Annuar Musa akan tewas di Ketereh?

Annuar Musa akan tewas di Ketereh?

Radzi Jidin sekarang mempunyai daya tarikan tersendiri dan tidak salah kalau dikatakan beliau sekarang adalah 'star speaker' di setiap ceramah, jauh lebih popular daripada Annuar Musa.

Free Malaysia Today
Gambar Facebook.

Oleh Rosli Khan

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, diramalkan bukan saja akan tewas di kerusi Parlimen Ketereh, Kelantan, tetapi kemungkinan kalah teruk dan mendapat undi sangat rendah berbanding pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.

Pada PRU13, Annuar yang pernah mendapat nama jolokan “Anwar by day and Musa by night” kerana perlakuannya persis Datuk Seri Anwar Ibrahim di waktu siang dan Tun Musa Hitam di waktu malam, cuma menang dengan kelebihan 974 undi, satu perlawanan yang agak sengit antara beliau dan calon PKR, Abdul Aziz Abdul Kadir.

Pada PRU14 kali ini, Annuar yang sekarang dilihat sebagai penyokong kuat Datuk Seri Najib Razak, tidak lagi dianggap seorang ketua yang berpengaruh dan boleh dipercayai oleh ramai penggundi di Kelantan.

Soalnya, kalau beliau tidak mempertahankan kerusi Ketereh, ke mana beliau akan berpindah? Tidak ada kerusi yang selamat untuk Umno di Kelantan, kecuali mungkin Gua Musang atau Jeli sahaja.

Senario politik yang dihadapi Annuar sekarang amat berbeza dengan PRU13 dahulu. Ini mesti diakui. PRU13 dahulu, tidak ada isu-isu 1MDB, tidak ada masalah cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang berkait rapat dengan kos sara hidup, tidak ada pengalaman banjir besar seburuk penghujung 2014 dan tidak ada penyelewengan dan salah guna kuasa di dalam (Majlis Amanah Rakyat) Mara.

Tun Dr Mahathir Mohamad pun masih bersama Umno di waktu itu. Jadi, Umno Kelantan agak selesa pada PRU13.

Kebelakangan ini pula, politik Annuar banyak berkisar tentang cubaan untuk menegakkan benang basah atau menutup bangkai gajah dengan beberapa helai daun pisang. Walaupun dilindungi, bau bangkai itu tetap ada; satu kerja yang amat sukar.

Mempertahankan Najib sebagai perdana menteri menjadi agenda nombor satu buat Annuar dan semestinya harus didahului ketua penerangan Umno.

Ini diikuti pula cubaan untuk menutup segala jenis penyelewengan dan salah guna kuasa, sama ada berkaitan skandal 1MDB, Felda, Mara dan sebagainya.

Banyak tumpuan juga diberikan dalam cubaan dan agenda untuk memperlekehkan dan memperkecilkan hujah parti pembangkang. Ini termasuklah mengkritik Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika penubuhan PPBM dan kritikan terhadap bekas menteri-menteri dari Kabinet Dr Mahathir terdahulu, seperti Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim.

Politik sedemikian tidak membuka banyak ruang untuk Annuar mendekati ramai pengundi dan memberi peluang untuk mempengaruhi mereka.

Sebaliknya, gejala politik sebegini banyak membuka peluang kepada pengundi untuk membenci wakil mereka yang dilihat sebagai pengampu politik presiden Umno atau PM. Inilah malapetaka yang menimpa Annuar sebagai wakil Ketereh, dan juga bertindak sebagai ketua penerangan Umno.

Annuar tidak banyak memberi penerangan bagaimana menyelamatkan Umno daripada gejala yang direka khas oleh Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, apatah lagi untuk mempertahankan Umno daripada terus diperkudakan oleh musibat seperti Jho Low ini.

Yang banyak diwartakan hanyalah beberapa penafian agak cetek, kebanyakannya tidak lagi boleh diguna pakai dan dipercayai pihak tempatan, apatah lagi media luar negara. Hakikatnya, agak aneh apabila Jho Low dipertahankan dan ahli Umno serta parti mereka yang menjadi korban.

Siapa Radzi Jidin?

Dalam kemelutan yang tidak berkesudahan ini dan di titik permulaan PRU14 yang semakin hampir, tiba-tiba muncul seorang anak muda yang berpelajaran, berpengalaman, hebat pidatonya, mesra pengundi dan dengan personaliti yang wajar untuk diberi undi. Dan beliau diberi kepercayaan untuk menentang Annuar di Parlimen Ketereh.

