Oleh Mahdzir Ibrahim
Kenyataan Chin Tong, Pengerusi DAP Johor berkaitan kemungkinan yang bakal berlaku di Johor pada PRU 14 yang akan datang, dianggap sebagai suatu ‘andaian semata-mata’ oleh Tan Sri Shahrir Samad, orang besar politik Johor.
Tan Sri juga menambah bahawa ‘andaian’ Chin Tong ini seolah-olah Barisan Nasional Johor tidak berbuat apa-apa untuk merampas kembali kerusi-kerusi mereka yang tewas pada PRU13 yang lalu. Dengan kata lain, apakah Chin Tong ingat BN Johor ini tunggul mati yang tidak berbuat apa-apa untuk kelangsungan hayatnya? Kelihatan Chin Tong ini naïf sangat.
Saya fikir, kenyataan dari kedua-dua tokoh ini harus dibaca dengan hati-hati oleh politikus dan rakyat.
Pertama, mungkin benar kata Shahrir Samad jika 10 peratus undi Melayu beralih arah, Parlimen Johor Bahru (sebagai contoh), masih kekal kepada BN dengan majoriti yang tipis. Tetapi beliau lupa bahawa faktor calon memain peranan yang amat penting. Tambahan pula, beliau telah mengumumkan untuk tidak lagi bertanding pada pilihanraya yang akan datang.
Senario ini perlu kita sedar bahawa, faktor calon disebelah BN memainkan peranan yang penting, berbeza disebelah oposisi yang rata-rata pengundi mengundi untuk parti, baik DAP mahupun PKR atau PAS.
Shahrir Samad sendiri telah membuktikan bahawa kemenangan beliau pada pilihanraya kecil 1988, adalah kerana faktor calon (beliau), bukan kerana parti. Jadi, adakah calon pengganti beliau dikerusi Parlimen Johor Bahru ini setaraf beliau? Siapa lagi tokoh besar di Johor yang setara dengan Tan Sri Shahrir?
Berbanding oposisi, rata-rata kerusi yang dimenangi khususnya di Johor, bukanlah atas faktor ketokohan calon (kecuali Gelang Patah), sebaliknya atas sokongan kepada parti politik. Berapa banyak kerusi DUN yang dimenangi DAP yang mana calon-calonnya dibawah usia 35 tahun yang tiada pengalaman luas seperti beliau.
Ketika ini juga, UMNO khususnya, sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan yang sangat kritikal. Masalah integriti dan krisis kepercayaan kepada pucuk pimpinan, cukup parah. Faktor-faktor ini diselubungi lagi dengan kekacauan berpuak-puak didalam partinya.
Jadi, yang dikatakan lima atau sepuluh peratus oleh Chin Tong itu, jumlahnya tidak boleh dikira dengan jari atau kalkulator sahaja, kerana ada faktor pembolehubah yang lain yang akan menentukan lima atau sepuluh peratus itu sebanyak mana. Ini belum termasuk pengundi baru.
Kedua, hujah Tan Sri Shahrir bahawa kerusi yang ditandingi DAP hanya berbaki 1 di Dun Paloh dan 1 lagi parlimen Tanjung Piai. Beliau mengatakan bagaimana Chin Tong begitu yakin bahawa PKR dan Amanah mampu untuk menyumbang sembilan lagi kerusi yang selebihnya.
Ini satu kenyataan yang cukup cekap oleh politikus besar dan berpengalaman seperti Tan Sri Shahrir.
Beliau memahami bahawa selain ‘menembak’ BN Johor, Chin Tong juga sedang memberi tekanan kepada rakan parti iaitu PKR dan Amanah untuk menyumbang (deliver) kerusi yang lain menerusi sasaran peratusan yang diberinya. Maka kenyataan Tan Sri itu, seakan tersembunyi satu mesej ‘memperlekeh’ kemampuan PKR dan Amanah Johor untuk menyahut cabaran Chin Tong dalam PRU14 itu.
Dari satu sisi yang lain, ini boleh menjadi satu cubaan oleh Tan Sri untuk melemahkan ikatan PH di Johor.
BN Johor sememangnya bukan satu lawan yang mudah untuk dijinakkan. Untuk PH Johor mengambilalih kerajaan negeri juga sememangnya cukup sukar, tetapi kesukaran ini boleh diringankan dengan menafikan majoriti dua pertiga kuasa BN di Dewan Negeri Johor terlebih dahulu.
Dilema terbesar BN Johor ketika ini adalah samada untuk mempertahankan parti atau presidennya, atau kedua-duanya. Suka atau tidak, faktor Presiden UMNO ini telah memecah-belahkan UMNO dan BN Johor. Untuk menyingkirkan Presidennya, mereka harus bekerjasama dengan Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan DAP, Amanah dan PKR.
Tetapi jika mereka bertekad untuk mempertahankan partinya, pasti mereka akan berdepan dengan kesukaran yang lebih hebat dari 2013. Kerana, hari ini isu GST, kelesuan ekonomi dan kelemahan kerajaan pimpinan Najib termasuk skandal dan imej peribadinya, adalah lebih kritikal berbanding isu NFC dahulu. Dan hari ini, kesemua ini adalah resepi yang mencukupi untuk membuatkan UMNO hilang kuasa di Parlimen.
Sanggupkah BN Johor menjadi negeri pembangkang dibawah kuasa kerajaan pusat Pakatan Harapan?
Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor dan bekas calon Parlimen Tanjung Piai
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
