
Terdapat hadis bertaraf “sahih” diriwayatkan Anas bin Malik perihal meminum air kencing unta ini:
“Telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Harb berkata telah menceritakan kepada kami Hammad bin Zaid dari Ayyub dari Abu Qilabah dari Anas bin Malik berkata: ‘Beberapa orang dari ‘Ukl atau ‘Urainah datang ke Madinah namun mereka tidak tahan dengan iklim Madinah hingga mereka pun sakit. Beliau lalu memerintahkan mereka untuk mendatangi unta dan meminum air kencing dan susunya. Maka mereka pun berangkat menuju kandang unta. Setelah sembuh, mereka membunuh pengembala unta Nabi dan membawa unta-untanya. Kemudian berita itu pun sampai kepada Nabi menjelang siang. Maka beliau mengutus rombongan untuk mengikuti jejak mereka. Ketika matahari telah tinggi, utusan beliau datang dengan membawa mereka. Beliau lalu memerintahkan agar mereka dihukum, maka tangan dan kaki mereka dipotong, mata mereka dicungkil lalu mereka dibuang ke pasir yang panas. Mereka minta minum namun tidak diberi’.
“Abu Qilabah mengatakan, ‘Mereka semua telah mencuri, membunuh, murtad setelah keimanan dan memerangi Allah dan rasul-Nya’.”
Saya tidak akan menyentuh perihal kelakuan Rasulullah yang tidak lojik, khusus bagaimana baginda yang pengasih dan budiman itu menyiksa tahanan. Saya hanya akan menyorot hal kencing unta.
Tahukah kumpulan doktor Islam itu yang ulama Melayu terkenal Syeikh Ahmad al-Fatani, dalam Kitab Tayyib al-Ihsan fi Tibb al-Insan, mencadang agar meminum kencing unta untuk merawat penyakit busuk hidung?
Sekarang kalau saya menolak hadis sahih dan kitab sah Melayu tersebut, adakah saya sewenang didakwa liberalis dan dengan itu anti-Islam dan anti-Melayu?
Seorang jurucakap persatuan doktor itu berkata meminum air kencing unta hanya amalan perubatan tradisional masyarakat Arab yang tidak dianggap dalam kategori “as-Sunnah Tasri’yyah”. Katanya lagi, itu hanyalah amalan yang dilakukan oleh masyarakat Arab.
Jadi adakah kita bersetuju sekiranya ia hanya amalan orang Arab, kita di zaman moden ini dapat dan harus meninggalkannya?
Kalau liberalis menyarankan agar kita semua berhenti menghambakan tawanan perang seperti di kala zaman Rasulullah dulu, atau berhenti memukul kanak-kanak atas alasan mendidik kerana memukul manusia lain itu salah dan satu jenayah, atau menghentikan perkahwinan dengan kanak-kanak perempuan bawah umur kerana itulah tuntutan kovenan antarabangsa di bawah Piagam Hak Asasi Manusia 1948 – adakah kami yang liberal ini anti-Islam dan Melayu?
Kaum Islamis selalu ketinggalan dalam memperlihatkan Islam seharusnya mementingkan rasio, seperti dalam hal meminum kencing unta.
Hanya kematian oleh Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) yang akan dan boleh mendorong mereka berfikir.
Dalam sesetengah hal, kematian juga tidak mendorong mereka untuk berfikir. Persatuan doktor itu menegaskan, “Umat Islam harus mematuhi penemuan dan bukti baharu dan mendapatkan rawatan kesihatan jika sakit”. Di samping itu, ia menyatakan “jika sesuatu kaedah rawatan membawa lebih banyak buruk daripada baik, ia dikira sebagai haram menurut perspektif Islam”.
Bukti kebenaran Islam Liberal
Inilah juga keadaan yang mendorong kaum yang dinamakan “Islam Liberal” untuk memperjuangkan kemerdekaan dan hak hidup semua orang termasuk kaum minoriti.
Inilah juga yang menyebabkan kaum yang dipetik Islam Liberal menolak aksi memukul kanak-kanak atas alasan pendidikan adalah penghinaan dan penghilangan kehormatan.
