Makna kemenangan Azmin pada politik negara

Ramai kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) melepaskan nafas lega dengan kemenangan Datuk Seri Azmin Ali yang mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan bersejarah parti itu.

Ini kerana kemenangan menteri Hal Ehwal Ekonomi itu diharapkan dapat mengekalkan perpaduan PKR dan selanjutnya menyumbangkan pada kestabilan PH, satu perkara yang penting untuk kelangsungan kerajaan sedia ada.

Walaupun lawannya, Rafizi Ramli mempunyai banyak peminat dalam kalangan penyokong PH di luar PKR, adalah dibimbangkan jika beliau yang menang, ada kemungkinan parti itu boleh berpecah. Perpecahan PKR akan menjejaskan pandangan baik orang ramai terhadap PH itu sendiri.

Perpaduan itu pula berasaskan pada hakikat kebanyakan ahli PKR mempunyai semangat demokratik yang baik dan menerima keputusan pemilihan itu dan meneruskan perjuangan reformasi parti itu.

Perlu diingatkan, walaupun pemilihan itu menyaksikan pelbagai kejadian yang tidak baik hingga timbul perkelahian, tetapi kemampuan PKR mengerahkan ahlinya beramai-ramai keluar mengundi, ia memperlihatkan penglibatan besar akar umbinya, suatu yang tidak terlihat pada parti lain di negara ini.

Selain itu, Rafizi memperlihatkan aktivisme tinggi, walaupun kalah tetapi meraih undi yang besar. Banyak penyokong PH wajar menginginkan kedua-duanya bekerjasama untuk masa depan PKR sendiri.

Pun begitu, masa depan PKR tentunya bergantung pada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebagai presiden PKR dan ketua umum PH, bersama penetapan beliau adalah bakal perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, hanya sesuatu kesilapan saja yang boleh menggagalkan matlamat politiknya.

Harus diingat idealisme PKR adalah reformasi. Persoalannya tentu timbul tentang apakah reformasi yang hendak dibawa PKR sebagai parti dominan dalam PH. Juga perlu diambil kira, sejauh manakah parti lain dalam PH akan menerima agenda reformasi, tetapi lebih penting lagi adakah rakyat keseluruhannya mahukannya.

Malah dalam PKR sendiri, setelah merasai nikmat kuasa, adakah percaturan politik untuk memanfaatkan kuasa dianggap lebih penting daripada agenda dan prinsip reformasi? Atau reformasi hanya satu idealisme yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman 20 tahun?

Ataupun ia hanya retorik untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi meraih kekuasaan? Namun begitu, idealisme tentu berdepan dengan realiti yang menuntut pengubahsuaian serta kompromi pasti perlu dilakukan.

Masa depan PKR, dari segi dalaman bergantung pada kerjasama baik antara Azmin dan politik Anwar serta pihak yang dalam pemilihan tempoh hari itu menyokong Rafizi.

Para pemerhati sudah melihat kemenangan Azmin itu adalah tamparan pada Anwar. Tetapi ia tidak semestinya begitu. Percaturan politik dalaman parti pasti berterusan. Semua pihak, sama ada dalam PKR, atau luar terpaksa hidup dalam keadaan itu.

Apa yang pasti juga adalah PKR, walaupun akan menjadi dominan akan tetap perlu bekerjasama dengan parti lain dalam PH, tidak ada kecualinya. Setiap parti komponen mempunyai kedudukan yang turut diperlukan oleh PKR.

Di sebalik wajah PKR yang dominan, kekuasaannya dalam PH turut ditunjangi PPBM, DAP dan Amanah. PPBM membekalkan elemen fahaman kebangsaan Melayu, DAP merupakan sosok suara kaum bukan Melayu, sementara Amanah menyumbang denyut nadi gerakan Islam.

Sebab itu, semua idealisme reformasi tidak dapat disokong oleh parti lain dalam PH.

Pada keseluruhannya, idealisme reformasi turut didokong DAP dan Amanah. Tetapi ia tidak dapat diterima oleh PPBM. Idealisme politik PPBM tetap seperti mana Umno Baru yang diasaskan oleh Dr Mahathir. Sedangkan reformasi timbul kerana penentangan pendokongnya terhadap Dr Mahathir.

