
Sabtu lalu, March for Science atau Perarakan untuk Sains sempena Earth Day diadakan di 600 bandar raya di seluruh dunia.
Tujuan perarakan ini pada mulanya adalah untuk membantah sikap Presiden Donald Trump mengenai fenomena perubahan iklim. Trump bukan saja tidak mempercayai perubahan iklim tetapi menganggapnya sebagai suatu penipuan yang diciptakan oleh konspirasi asing untuk melemahkan Amerika Syarikat.
Idea perarakan ini timbul sebaik saja Trump menang pilihan raya presiden November lalu dan ia tersebar luas ke seluruh dunia. Lebih-lebih lagi apabila Trump memperkenalkan dasar yang meminggirkan sains, dari segi iklim dan alam sekitar, dengan memotong peruntukan kerajaan.
Pendirian Trump ini bukanlah suatu yang aneh di Amerika. Banyak pendokong Parti Republikan, khususnya golongan korporat menolak berlakunya perubahan iklim. Banyak di antara mereka menyifatkan perubahan iklim dan pemanasan global ini sebagai konspirasi golongan kiri dan liberal dari Parti Demokratik untuk menyekat kebebasan korporat serta menghakis keuntungan mereka.
Selain itu, terdapat kalangan rakyat Amerika khususnya yang tinggal di negeri yang kuat beragama Kristian Evangelikal menolak Teori Evolusi. Mereka juga umumnya pendokong Trump dan Republikan.
Tambahan pula terdapat gerakan pseudosains yang meragukan perubatan moden. Gerakan ini muncul dalam bentuk menolak suntikan, atau dipanggil anti-Vaxxers. Ia juga berlaku dalam konteks adanya anggota masyarakat yang menolak sistem kesihatan moden dan memilih perubatan alternatif dan komplementari.
Dalam kalangan ini ada yang merupakan golongan ekstrem pendokong perjuangan alam sekitar. Begitu juga ada antaranya adalah pengikut ajaran agama sesat.
Maka Perarakan untuk Sains dan Hari Bumi merupakan gagasan politik bagi mempertahankan sains. Ia adalah politik sains. Sebab itu ada juga saintis yang mempertikaikan Perarakan untuk Sains kerana mereka menganggap bahawa sains wajar berpisah daripada politik. Atau sains tidak patut dipolitikkan.
Sains untuk politik
Tetapi ada yang berpendapat, jika penyokong dan komuniti sains tidak bersuara, maka rakyat tidak akan ambil perhatian dan mengakibatkan golongan politik menggubal dasar yang mengancam manusia. Maka antara slogan Perarakan untuk Sains berbunyi “Science not Silence”, atau “Sains tidak Diam”.
Bukan saja Amerika yang ada masalah sains. Semua negara di dunia mempunyai masalah sains masing-masing.
Umpamanya di Afrika, ada golongan yang menolak pemahaman sains terhadap penyakit AIDS. Begitu juga di India di mana terdapat gerakan yang menolak sains moden dan memperjuangkan sains tradisional purba.
Negara Islam juga mempunyai masalah sains. Tetapi kemunduran ekonomi negara menjadi penyebab besar kelemahan perkembangan sains di negara-negara itu. Ada banyak saintis dari negara Islam seperti Pakistan, Iran, Mesir, Iraq dan Syria mencapai kemcemerlangan di Amerika dan Britain, sesuatu yang mereka tidak dapat peroleh jika terus berada di negara sendiri.
Malaysia sejak mencapai kemerdekaan mempunyai sikap positif tethadap sains. Sistem pendidikan, kesihatan, teknikal dan pertanian yang diwarisi daripada kolonial British dikembangkan oleh kerajaan merdeka.
Tetapi sikap pentadbiran kolonial British terhadap sains adalah bersifat utiliti dan eksploitatif. Kegiatan penyelidikan sains yang dilakukan di Malaya adalah semata-mata untuk mengaut kekayaan selaras dengan tujuan imperialisme British.
Penubuhan Institut Penyelidikan Getah (RRI), umpamanya, adalah untuk tujuan ekonomi empayar. Begitu juga Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bertujuan memelihara kesihatan pekerja estet supaya pengeluaran getah tidak terjejas. Jadi semuanya adalah untuk ekonomi.
Mentaliti terhadap sains ini diteruskan oleh kerajaan Perikatan dalam Malaya merdeka. Iaitu sains digunakan untuk ekonomi. Bezanya dalam Malaya dan Malaysia merdeka, ekonomi adalah untuk pembangunan rakyat. Maka sains merupakan komponen penting pembangunan hinggakan aspirasi ini ditampilkan juga dalam ideologi nasional iaitu Rukunegara.
