Budi bahasa terhakis, masyarakat Malaysia kian biadap

Budi bahasa terhakis, masyarakat Malaysia kian biadap

Pendidikan dari rumah hinggalah sekolah perlu menekankan nilai murni sebagai asas pembentukan jati diri.

Free Malaysia Today

Oleh Ishak Sairozi

Budi bahasa budaya kita merupakan slogan kebanggaan negara. Budi bahasa ialah norma kehidupan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan santun perkataannya dan indah pertuturannya. Hari ini, masyarakat Malaysia masih terkenal dengan tinggi pekertinya dan mulia sifatnya.

Denyut nadi kempen budi bahasa budaya kita yang bermula 11 Februari 2005, kemudian diberi penjenamaan semula 5 tahun selepas itu dengan nama Budi Bahasa dan Nilai-nilai murni, kini boleh dikatakan kritikal semula selepas 11 tahun usianya. Melihat keadaan hari ini, kita kembali kepada persoalan, adakah budi bahasa bukan lagi budaya kita?

Objektif utama budi bahasa budaya kita adalah melahirkan warganegara bersopan santun dan ramah mesra dalam kalangan masyarakat, bermula daripada barisan hadapan kerajaan hinggalah segenap lapisan masyarakat. Barisan hadapan kerajaan adalah fokus utama kempen ini. Layanan yang diberikan pegawai kerajaan, terutamanya mereka yang berada dalam sektor perkhidmatan merupakan cerminan utama keberkesanan kempen kerajaan ini.

Malaysia boleh berbangga dengan barisan hadapan kerajaan, misalnya pramugari Malaysia Airlines Berhad yang tidak lokek dengan senyuman dan bersopan santun ketika melayan mereka yang dalam perjalanan ke Malaysia. Tiba di Malaysia, teksi yang menyapa pelancong untuk menawarkan khidmat ke serata tempat di negara indah ini tidak pernah lekang senyumannya dari bibir.

Pelancong tiba ke “homestay” keluarga yang penuh sopan melayan kerenah orang luar negara dengan senyuman manis tidak lekang di bibir. Di serata Malaysia, ramah mesra yang diterima menjadikan pelancong luar negara merasakan Malaysia ini seolah-olah semuanya bersaudara. Sayangnya, coretan ini hanyalah angan-angan.

Barisan hadapan kerajaan kini merupakan mereka yang selalu dikritik kerana kurangnya santun dalam berbicara dan tiada senyuman mesra mereka. Walaupun bukan semua, tetapi segelintir yang membuat angkara ini merosakkan imej kerajaan yang sememangnya mengamalkan dasar mesra pelanggan.

Pembaharuan perlu dibuat, aduan dan teguran yang diterima mereka yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan haruslah diambil secara serius, bagi memastikan nama baik perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan masih menjadi pilihan utama mereka yang memberikan kepercayaan melalui undian.

Pengguna media sosial biadap

Selain itu, budi bahasa juga dilihat semakin tidak menjadi budaya dalam masyarakat, khususnya dalam media sosial. Hari ini, tohmahan, fitnah, kata-kata kesat diguna secara meluas tanpa segan silu. Kepesatan perkembangan teknologi menjadikan kita hilang budi bahasa yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Di media sosial, setiap orang langsung tidak menghiraukan pendapat dan perasaan orang lain apabila hendak mengatakan sesuatu perkara.

Gelaran yang diberikan terhadap orang lain sangat memalukan untuk ditulis di ruangan ini. Yang paling tidak sopan dan paling kerap digunakan ialah perkataan ‘macai’ yang bererti pencacai (pengangkut najis). Gelaran ini diberikan kepada mereka yang terlalu taksub dengan pendirian seseorang individu mahupun parti politik. Tidak ada bahasa yang lebih sopan untuk kita menulis di ruangan komen yang boleh dilihat orang awam?

Bahasa yang digunakan hanyalah satu daripada kesalahannya. Di media sosial juga, fitnah dan tuduhan disebarkan secara meluas tanpa usul periksa. Lihat sahaja kes terbaharu mengenai berita kematian pemain bola sepak JDT yang dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung. Perkara ini menjejaskan karier seseorang dan boleh membuat masyarakat salah sangka.

Banyak lagi yang rata-rata masyarakat Malaysia tahu kesan penyalahgunaan media sosial ini yang menghakis nilai murni dalam kalangan kita. Saranan agar penguatkuasaan undang-undang siber dikemas kini sememangnya satu langkah bijak, tetapi paling penting ialah penyuburan semula budi bahasa dan nilai murni dalam rakyat Malaysia secara lahiriah dan batiniah.

Pekerja tidak mesra pelanggan

Secara umumnya, persoalan budi bahasa bukan lagi budaya kita timbul kerana beberapa faktor di Malaysia. Pertama, kurangnya ramah mesra dalam kalangan mereka yang menawarkan perkhidmatan, iaitu antara organisasi dan pelanggan. Pelanggan yang tidak mesra hari ini, besar kemungkinan kerana kebanyakannya ialah warga asing yang tidak peka dengan amalan budi bahasa budaya kita.

Bukan itu sahaja, budi bahasa juga dikatakan semakin tidak wujud berdasarkan sikap pemandu Malaysia di jalan raya. Sampah sarap yang dibuang merata-rata dan juga kemudahan awam yang sengaja dirosakkan. Ini ditambah dengan sikap perokok tegar yang merokok di kawasan larangan merokok dan juga sikap tidak bertolak ansur ketika menggunakan perkhidmatan awam.

Mungkin ada segelintir yang tidak setuju dengan contoh diberikan, tetapi tidak dapat dinafikan pada hari ini, kebaikan yang sedikit seperti memberi tempat duduk kepada wanita mengandung dan membantu orang buta melintas dianggap hero kerana ia terlalu jarang dilihat, walhal ia adalah asas dalam hidup bermasyarakat.

Menyedari masalah ini, beberapa pendekatan harus diambil. Langkah pertama haruslah bermula dengan diri sendiri, di mana masyarakat Malaysia harus ada simpati dan empati sesama kita untuk kembali menyuburkan budi bahasa dalam jiwa masyarakat Malaysia. Seterusnya, kita haruslah mendidik generasi muda untuk bersopan santun dan hidup dengan nilai murni. Pendidikan dari rumah hingga sekolah haruslah menekankan nilai murni sebagai asas pembentukan jati diri.

Pemimpin berbudi bahasa dan peramah

Setiap institusi harus mempunyai usaha mengekalkan nilai murni dan sifat berbudi bahasa ini akan kekal menjadi budaya kita. Langkah paling berkesan ialah kerajaan melalui pemimpin dipilih masyarakat kita pada hari ini haruslah menjadi contoh ikutan. Pemimpin yang berbudi bahasa, ramah dan mesra sepanjang masa bukan hanya ketika pilihan raya haruslah menjadi contoh tauladan. Jika pemimpin sibuk dengan bergaduh dan menuduh menggunakan bahasa kurang enak didengar, maka itulah yang akan menjadi ikutan pengikutnya. Kepimpinan melalui tauladan akan menjadikan kempen 11 tahun ini kembali bernafas seperti sediakala.

Sehingga hari ini, budi bahasa masih wujud dalam budaya rakyat Malaysia, tetapi sifatnya sedikit demi sedikit sedang dihakis. Menjunjung prinsip ke-5 Rukunegara, kesopanan dan kesusilaan, maka marilah kita kembalikan semua kemegahan kita yang menjunjung tinggi prinsip budi bahasa budaya kita.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi darjat kerana bahasa,

Ishak Sairozi adalah eksekutif Yayasan 1Malaysia

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.