
Oleh Rahman Imuda
Kehilangan adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi meruntun hati rakyat Malaysia.
Kisah seorang kanak-kanak yang datang untuk menghafal kitab Tuhan tetapi akhirnya menemuinya Penciptanya akibat dipukul oleh warden asrama.
Kejadian ini pasti membuatkan ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz tertanya-tanya tentang nasib anak mereka.
Seperti tragedi ngeri yang pernah menimpa negara kita sebelum ini, kebanyakan kita hanya mampu melahirkan rasa simpati, dan perasaan simpati itu akan beransur-ansur hilang beberapa minggu selepas insiden.
Kita memerlukan sesuatu yang lebih daripada simpati, kerana dengan simpati sahaja kita tidak dapat untuk mengelakkan kejadian sama berulang.
Kita boleh melahirkan rasa empati kepada keluarga mangsa dengan memberikan bantuan yang diperlukan atau memberi desakan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tragedi seperti ini tidak berulang lagi.
Namun seperti biasa, kita tidak boleh pukul rata semua sekolah tahfiz hanya kerana terdapat masalah yang melibatkan satu sekolah. Tapi fakta seorang anak yang tidak berdosa mati kerana didera di pusat tahfiz, kita tidak boleh buang begitu sahaja.
Mengurus institusi tahfiz
Sudah sampai masanya institusi tahfiz di Malaysia diuruskan di bawah satu organisasi khas dan perlu memenuhi standard minima sebelum dibuka.
Sekolah pondok dan pusat tahfiz semakin mendapat tempat di hati masyarakat sehingga hampir setiap tahun ada beberapa institusi pengajaran agama dibuka. Saya bimbang jika kita tidak mempunyai satu garis panduan yang jelas berkenaan pembukaan institusi pengajaran agama, insan yang tidak bertanggungjawab pasti akan mengambil kesempatan untuk membuka secara “ala-kadar”. Ini menyebabkan pelajar yang ada tidak merasai suasana pembelajaran yang kondusif, diajar oleh guru yang tidak berkelayakan dan ada kemungkinan tinggi institusi itu akan ditutup akibat masalah kewangan dan pengurusan.
Akhirnya, pelajar yang ingin menuntut ilmu agama ini tersadai di tengah jalan.
Bukanlah sesuatu yang aneh apabila ada sekolah pondok atau tahfiz baharu yang ingin dibina, tabung rayuan derma dilancarkan. Menderma adalah amalan yang mulia, lebih-lebih lagi ke tempat untuk memperkasakan agama, tapi sampai bila kita ingin bergantung sepenuhnya kepada derma awam?
Sekali-sekala ia memperlihatkan agama kita mengajar kita untuk meminta-minta untuk membela agama. Badan pengurusan sekolah tahfiz perlu memikirkan kaedah yang sesuai selain daripada meminta derma untuk mencari dana bagi tujuan pembinaan dan pengurusan institusi tersebut.
Akibat kemurahan hati orang ramai untuk menderma, terdapat sindiket yang mengutip derma bermodalkan sekolah tahfiz, dan mengaut keuntungan yang banyak.
Saya percaya sekiranya kita mempunyai satu badan kerajaan yang khusus untuk mentadbir dan menguruskan sekolah-sekolah tahfiz yang ada di Malaysia, pengurusan sekolah ini akan lebih sistematik. Ia juga akan membantu sekolah yang ingin dibuka untuk mendapat dana daripada pemerintah atau sekolah lain yang sudah lama bertapak.
Apa yang kita boleh belajar?
Saya terkilan apabila mengetahui suspek utama terkait tragedi adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pernah dipenjara selama 30 bulan akibat kesalahan mencuri.
Memberi peluang kepada bekas banduan adalah tindakan yang baik, namun pada sesetengah hal berhati-hati adalah lebih utama. Pekerjaan sebagai seorang warden yang menjaga anak kecil adalah kurang sesuai untuk mereka yang mempunyai rekod jenayah.
Hal ini sewajarnya dijadikan pengajaran oleh pusat tahfiz agar berhati-hati memilih pekerja, lebih-lebih lagi pemilihan warden.
Sejak bila agama mengajar kita untuk mengajar dengan kekerasan? Institusi pengajaran agama sinonim dengan kaedah garang dan bengis sehingga ada anak kecil yang gerun apabila ingin dihantar ke sekolah agama.
Kekerasan hanya akan melahirkan trauma dan menyebabkan pelajar cenderung untuk menyakiti pelajar akibat siksaan mental yang mereka hadapi.
Untuk ibu bapa, jangan ambil mudah aduan yang disampaikan oleh anak melibatkan isu dera atau buli. Saya berpandangan para pendidik wajar untuk diizinkan merotan anak didik secara beretika, tapi jika sampai tahap menggunakan batang baik atau menumbuk muka itu sudah keterlaluan.
Oleh itu, setiap kali anak mengadu, mereka harus diambil serius. Malangnya, masih terdapat ibu bapa yang akan memarahi anak-anak apabila mereka mengadu dibuli atau didera oleh tenaga pengajar dengan alasan mereka tidak mahu anak mereka terlalu manja.
Untuk berlaku adil kepada institusi tahfiz, ibu bapa harus ingat, sekolah berorentasikan agama bukanlah pusat pemulihan akhlak atau pusat serenti. Ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah agama semata-mata untuk mengharapkan perubahan segera daripada anak.
Ibu bapa juga harus bertanggungjawab untuk mendisiplin anak-anak mereka sebelum dihantar ke mana-mana sekolah, mereka tidak boleh lepas tangan.
Kesimpulan
Saya ingin menegaskan sekali lagi, sewajarnya sudah ada badan yang dipertanggungjawabkan secara serius dan konsisten dalam memantau pusat tahfiz dan sekolah pondok.
Ini akan dapat membantu untuk mengelakan kejadi seperti ini terjadi. Sistem pembelajaran, kewangan, fasiliti dan pengurusan akan menjadi lebih sistematik dengan kehadiran badan berautoriti ini.
Jika terdapat sekolah yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, maka wajar sekolah itu diberikan amaran atau ditutup.
Kita bukan ingin menghalang perkembangan agama di negara ini, tapi kita mahukan perkembangan agama itu berlaku dengan kaedah yang terbaik.
Rahman Imuda seorang aktivis mahasiswa.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.