Inilah juga yang membuatkan kaum Islam Liberal berkempen agar perkahwinan dengan kanak-kanak perempuan atau lelaki di bawah umur ditamatkan kerana itulah yang munasabah di zaman ini.
Ia bukan membuktikan kaum Islam Liberal itu perosak dan perubah agama, dan sama sekali tidak harus dijadikan alasan bahawa kaum Islam Liberal itu tidak mempercayai Islam itu syumul atau alami.
Kaum Islam Liberal menggunakan rasio. Meminum kencing unta mendatangkan mudarat dan hadis demikian, kalaupun sahih, mesti dianalisa semula dengan perspektif hari ini.
Kaum Islam Liberal menggunakan rasio. Bahawa perhambaan sesama manusia, layanan kejam terhadap isteri dan anak-anak, perkahwinan dan seks dengan perempuan bawah umur, semua hanya memburukkan ajaran Islam di mata bukan Islam atau penentang Islam. Kesannya, Islam dianggap purba, seperti halnya meminum air kencing unta.
Kaum Islam Liberal mengasihi agama Islam justeru melindungi Islam dengan rasio. Kaum Islam Liberal juga menggunakan pendekatan “jika sesuatu kaedah rawatan membawa lebih banyak buruk daripada baik, ia dikira sebagai haram”.
Kaum Islam Liberal dimusuhi dan dihunjam cemuh di atas mimbar kerana mempertahankan Islam. Mereka yang tradisionalis dan feudalis dilihat benar meskipun rasio dan lojik tidak berpihak kepada mereka.
Siapa kaki kencing?
Penceramah agama, Rozaimi Ramle dalam sebuah ceramahnya menyatakan air kencing unta (dalam hal ini najis) boleh menyembuh, menurut mazhab tertentu seperti Hanbali, iaitu mazhab fikah yang menjadi anutan kaum Wahhabi.
Rozaimi menyatakan ini menjadi bukti “Islam itu luas” dan mengkiaskan bagaimana najis kuda dimanfaat sebagai serum di Barat. Meski mengingatkan mazhab Syafie menolak najis sebagai ubat, Rozaimi akhirnya menyatakan beliau bersetuju dengan mazhab Hanbali yakni diperbolehkan minum air kencing unta.
Ceramah itu boleh menimbulkan kejengkelan segelintir dan barangkali kemualan untuk sesetengah orang. Islam akibatnya boleh sahaja dianggap tidak rasio (abaikan Barat yang tidak rasio, tentukan diri kita terdahulu) dan melulu.
Kaum Islam Liberal memilih jalan selamat iaitu menolak apa yang tidak masuk akal meski datang dari mazhab Hanbali meskipun sumber “sahih”, dengan harapan melindungi agama Islam dari fitnah dan tuduhan memudaratkan.
Inilah ubat kaum Islam Liberal untuk mengangkat agama di tengah masyarakat moden. Penawarnya adalah penggunaan akal yang mana amat digalakkan dalam Islam.
Sila perhatikan tuntutan kaum Islam Liberal, tekunilah permintaan mereka. Isi ajaran kaum yang dituduh Islam Liberal ini banyak seputar keadilan dalam pemerintahan, hak asasi manusia, nilai-nilai yang baik untuk masyarakat yang mana semua itu sama sekali tidak bertentangan dengan agama Islam.
Itulah puncanya kaum Islam Liberal mencanangkan pandangan yang lebih rasio bahawa Islam tidak membolehkan pukul isteri dan anak, Islam tidak membolehkan perkahwinan dengan kanak-kanak, Islam tidak membolehkan diskriminasi atas agama. Supaya Islam tidak dilihat kejam sedangkan Islam itu sendiri kedamaian dan keadilan.
Akan tetapi, kaum yang tidak rasio, contohnya kaum yang memperbolehkan meminum kencing unta, menguasai mikrofon masjid.
Mereka akan menerbalikkan fakta dan rasio di atas mimbar sehingga orang awam terkeliru dan mempercayai kaum Islam Liberal lah kaki kencing sedangkan hakikatnya merekalah yang disirami kencing.
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.