Walaupun Dr Mahathir berubah dan tentunya PPBM tidaklah serupa betul dengan Umno, tetapi ada saja penyokong parti itu yang tidak boleh menerima Anwar. Sememangnya terdapat kegelisahan dalam kalangan sebahagian penyokong PPBM apabila menghadapi kepimpinan Anwar, yang bakal menjadi perdana menteri.

Buat masa ini Dr Mahathir ialah pengerusi PH dan menjadi perdana menteri. Walaupun bilangan kerusi PPBM adalah kecil berbanding PKR tetapi ketokohan Dr Mahathir menjadikan parti itu besar.

Dr Mahathir menggembleng sokongan DAP dan Amanah untuk mengimbangi kekuatan PKR. Selain itu, daripada PKR, dilihat Dr Mahathir mesra pada Azmin hinggakan ia dijadikan isu oleh pihak Rafizi.

Tetapi kedudukan itu akan berubah apabila Anwar menjadi perdana menteri kelak. Bukan saja kedudukan PPBM akan merosot tetapi juga DAP dan Amanah. PKR akan muncul sebagai parti dominan dalam PH seperti Umno dalam Barisan Nasional, walaupun tidaklah mencapai setaraf itu.

Tetapi pada masa-masa akan datang, PKR mungkin berhasrat untuk menjadi parti yang lebih dominan daripada keadaan sekarang. Dengan keadaan yang lebih dominan, parti itu boleh menentukan kedudukan ahli PH itu sendiri dengan kemungkinan penyertaan parti yang sekarang menjadi pembangkang. Dalam keadaan itu, agenda reformasi lebih mudah dilaksanakan.

Sebagai parti yang terbuka dan bersifat pelbagai kaum, PKR boleh menampung semua program fahaman PPBM, DAP dan Amanah. Cumanya soal kepimpinan dan kepentingan khusus yang diwakili Umno dan PAS akan menjadi penghalang kepada PKR untuk menjadi dominan.

Sebagai contoh, kepimpinan Anwar tidak secara keseluruhan boleh diterima oleh rakyat negara ini. Malah daripada sudut tertentu dengan masa berlalu, Azmin lebih boleh diterima berbanding Anwar. Dalam PH sendiri, ada kalangan dalam PPBM dan Amanah yang lebih boleh menerima Azmin daripada Anwar.

Tetapi persaingan antara Azmin dengan Rafizi tidak akan berakhir dengan keputusan pemilihan itu. Dinamika politik PKR akan terus bergolak, dan ia turut mengheret PH dan meberi kesan juga pada pembangkang.

Politik Malaysia penuh dengan kejutan. Kalau tidak lama dahulu pengundi Port Dickson menentukan bakal pengganti perdana menteri, maka dalam pemilihan parti pula, ahli PKR Bahagian Julau, Sarawak yang menentukan siapa timbalan presiden parti.

Perjalanan Azmin masih jauh, dan begitu juga Rafizi. Walaupun Anwar belum menjadi perdana menteri, tetapi para pemerhati sudah memikirkan siapa pula yang akan menggantikan beliau kelak. Azmin pula sebelum ini pernah melakukan tindakan politik yang bukan saja tidak disenangi oleh aktivis PKR tetapi juga Amanah.

Tetapi bagi rakyat pada umumnya, apa yang mereka kehendaki adalah kehidupan yang selesa tidak kira siapa yang mentadbir.

Para pemerhati politik berusaha memberi tafsiran kepada kemenangan Azmin mengatasi Rafizi. Tetapi akhirnya terpulang pada aktivis memanfaatkan keputusan pemilihan PKR itu.

Ia tetap bersejarah kerana inilah pertama kali sebuah parti yang mengadakan pemilihannya hingga ke peringkat ahli. Lebih-lebih lagi dengan menggunakan teknologi elektronik yang belum begitu stabil.

Proses pemilihan PKR yang begitu terbuka itu menjadi cabaran kepada parti politik yang lain di negara ini. Itulah makna sebenar kemenangan Azmin.