Proses pembangunan menggunakan sains ini dilakukan dalam semua bidang melalui rancangan pembangunan khususnya dalam pendidikan. Mulai tahun 1970-an, anak-anak yang cemerlang khususnya Bumiputera diasak masuk ke dalam aliran sains. Pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia memperluaskan aliran ini hinggakan guru-guru dari Indonesia dibawa masuk. Matlamatnya adalah supaya keperluan terhadap doktor dan jurutera di negara ini dapat dipenuhi.
Dengan proses sains besar-besaran ini muncul banyak institusi pendidikan sains dan badan penyelidikan di seluruh negara. Kementerian yang bertanggungjawab atas sains juga ditubuhkan, kemudiannya meliputi juga teknologi dan alam sekitar.
Pseudosains
Penerimaan masyarakat Malaysia terhadap sains adalah umumnya baik. Pelajar Islam mempelajari teori Evolusi di sekolah tanpa sebarang bantahan. Walaupun begitu, terdapat juga kes pelawanan oleh dukun, bomoh dan bidan kampung. Usaha untuk menyedarkan orang Melayu terhadap perubatan moden juga dilakukan melalui kegiatan sastera seperti penulisan cerpen dan drama radio.
Golongan agama juga berperanan dengan melancarkan gerakan menghapuskan khurafat dan kepercayaan karut-marut yang bertentangan dengan Islam. Usaha mereka membolehkan masyarakat menerima pemikiran rasional dan seterusnya membuka diri pada sains.
Pendidikan sains di sekolah bermula dari awal lagi. Ia bukan saja bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja dalam bidang sains tetapi juga menyediakan keupayaan rakyat untuk hidup dalam zaman moden ini.
Tetapi ilmu sains bukan sekadar mata pelajaran sekolah, ia juga merupakan aktiviti mendapatkan kebenaran melalui pemikiran rasional dan kreativiti.
Inilah sudut sains terabai kerana perhatian penggubal dasar sains adalah untuk ekonomi dan pembangunan semata-mata.
Pada tahun 1980-an ketika gelombang kebangkitan Islam, maka terdapat gagasan Islamisasi ilmu termasuk sains. Dalam gerakan ini, ada fahaman bahawa sains konvensional ini sarat dengan ideologi sekular Barat. Maka mereka mahu mengislamkan sains.
Gagasan Islamisasi sains kemudiannya pudar walaupun kesedaran mengenai sumbangan tamadun Islam terhadap sains bertambah meluas.
Pada tahun 80-an, banyak ibu bapa Islam mahukan anak-anak mereka belajar agama. Ada yang belajar agama tanpa pendedahan kepada sains.
Dalam menghadapi cabaran gejala ini kerajaan memperkenalkan aliran gabungan Islam dan sains. Maka muncullah sekolah agama integrasi bermaksud mata pelajaran sains juga diajar.
Malah terdapat sekolah tahfiz sains di mana pelajar yang menghafaz Al-Quran turut diajar sains. Kerajaan juga menubuhkan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
Tetapi cabaran terhadap sains meningkat sekitar tahun 2000-an.
Kepercayaan pseudosains menyebakan ada rakyat Malaysia yang menolak perubatan berasaskan sains. Mereka memilih perubatan tradisional, alternatif dan komplementari. Kehendak masyarakat ini dipacu lagi dengan industri perubatan bukan konvensional yang mengaut keuntungan besar melalui hujah hujah pseudosains.
Maka tidak hairanlah kini berlaku golongan yang menolak suntikan vaksin. Keadaan bertambah memprihatinkan apabila ada golongan yang menggunakan hujah agama untuk mengukuhkan kepercayaan pseudosains dalam rawatan mereka.
Pseudosains adalah sesuatu pemahaman yang menampilkan diri sebagai sains tetapi sebenarnya bercanggah dengan sains.
Di peringkat negara pula, perakuan saintifik tidak dihormati dalam merancang pembangunan hingga alam sekitar rosak akibat kerakusan perniagaan.
Internet yang merupakan ciptaan hasil daripada sains digunakan untuk melawan sains. Maka banyak orang lebih mudah mempercayai mitos dan kepalsuan pseudosains daripada fakta dan hasil penyelidikan sains.
Sejak akhir-akhir ini terdapat sebilangan pendokong sains yang turut berusaha melawan pseudosains itu melalui Internet. Medan utama mereka ialah dalam bidang perubatan. Konflik ini seringkali mencetuskan perasaan sensitif kerana ia melibatkan kepentingan kewangan dan kepercayaan agama.
Maka dalam suasana ini, pendokong sains di Malaysia juga perlu mengadakan Perarakan untuk Sains bagi menyemaikan kesedaran di kalangan rakyat supaya mereka tidak terjerumus ke dalam mitos pseudosains.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.