Selain kasut hitam, Maszlee jangan lupa keluhan mahasiswa

Oleh Jaymani Sevanathan

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik atas beberapa tindakan dan keputusannya yang disampaikannya dalam program Bicara Minda “Malaysia Baharu & Pendidikan Negara” anjuran Sinar Harian semalam.

Antara keputusannya adalah pelajar sekolah tidak lagi memakai kasut sekolah berwarna putih mulai tahun depan, sebaliknya ia ditukar kepada warna hitam disebabkan keluhan ibu bapa. Selain itu, beliau berkata kesusasteraan akan dimartabatkan semula di sekolah seawal sekolah rendah.

Beliau juga menggesa ahli akademik menerbitkan lebih banyak jurnal pendidikan. Hasrat murni beliau ini amat dihormati dan disokong rakyat Malaysia.

Namun, satu lagi isu yang perlu ditekankan YB adalah berkenaan kebebasan bersuara dan berpolitik oleh mahasiswa dalam mahupun luar kampus, selain isu kewibawaan universiti awam dan pengajian tinggi yang lain.

Perkara ini juga terkandung dalam manifesto kerajaan baharu sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Jika dilihat semasa pemerintahan kerajaan lama, kebebasan bersuara tidak diberikan dengan sepenuhnya kepada mahasiswa walaupun ia tertera dalam Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Perkara ini jelas menunjukkan perlembagaan tersebut tidak dihormati yang menjadi tunjang kepada pemerintahan negara ini. Mahasiswa yang menentang kerajaan lama dilabel sebagai penentang kerajaan hanya kerana mengkritik tindak-tanduk mereka.

Pada masa yang sama, seksyen dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dilihat mencabuli hak mahasiswa dan mengekang kebebasan bersuara mereka. Walaupun ia dipinda pada 2012, namun masih wujud diskriminasi terhadap mahasiswa.

Oleh sebab itu langkah yang paling proaktif dan efisien adalah dengan memansuhkan AUKU yang dilihat sebagai undang-undang yang bersifat zalim.

Setiap mahasiswa perlu bebas dalam mengeluarkan pendapat selagi ia tidak berketerlaluan dan boleh mengancam keharmonian serta keselamatan universiti dan negara.

Ramai mahasiswa pernah ditahan dan didakwa atas tuduhan melanggar peraturan institusi pengajian tinggi dan juga tindakan dalam mempersoalkan ketidakpuasan mereka terhadap pentadbiran negara.

Oleh sebab itu, sejajar dengan janji manifesto Pakatan Harapan dalam isu mahasiswa dan kebebasan berakademik ini, tindakan segera perlu diambil oleh Kementerian Pendidikan dalam menangani isu yang telah lama menjadi keluhan oleh mahasiswa.

Pada masa yang sama, institut pengajian tinggi juga perlu direformasikan supaya hak asasi manusia terjamin di samping memelihara kedaulatan undang-undang negara ini.

Mahasiswa merupakan pemimpin masa depan negara kelak. Mahasiswa yang bersifat konstruktif dan kritikal dan diperlukan dalam menyuarakan idea, pembaharuan dan permasalahan kepada institusi pengajian tinggi dan negara ini.

Jaymani Sevanathan ialah mahasiswa program sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.