
Laporan serangan Khairuddin terhadap Tengku Adnan atau Ku Nan mengenai gelaran itu sering menarik puluhan ribu pembaca dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Begitu juga penjelasan Ku Nan berhubung gelaran ‘tengku’ pada nama beliau.
Kenapa laporan gelaran ‘tengku’ sangat menarik minat orang ramai untuk mengikutinya terutama orang Melayu kita? Selain faktor Ku Nan sendiri yang mempunyai nilai berita, pemerhatian mendapati orang Melayu sangat sensitif dengan gelaran, pangkat dan darjat. Setiap gelaran yang ada pada nama lazimnya menceritakan keturunan dan asal usul.
Syed, sharifah, tengku, tunku, tun, ungku, engku, megat, puteri, nik, wan dan raja adalah antara gelaran feudal yang diwarisi sejak ratusan lalu. Pada zaman moden ini, gelaran seperti dr, prof, datuk, datuk seri, tan sri serta tun menghiasi cetakan pada kad jemputan kahwin, laporan berita dan perbualan kita hari-hari.
Jika diteliti mengikut kerangka sosial pemikiran orang Melayu, gelaran sedemikian mencerminkan status dan kedudukan seseorang. Benar orang ada nama gelaran ini kalau lihat makan minum sama sahaja, malah tidak hairan warna tahi manusia ada pangkat ‘tun’ dengan ‘lebai’ di kampung tidak jauh bezanya.
Namun, psikologi orang Melayu memperlihatkan mereka sering ‘terkagum’ dengan gelaran dan pangkat ini. Bagi penerima atau yang memakai gelaran, mereka rasa dihargai, mungkin mendapat tumpuan dan suka atau tidak layanan yang diterima memang berbeza berbanding orang kebanyakan.
Ada yang cakap senang buat perniagaan dan mendapatkan pinjaman bank. Tidak pernah pula kita melihat kajian terperinci mengenai dakwaan itu, namun itulah yang sering diperkatakan tatkala seseorang itu mempunyai gelaran tertentu pada namanya.
Kita ingat lagi dengan kawan kita bergelar tunku. Katanya, beliau rasa susah dan adakalanya rasa tertekan dengan tumpuan yang diterima. Orang di negerinya menganggap beliau sebagai senang dan pandai dan ‘berdarah biru’.
“Aku pun macam semua orang, pinjam PTPTN juga. Belajar result (keputusan) lebih kurang saja. Belajar pun di universiti awam juga. Beli kereta pun biasa. Semua tanya aku tunku mana. Tak seronok lah. Kalau aku letak jawatan jadi tunku boleh tak?” katanya ketika berbual dengan kita.
Di sisi Perlembagaan Persekutuan, orang ada gelaran rata-ratanya dikaitkan perjawatan di istana Raja-raja dan balai Undang. Mereka dilindungi dan kedudukan mereka langsung tidak terjejas.
Perkara berkenaan jelas disebut dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sehinggakan sekiranya darurat diisytihar, mereka tetap pada kedudukannya dan dimuliakan. Hanya Raja-raja sahaja boleh melucutkan gelaran mereka. Mereka jugalah orang yang membantu Raja-raja memerintah sekiranya politik Malaysia atau negeri di dalamnya berada dalam keadaan tidak ‘mengizinkan’.
Kepada mereka yang ada gelaran ini, ia bukan untuk tujuan suka-suka dan berbangga, sebaliknya ada amanah yang perlu dipikul. Bukan mudah memikul gelaran pada nama ini. Kepada golongan mempersoalkan gelaran pada nama ini, wajar dihentikan kerana ia hanya membuka aib orang sahaja serta berkemungkinan besar membuka pintu fitnah.