Kesan pelantikan Trump terhadap Malaysia

Kesan pelantikan Trump terhadap Malaysia

Pelantikan Trump sebagai presiden akan menimbulkan banyak persoalan terutama sekali dalam konteks hubungan AS dengan negara luar.

trump

Oleh Addin Aiman Mohd Noor

Tarikh 8 November merupakan tarikh bersejarah buat warga Amerika Syarikat (AS). Pada tarikh itu, Donald Trump seorang jutawan dan ahli perniagaan dari New York dalam bidang hartanah tampil sebagai juara dalam pertandingan sengit kerusi presiden.

Beliau mengalahkan Hillary Clinton, bekas setiausaha negara AS. Umum diketahui kemenangan beliau sesuatu yang tidak dijangka dan ramai rakyat Malaysia secara keseluruhannya lebih menjangkakan Hillary akan menang.

Pelantikan Trump sebagai presiden akan menimbulkan banyak persoalan terutama sekali dalam konteks hubungan AS dengan negara luar.

Namun, bagaimana Malaysia dan rakyatnya akan terkesan dengan pelantikan sebagai presiden AS ke-45. Apakah masa depan dua hala antara Malaysia dan AS? Adakah ia akan menjadi berbeza?

Berdasarkan laporan bank dunia, AS kuasa ekonomi terbesar di dunia. Negara itu mengawal hampir 22% KDDK atau Gross Domestic Product dunia, pada 16.77 trilion.

Harus diketahui perdagangan dua hala antara Malaysia-AS pada 2015 mencecah AS$50 bilion. Daripada keseluruhan eksport, 8.7% kepada AS.

Lebih menarik lagi, AS rakan dagangan ke-4 terbesar Malaysia. Antara barangan eksport dan import di antara Malaysia dan AS adalah; jentera berat, kapal terbang, produk pertanian, peralatan optik dan kesihatan, besi dan keluli dan komoditi (getah dan minyak sawit).

Masa depan hubungan ekonomi Malaysia-AS

Semasa kempen presiden, Trump menyatakan rancangannya untuk memulihkan suasana ekonomi AS dengan menumpukan lebih kepada ekonomi domestik.

Berdasarkan fakta mengatakan AS merupakan kuasa besar ekonomi dunia yang tunggal, pendirian ekonomi beliau akan memberikan impak kepada ekonomi global, terutamanya Malaysia. Tetapi bagaimana ia akan memberi impak kepada negara?

Berdasarkan kenyataannya semasa berkempen, Trump berjanji untuk balik membawa peluang pekerjaan dan kilang yang diisikan penduduk di negara selain AS.

Ini mungkin menyebabkan kilang milik syarikat AS di Malaysia untuk dibawa balik bagi memberi peluang pekerjaan kepada penduduk Amerika.

Berikut senarai syarikat milik AS beroperasi di Malaysia;

  • Intel (M) Sdn. Bhd. Microprocessor & semiconductor devices
  • Western Digital (M) Sdn. Bhd. Hard disk drives & components
  • Freescale Semiconductor (M) Sdn.Bhd. Integrated circuit
  • Dell Asia Pacific Sdn. Bhd Desktop & laptop personal computer systems
  • First Solar Malaysia Sdn. Bhd. Solar cells & modules.
  • Flextronics Technologies (M) Sdn.Bhd. Computer, telecommunication and networking products
  • National Semiconductor Sdn. Bhd. Integrated circuits.
  • Malaysian Refining Company Sdn.Bhd. Liquefied petroleum gas, chemical naphtha, gasoline, etc
  • Advanced Micro Devices Sdn. Bhd. Integrated circuit
  • SCG Industries Malaysia Sdn. Bhd. Wafer fabrication.

Sehubungan itu, dasar ekonomi Trump akan mungkin memberi impak negatif kepada sistem tenaga kerja negara. Berpuluh ribu rakyat akan kehilangan pekerjaan. Tambahan pula ia akan mengurangkan daya saing antara syarikat tempatan dan luar negara AS sekali gus memberi kesan kepada pasaran.

Tetapi, dasar beliau boleh menyebabkan syarikat tempatan, terutama sekali bidang ICT berkembang dengan lebih mudah tanpa saingan syarikat AS, sekali gus mengembangkan daya inovasi dan penciptaan yang akan memberi kesan baik terhadap pembangunan modal insan negara.

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)

Untuk rekod, Trump dalam ucapan kempennya berjanji untuk membatalkan perjanjian TPP. Dengan pembatalan TPPA, terdapat kemungkinan besar negara Malaysia akan terlepas peluang untuk berdagang dengan AS dengan lebih mudah.

Antara kerugian disebabkan pembatalan perjanjian adalah rakyat tidak dapat membeli dan melanggan barangan dan perkhidmatan dengan harga jauh lebih murah. Oleh itu, negara akan terlepas peluang untuk meningkatkan daya saing pasaran yang boleh memberi kesan positif kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

Tetapi wajar diketahui, dengan pembatalan TTPA, ia dapat menghalang syarikat gergasi AS untuk memonopoli industri dalam negara. Syarikat tempatan, terutama industri kecil dan sederhana tidak akan kalah dalam persaingan dalam pasaran.

Addin Aiman Mohd Noor ialah pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.