
MCA masih dilihat sebagai parti yang bernaung di bawah Umno di dalam BN. Ramai juga yang berpersepsi MCA ialah parti pendokong kepada Umno, sebagaimana Amanah kepada DAP.
Dalam BN, mereka dilihat tidak berkuasa. Kata-kata dan kenyataan-kenyataan mereka dianggap tidak bernilai sekiranya tidak dipersetujui Umno. Bahkan, Umno dilihat sebagai abang besar dan MCA dilihat sebagai adik kecil yang perlu “kowtow” mendengar arahan abang besar.
Di dalam mana-mana pertengkaran media antara Umno dan MCA, ramai yang mendapat persepsi kata Umno ialah pemberi kata putus dan akhir, bukannya MCA.
Perkara ini berbeza dengan DAP dalam pembangkang. DAP dilihat sebagai abang besar dalam pembangkang. Kata-kata dan idea-idea mereka dibentang dahulu dan rakan-rakan pembangkang lain pula dilihat sebagai pendokong kepada idea tersebut.
Dalam sebarang perbezaan pendapat, DAP lebih ke depan mengutarakan pandangan di media sehingga timbulnya persepsi mereka adalah pemberi kata putus dan sedang memimpin hala tuju pembangkang dan bukan sebaliknya.
Itulah masalah yang dihadapi MCA hari ini.
Kedudukan persepsi DAP di dalam pembangkang pada mata pengundi Cina ini memberi tekanan kepada MCA yang ingin mendapatkan undi Cina yang hilang daripada BN.
Tekanan ini menyebabkan jarum-jarum halus yang menyerang MCA sebagai pak turut Umno sudah mengena dengan mudah.
Sebagai reaksi, MCA kini bertindak memperbetulkan persepsi yang ditanam musuh terhadapnya dengan berani, lantang dan kerap berbeza pendapat dengan pemimpin Umno yang membuat kenyataan kontroversi di media.
Selain itu, MCA juga dipaksa jarum-jarum halus ini berlumba dengan DAP untuk menjuarai sesuatu isu yang menjadi kebimbangan orang Cina.
Contohnya, bantahan terhadap RUU 355, MCA kini lebih kerap ke depan sejajar tindakan DAP yang terus mencabar parti-parti komponen BN seperti MCA untuk membuktikan mereka boleh menghalang RUU 355 daripada diluluskan.
Jika mereka gagal, maka sebatilah persepsi Umno ialah abang besar dan mereka hanyalah pak turut yang perlu “kowtow” kepada Umno. Sekiranya mereka berjaya pula, BN menjadi semakin lemah kerana berpecah akibat perbezaan pendapat yang teruk, akan tetapi yang mendapat kredit di kalangan orang Cina tetap ialah DAP yang dianggap pendesak utama.
MCA perlu menerima hakikat mereka sudah kehilangan sokongan orang Cina dan segala apa yang dibuat untuk mendapatkan kembali undi tersebut buat masa ini sekadar syok sendiri.
Memandangkan begitu, mengapa MCA tidak berusaha meningkat sokongan kaum lain pula untuk menguatkan BN, contohnya dengan menyokong RUU 355? Jadilah parti yang mendokong aspirasi kaum lain bukan semata-mata orang Cina. Cukuplah melayan cabaran-cabaran daripada DAP yang penuh jeratan politik.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.