Malaysia perlu nasihati Arab Saudi berkenaan Yaman

Malaysia perlu nasihati Arab Saudi berkenaan Yaman

Kerajaan Malaysia sepatutnya menggunakan pengaruh ‘istimewanya’ menasihati kerajaan Arab Saudi supaya tidak bertindak keterlaluan terhadap rakyat Yaman.

raja-bahrin

Oleh Raja Bahrin Shah

Sekali lagi nyawa yang begitu banyak terkorban dengan begitu kejam dalam satu siri pengeboman orang awam di Yaman.

Seramai 145 orang terbunuh dan hampir 500 orang tercedera apabila suatu acara pengebumian di Yaman dibom pasukan tentera sekutu Arab Saudi menggunakan alat senjata bekalan Amerika Syarikat (AS).

Apa jua alasan yang diberi, peristiwa tersebut tidak patut berlaku di antara 2 pihak sesama Islam terutamanya ia melibatkan tempat orang awam.

Ini bukan kali pertama tempat awam disasarkan pihak sekutu tentera Arab Saudi.
Beberapa hari sebelum ini tentera laut AS menyerang beberapa sasaran di Yaman juga.

Sebuah negara kecil dan miskin seperti Yaman menjadi sasaran pihak yang jauh lebih besar dan kaya menjadikan orang awam mangsa utama yang menderita teruk.

Persoalan, di manakah suara negara dunia lain yang kononnya prihatin penderitaan pihak yang lemah dan tidak bersalah di kalangan orang awam yang menjadi mangsa utama terutamanya anak kecil, wanita dan orang-orang tua?

Yaman adalah isu peperangan saudara dalaman dan mengapakah tentera kuasa luar yang besar bertindak begitu ganas dan keterlaluan sementara dunia luar diam?

Dunia barat berdiam diri dalam isu ini. Lebih menghairankan lagi negara-negara Islam juga berdiam diri dalam isu pembunuhan orang awam Islam di Yaman.

Amanah menggesa kerajaan Malaysia bersuara dengan meminta kerajaan Arab Saudi menghentikan serangan sedemikian ke atas sasaran orang awam.

Dalam isu ini, kerajaan sepatutnya menggunakan pengaruh “istimewanya” menasihati kerajaan Arab Saudi supaya tidak bertindak keterlaluan terhadap rakyat Yaman.

Pada awal 2016, saya menyoal di Parlimen penglibatan luar biasa tentera Malaysia dalam latihan tentera Northern Thunder di bawah tentera sekutu Arab Saudi.

Selain Malaysia, hanya negara-negara Arab dan Afrika sahaja yang terlibat dalam latihan tersebut!

Oleh itu, Malaysia sepatutnya menggunakan pengaruh dan hubungan istimewanya dengan tentera dan kerajaan Arab Saudi dalam isu pengeboman kejam di Yaman.

Kerjasama yang begitu erat hendaklah digunakan untuk kebaikan rakyat Islam Yaman yang sering diserang kejam.

Malaysia sepatutnya mendahului negara Islam lain bersuara dalam isu ini.

Raja Bahrin Shah adalah pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.