CEP: Kerajaan dalam kerajaan?

CEP: Kerajaan dalam kerajaan?

Mengikut ceritanya, CEP adalah untuk membantu kerajaan PH dalam kerja-kerja dan polisi awal sebelum Tun M membentuk Kabinetnya, terutama dalam isu melibatkan skandal SRC International dan 1MDB.

Free Malaysia Today
CEP tidak bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak juga kepada Kabinet. CEP tidak perlu melaporkan perkembangan kerja dan hasil kerjanya kepada sesiapa kecuali Tun M.

Oleh Yunus Tasim

Komen akhbar Straits Times Singapura tentang Majlis Penasihat Kerajaan atau Council of Eminent Persons (CEP) banyak kebenarannya. Kita tidak tahu apakah tujuan sebenar akhbar itu, tetapi persoalan yang dibangkitkannya itu bukan hanya timbul dalam kalangan pemimpin PH, malah menjadi kebimbangan majoriti rakyat Malaysia. Apa tidaknya, jika dilihat tindak tanduk CEP mutakhir ini.

CEP ditubuhkan oleh Tun M setelah Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) ke atas Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 yang baru lalu.

Mengikut ceritanya, CEP adalah untuk membantu kerajaan PH dalam kerja-kerja dan polisi awal sebelum Tun M membentuk Kabinetnya, terutama dalam isu melibatkan skandal SRC International dan 1MDB.

CEP dianggotai oleh Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Aziz, mantan gabenor Bank Negara Malaysia; Tan Sri Hassan Merican, mantan presiden Petronas; Tan Sri Robert Kuok, ahli perniagaan terkenal dan Prof Dr Jomo, pakar ekonomi bertaraf antarabangsa.

Tiada siapa boleh menafikan kebolehan dan kepakaran anggota CEP itu. Tetapi apa yang menjadi persoalan ialah bidang kerja dan kuasa yang diberikan kepada badan penasihat itu. Mereka bukan dari kalangan Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat. Mereka juga bukan dari kalangan senator yang dilantik.

Walaupun tempoh lantikan CEP katanya setakat 100 hari, yang akan berakhir pada 19 Ogos depan, tetapi ramai percaya tempoh itu akan dilanjutkan atas alasan kerja yang tidak selesai.

CEP tidak bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak juga kepada Kabinet. CEP tidak perlu melaporkan perkembangan kerja dan hasil kerjanya kepada sesiapa kecuali Tun M.

Selain itu, CEP dibenarkan untuk memanggil atau “mengarahkan” sesiapa sahaja jika difikirkan perlu. Begitulah luasnya kuasa mereka. Apa yang pasti Ahli Parlimen dan anggota Kabinet tidak mempunyai maklumat tentang apakah yang berlaku dalam CEP.

Perkara inilah yang menjadi kegusaran pemimpin PH dan sebahagian besar rakyat. CEP seolah-olah merupakan kerajaan dalam kerajaan.

Pada asalnya CEP bertujuan untuk membuat saranan dan rekomendasi, bukannya membuat keputuan untuk kerajaan. Tetapi kini sudah terlihat tanda-tanda di sebaliknya. YB Khairy Jamaluddin telah suarakan keprihatinannya tentang perkara ini di Parlimen baru-baru ini. Mungkinkah ini disebabkan tiada Ahli pParlimen PH yang bertanya atau takut untuk “menjolok sarang tebuan”?

Pernah diceritakan pengalaman beberapa pegawai tinggi kerajaan dan ketua GLC yang diminta menghadap Tun Daim – mereka mendakwa seperti “tidak dihormati”, walaupun mereka sedar mereka tidak lagi “layak” berada dalam kerajaan yang diketuai PH.

Mereka tahu nasib mereka dan akhirnya meletak jawatan secara rela-terpaksa atau menunggu kontrak masing-masing tamat. Semalam sahaja diberitakan giliran Lembaga Pengarah Khazanah meletak jawatan secara beramai-ramai.

Begitu juga dengan lawatan Tun Daim ke China. Walaupun umum tahu tujuan pertemuan beliau dengan pemimpin China adalah berkenaan projek besar dengan syarikat negara itu, tetapi ketiadaan pegawai Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar bersamanya menimbulkan banyak tanda tanya.

Dan pastilah tidak akan ada maklumat mengenainya yang akan dilaporkan kepada Kabinet dan Parlimen kerana CEP tidak bertanggungjawab kepada kedua-duanya.

Rakyat hanya berharap segala yang baik akan terhasil dan hasrat Malaysia Baru tercapai seperti termaktub dalam manifesto PH. Kita tidak mahu Malaysia dan rakyat menjadi mangsa lagi, seperti kata perpatah “keluar dari mulut buaya masuk ke dalam mulut harimau”.

Rakyat tidak mahu perubahan yang berlaku dalam pentadbiran negara dan pengurusan ekonomi mengembalikan semula “kapitalis kronisme” seperti zaman Tun Daim dahulu atau diistilahkan kini sebagai DAIM 2.0 seperti yang berlegar dalam kalangan penggiat ekonomi.

Rakyat mahu melihat CEP membantu dan menambah nilai kerajaan dan alangkah baiknya jika ia tidak terlepas daripada proses “check and balance” sepatutnya, sekurang-kurangnya bertanggungjawab kepada Kabinet kalau pun tidak kepada Parlimen.

Penstrukturan semula institusi yang berkaitan kerajaan dan pelantikan individu tertentu menggantikan ketua pegawai yang telah berhenti rela-paksa diharapkan tidak menjadi perbuatan ahli sihir semborono dan membalas dendam. Juga diharapkan ia bukan merupakan perancangan licik dan rapi ke arah kembalinya “kapitalis kronisme” atau DAIM 2.0.

Apakah pelantikan Tan Sri Zeti untuk mengepalai Sime Darby Property dan pengisian ke banyak jawatan yang dikosongkan kini merupakan tanda awal ke arah itu?

Yunus Tasim adalah pembaca FMT.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.