ladang Tok Pelam masih kosong.

Yang pasti untung ialah kontraktor dan yang pasti menanggung kos adalah pembayar cukai rakyat semua.

Pembangunan untuk siapa kalau peniaga tempatan yang banyak merana dan rugi? Kerajaan perlu berhenti berbelanja sesuka hati mengikut nafsu dan mengerah rakyat untuk membayar dengan pelbagai cukai.

Dua kisah seorang ayah dan ibu yang dipenjarakan dengan ‘kesalahan’ yang begitu kecil amat menyayat hati.

Mereka bertindak membela anak tanggungan mereka dan punca mata pencarian mereka bersama rakan perniaga kecil mereka yang tertekan dan tertindas.

Kontraktor besar dan pemaju terus mengaut keuntungan lumayan tanpa gangguan. Aduan pelanggaran syarat pembangunan oleh pemaju, tidak diambil tindakan yang tegas oleh MBKT.

Aduan ke atas pemaju pangsapuri mewah di Jalan Sultan Omar yang menyebabkan keretakan rumah-rumah berhampiran dan kerosakan jalan awam juga tiada tindakan tegas diambil.

Pembinaan ruang perniagaan dan pasar di atas longkang besar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Cabang Tiga yang jelas melanggar peraturan pembangunan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan tidak ada tindakan diambil, baik di peringkat Negeri atau Persekutuan setelah saya beberapa kali menimbulkan isu ini hingga ke Parlimen.

Peraturan dan undang-undang untuk siapa sebenarnya? Adakah ianya hanya sesuai dilaksanakan ke atas pencuri paket Milo dan pembela peniaga kecil di stesen bas yang layak dipenjarakan ?

Adakah pemaju besar dan kontraktor kebal daripada segala tindakan kerana status serta kedudukan mereka ?

Ini sudah pasti akan terjawab di mahkamah Allah SWT dan mungkin dijawab pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Yang mengambil Milo berharga beberapa ringgit dipenjarakan, sementara yang menyeleweng berbillion ringgit tidak pun didakwa!

Sehingga itu, kita terus menghadapi keadaan seperti ‘hidup di antara dua darjat’ yang diamalkan oleh pihak berkuasa hari ini.

Raja Bahrin Shah adalah Anggota Parlimen Kuala Terengganu

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.