Saudi musnahkan Yaman, dunia masih membisu

Saudi musnahkan Yaman, dunia masih membisu

Najib perlu mendesak dan menggunakan hubungan istimewa beliau menggesa kerajaan Arab Saudi menghentikan serangan kejam atas negara berdaulat Yaman, kata ahli Parlimen Amanah.

raja-bahrain
Oleh Raja Bahrin Shah

Resolusi bersejarah Pertubuhan Bangsa Bangsa (PBB) yang mengharamkan Israel daripada meluaskan serta membina rumah dan menduduki tanah Palestin sudah pun diluluskan.

Tahniah kepada anggota Majlis Keselamatan, termasuk Malaysia, yang berusaha ke arah resolusi tersebut. Rakyat Palestin sudah lama menderita dan nasib mereka sukar untuk diubah dalam masa terdekat ini kerana dunia terlalu lama mengabaikan mereka.

Syria yang masih mengalami peperangan yang amat dahsyat juga perlukan perhatian dan tindakan PBB serta dunia luar.

Malangnya, dunia keseluruhannya tidak bertindak seperti sepatutnya dan menyepi begitu lama untuk menyelesaikan persengketaan. Malahan ada kuasa besar dan negara jiran Arab turut ambil bahagian dalam pengeboman dan membekalkan senjata kepada pihak tertentu.

Hanya hampir di penghujung peperangan dan setelah begitu banyak Syria musnah, khususnya bandar Aleppo, baru dunia mula sibuk menunjukkan lebih banyak keperhatinan dan mengutuk apa yang dibenarkan berlaku. Inilah sikap hipokrit dunia hari ini.

Setelah musnah binasa dan kehilangan beratus ribu jiwa baru masing-masing mengangkat suara dan berlakon juara membela rakyat Syria. Ulangan kosong hipokrit gesaan tidak membenarkan trajedi kekejaman di Bosnia berlaku lagi bergema kembali.

Tragedi Palestin, Bosnia dan Syria berlaku dan kini, dunia ingin lupakan tragedi Yaman yang sedang hebat bergolak dan berdarah.

Di Yaman hari ini, angkatan tentera udara Arab Saudi serta sekutunya mengebom hospital, sekolah dan dewan awam termasuk semasa majlis pengebumian yang menyebabkan beratus orang terbunuh.

Tentera Laut Amerika Syarikat pula membedil bandar pelabuhan di pantai Yaman menyebabkan berpuluh terbunuh dalam satu serangan.

Arab Saudi di antara negara terkaya di dunia sementara Amerika pula negara tentera terkuat dunia, 2 gergasi yang menyerang negara kerdil serta termiskin Yaman.

Dunia dan PBB berpura-pura tidak tahu dan kini menyepi ketika semua ini berlaku.

Malaysia mempunyai tanggungjawab besar dalam isu Yaman kerana kita menduduki kerusi Majlis Keselamatan PBB dan juga menyertai pasukan latihan perang dengan negara Arab Saudi serta sekutunya.

Dari sumber diplomatik antarabangsa yang boleh dipercayai, Malaysia dikatakan berbelanja besar melobi kuat untuk tempat di Majlis Keselamatan PBB dan diberitakan belanja besar pergi ke beberapa negara tertentu dan bukan hanya berkempen di ibu pejabat PBB di New York.

Begitu banyak wang habis untuk mendapat prestij nama di Majlis Keselamatan PBB. Oleh itu, Malaysia perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam isu Yaman untuk tidak mensia-siakan kedudukan tersebut.

Berkali-kali saya timbulkan isu Yaman di Parlimen tanpa jawapan memuaskan dari menteri luar tentang usaha Malaysia. Berbelanja beratus juta untuk menduduki Majlis Keselamatan tanpa peranan sepatutnya membela negara yang lemah dan kerdil amat mendukacitakan.

Malaysia menghantar berpuluh ribu pelajar kita ke Yaman dan mereka pernah menjadi di antara pelajar asing teramai di Malaysia.

Di Parlimen, saya menyoal peranan dan justifikasi Malaysia menyertai latihan tentera bersama Arab Saudi serta sekutunya dari negara Arab dan Afrika lain. Tiada jawapan yang munasabah diberi kenapa kita negara luar tunggal masuk campur ehwal rumah tangga ketenteraan Arab dan Afrika selain daripada wujudnya hubungan “istimewa” ini.

Kalau Malaysia berada dalam pasukan bersekutu Saudi itu, sudah tentu ada sedikit sebanyak pengaruh.

Oleh itu, Datuk Seri Najib Razak perlu mendesak dan menggunakan hubungan istimewa beliau menggesa kerajaan Arab Saudi menghentikan serangan kejam atas negara berdaulat Yaman.

Najib sendiri juga mengisytiharkan hubungan istimewa beliau dengan keluarga di raja Arab Saudi yang menderma berbillion ringgit kepada dirinya. Gunakanlah hubungan istimewa itu untuk menyelamatkan nyawa rakyat tidak berdosa Yaman.

Lakukan sesuatu sebelum terlambat dan gunakanlah pengaruh untuk kebaikan menyelamatkan nyawa orang awam termasuk anak kecil, warga tua dan wanita yang lemah.

Jangan sia-siakan pengaruh dalam Majlis Keselamatan PBB dan hubungan istimewa dengan keluarga di Raja Arab Saudi.

Sementara Najib berurusan dengan Arab Saudi, dicadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula boleh menasihati pemimpin Iran yang dikatakan menyokong pihak yang ditentang oleh Saudi di Yaman. Kalau Hadi sanggup memainkan peranan pendamai dengan Iran di penghujung peperangan Syria, sudah tentu usaha di peringkat pertengahan peperangan di Yaman amat dialu-alukan oleh semua.

Dunia dan PBB akan terus dengan sikap hipokrit mereka. Malaysia sekurang-kurangnya mesti melakukan sesuatu di dalam kemampuan pengaruh kita yang ada.

Jangan ulangi seperti Palestin, Bosnia dan Syria, di mana setelah beratus ribu nyawa hilang dan bandar serta kampung musnah, baru kita mengulangi kenyataan “Dunia tidak akan membenarkan ini berulang lagi!”

Sebenarnya, sikap hipokrit inilah yang tidak patut diulangi terdahulu kalau kita mahu mengelakkan peristiwa sebegini berulang ! .

Datuk Raja Bahrin Shah ialah pengerusi Biro Antarabangsa Amanah dan ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.