Mampu ke Marikh tapi mana ubat kanser?

pesakit-kanserJiran di kanan katil bapa saya minggu lalu ialah seorang pakcik India berusia 52 tahun. Isterinya yang menemani sepanjang masa berkata suami mengadu kesakitan di bahagian leher pada awal Januari tahun ini.

Kesakitan itu tidak reda meskipun beberapa kali dirawat sebagai pesakit luar sehingga ada ketumbuhan kecil di sebelah leher pada Mac. Pada ketika itu, segalanya telah terlambat. Kanser sudah merebak ke limpa dan hidung dan dikategorikan sebagai tahap 3 ke 4.

Keadaan suaminya tidak berubah selepas menjalani kemoterapi dan radioterapi. Kini hidungnya tersumbat, dan hanya boleh disalurkan susu melalui tiub sebagai makanannya. Doktor membenarkan suaminya pulang Isnin lalu dengan hanya memberikan ubat tahan sakit dan susu. Isterinya hanya mampu tabah menunggu masa.

Jiran di kiri katil bapa saya pula ialah seorang pemuda Melayu berumur 30-an. Beliau nampak sihat dan bertenaga tapi ada kanser di usus. Katanya, penyakit bermula 3 tahun lepas apabila perutnya sering mengalami gastrik. Pada mulanya, beliau menganggap sekadar gastrik biasa, tapi kekerapan diserang gastrik menyebabkan beliau bimbang.

Akhirnya beliau ke hospital untuk buat pemeriksaan tubuh dan mendapati beliau menghidap kanser usus tahap 3.

“Tahun lepas saya sudah membuat operation dan juga kemoterapi dan radioterapi. Tak sangka baru saya bebas beberapa bulan, gastrik saya datang balik dengan lebih kerap dan sakit. Masih ada saki-baki kanser di usus,” terangnya.

Beliau merasakan ubat kemoterapi yang diberikan beliau kali ini lebih kuat berbanding tahun lepas menyebabkan beliau muntah-muntah. Mari kita sama-sama berdoa berdoa agar rawatan kali ini yang terakhir untuk beliau bebas daripada kanser agar dapat meneruskan kehidupan bersama isteri dan anak.

Di depan katil bapa saya ada seorang makcik Melayu berusia 66 tahun yang tidak pernah meninggalkan katil hospital anak ketiganya yang menghidap kanser hidung.

“Mengapa makcik sahaja yang berjaga malam? Mana pakcik?” tanya saya selepas membantunya mendapatkan kerusi lipat agar makcik dapat berehat dengan lebih selesa pada waktu malam untuk menjaga anaknya.

“Pakcik dah umur 73 tahun. Dia takut tinggal di hospital,” katanya.

Makcik itu berkata anaknya bertarung dengan kanser selama 4 tahun. Tahun-tahun lalu, anaknya masih mampu ke hospital dan menerima rawatan secara sendiri.

“Tahun ini dah tak boleh. Makan pun kena pakai tiub,” tambah makcik itu.

Setelah 2 minggu menghabiskan masa yang panjang di wad kanser di sebuah hospital awam Kuala Lumpur membuatkan saya terfikir panjang, apakah betul tiada ubat yang khusus untuk menyembuhkan kanser?

Zaman ini, kanser menjadi penyakit yang cukup menakutkan. Pemerhatian selama 2 minggu di wad kanser, saya merumuskan bahawa penyakit ini “sangat adil” di dalam jangkitannya. Ia tidak mengenal warna kulit, agama, usia bahkan kedudukan atau gaya hidup seseorang.

Sesiapa sahaja berkemungkinan mengidap kanser. Dalam permerhatian saya di wad kanser, organ-organ yang sering dijangkiti penyakit ini ialah prostat, buah dada, hidung, servik, limpa dan usus.

Apakah puncanya? Manusia sudah pun dapat menjejaki kaki di bulan dan mengambil sampel daripada planet Marikh, mengapa di zaman yang serba canggih ini, manusia masih tercari-cari akan jawapan kepada punca kanser dan cara menghindarinya?

Apakah kemoterapi dan radioterapi sahaja rawatannya untuk pesakit kanser? Apakah ubat tahan sakit sahaja ubatnya? Apakah tiada jalan keluar yang lain?

Ataupun ubat sudah dijumpai tapi enggan dilepaskan kepada umum? Saya sendiri tidak dapat menolak kemungkinan ini kerana industri rawatan kanser ini bernilai berbilion dolar, dan pesakit adalah pelanggannya.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.