Beliau ialah Radzi Jidin yang seperti ramai anak Kelantan lain, mereka berhijrah ke luar negara sewaktu muda dan sekarang baru pulang dari perantauan untuk memberi khidmat kepada negara. Inilah nilai yang cukup besar bagi anak-anak Kelantan yang memahami kehendak politik semasa.

Radzi adalah seorang graduan lulusan universiti di Australia dan bekas pensyarah bidang forensik perakaunan dan kewangan di Universiti Tasmania, Hobart. Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja di Sungai Besi, Selangor itu bermastautin di Australia sejak 1997 (lebih 21 tahun) kerana belajar dan berkhidmat di sana.

Sewaktu di Australia, beliau pernah terlibat dan aktif dalam Kelab Umno di sana dan sejak timbulnya isu 1MDB, beliau telah mengikuti perkembangan skandal ini serta menghalusinya dengan agak teliti, mulanya demi mempertahankan maruah Umno.

Sebagai seorang pakar dalam bidang forensik perakaunan dan kewangan, beliau dapat membaca, mengikuti dan memahami dengan jelas segala kepincangan yang timbul tentang 1MDB.

Ini jelas terbukti apabila beliau menerangkan isu 1MDB dengan begitu mudah, satu persatu dan senang difahami, di setiap ceramah yang baru dihadiri beliau di sekitar Kelantan. Ramai yang hadir terpegun dengan kaedah beliau memberi penerangan dan pidatonya memang menarik dan meyakinkan.

Apatah lagi setelah beliau menilai pengalihan wang yang banyak dengan pengeluaran bon negara di mana kerajaan Malaysia adalah penjaminnya. Beliau banyak mendedahkan perasaan beliau jelas terkilan apabila melihat “money-trail” yang disiarkan melalui akhbar The Edge pada 2015.

Lebih mengecewakan, menurut beliau, apabila menteri yang terlibat langsung tidak memberi jawapan dan sebarang penafian tentang “money-trail” tersebut.

Pengetahuan beliau yang mendalam tentang isu 1MDB berserta keadaan diam diri daripada menteri terlibat, tanpa sebarang penafian membuatkan Radzi tertanya-tanya.

Peluang PPBM

Apakah kewujudan Umno itu masih untuk membantu masyarakat Melayu, terutama di desa-desa? Atau hanya demi memihak kepada seorang presiden parti yang terlibat dalam skandal pemindahan wang ke akaun peribadi secara besar-besaran? Kalau inilah kesimpulan ketua dan pengikut Umno, maka fungsi Umno itu sudah jauh terpesong.

Inilah titik-titik pemisah antara beliau dan Umno, parti yang lama dianggotainya. Proses beliau meninggalkan Umno dipercepatkan dengan pemecatan Muhyiddin dari Kabinet dan penolakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan menteri besar Kedah.

Penubuhan parti baru, PPBM, sewajarnya disambut hebat beliau, apatah lagi yang menerajui parti baru ini tidak lain tidak bukan adalah bekas perdana menteri, Dr Mahathir, seorang ketua yang dikagumi beliau sejak di bangku sekolah lagi.

Apabila Radzi diberi peluang untuk bergiat cergas di Ketereh, beliau tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan. Pada awal 2018, beliau meletak jawatan sebagai pensyarah utama di Universiti Tasmania dan pulang ke Ketereh sebagai ahli politik sepenuh masa.

Dari sudut pandangan beliau, fungsi Umno sekarang diambil alih partinya, PPBM. Dengan 52 kerusi Parlimen yang akan ditandingi, beliau yakin, kedudukan Umno amat terancam dan populariti Umno sudah merosot.

Ini dapat dilihat dengan jelas di setiap ceramah yang diadakan di Kelantan. Namanya sekarang mempunyai daya tarikan tersendiri dan tidak salah kalau dikatakan beliau sekarang adalah “star speaker” di setiap ceramah. Jauh lebih popular daripada Annuar.

Temuramah yang dibuat secara spontan di kawasan Parlimen Ketereh baru-baru ini, jelas menunjukkan ramai yang akan menyokong Radzi sebagai wakil baru Parlimen Ketereh. Ramai pengundi di situ sendiri yang meramalkan Radzi akan menang. Satu petanda kejatuhan Umno dan Annuar.

Rosli Khan ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.