Antara ‘deep state’ dan ‘deep people’

Istilah “deep state” diterjemahkan sebagai “negara terpendam” atau “negara dalam negara.” Ia bermaksud sekumpulan orang dalam institusi negara yang mempunyai pengaruh besar menentukan keadaan politik melangkaui kerajaan sendiri. Institusi itu mungkin dalam bentuk istana, polis, agensi perisikan, angkatan tentera, akademik, kehakiman dan perkhidmatan awam.

Tetapi istilah “deep people” tidak ada. Namun kalau konsep “deep state” itu wujud, maka apa salahnya ada konsep “deep people”.

Tidak ada takrifan lagi untuk “deep people” tetapi ia boleh merujuk pada kalangan rakyat yang boleh mempengaruhi keadaan politik negara, juga melangkaui kerajaan. Atau “rakyat dalam rakyat.” Maknanya “deep people” mengimbangi “deep state” supaya demokrasi dapat berfungsi dan berkesan untuk memenuhi tujuan asas sistem pemerintahan untuk rakyat.

Tetapi “deep state” tidak semestinya benar-benar wujud. Ia merupakan suatu konsep untuk menggambarkan realiti politik sesebuah negara di mana aktiviti demokrasi itu terletak di bawah kehendak sesuatu pihak, iaitu yang dinamakan “deep state.”

Ia mungkin juga hendak menggambarkan suatu konspirasi politik bagi memastikan negara dan kerajaan tidak menyeleweng daripada landasan yang ditetapkan kumpulan ini. Maknanya, rakyat boleh memutuskan apa saja melalui demokrasi tetapi ia tidak boleh terkeluar daripada kerangka negara yang dikehendaki oleh “deep state.”

Konsep “deep state” ini disebut beberapa hari lalu oleh Menteri Luar, Saifuddin Abdullah ekoran pengumuman Dr Mahathir Mohamad bahawa Kabinet membatalkan keputusan Malaysia menyertai Statut Rom.

Tetapi konsep “deep state” pada zaman moden merujuk kepada apa yang berlaku di Republik Turki apabila ia mula ditubuhkan oleh Kamal Attaturk pada 1923. Namun, ia mula digunakan terhadap Turki pada 1990-an apabila berlaku rangkaian rampasan kuasa tentera. Apa yang disebut sebagai “deep state” pada Turki adalah rangkaian sulit dalam kalangan polis, tentera dan agensi perisikan bagi memastikan jati diri dan keutuhan republik itu tidak tergugat.

Lebih-lebih lagi pada awal penubuhannya itu, pihak Barat masih mahu meleraikan Republik Turki dengan mendokong wilayah negara itu dipecah-pecahkan untuk menjadi Kurdistan dan juga daerah untuk digabungkan dengan Greece, Rusia atau Armenia.

Maka “deep state” diwujudkan di Turki bagi menjamin keutuhan negara itu. Walaupun Attaturk mahukan sistem demokrasi berkembang dan berkesan supaya Turki menjadi maju seperti mana negara Barat yang lain, tetapi beliau tentu tidak mahu kesannya merosakkan jati diri republik.

Sejarah moden Turki menyaksikan campur tangan tentera dalam politik, dengan banyak rampasan kuasa ketika kerajaan dilihat boleh menjejaskan apa yang dianggap sebagai keutuhan negara. Malah presiden Turki sekarang juga berdepan dengan usaha rampasan kuasa tentera. Ini kerana ada kalangan tentera beranggapan kerajaan Reccep Tayyip Erdogan mengancam aspirasi “deep state.” Pemimpin Turki itu dapat mengatasi rampasan kuasa itu kerana sebahagian besar rakyat turun ke jalan raya.

Maknanya dalam kalangan rakyat itu ada “deep people.” Kemudian konsep “deep state” ini juga digunakan terhadap Amerika Syarikat. Iaitu walaupun proses demokrasi menghasilkan presiden daripada 2 parti yang bertentangan, tetapi segala dasar dan tindakan kerajaan tetap berada pada kehendak “deep state.”

Maka dunia dapat menyaksikan walau siapapun yang menguasai White House dan Kongres AS, kuasa besar itu tetap mengikut dasar luar yang serupa. Perbezaan hanyalah pada pendekatan. Antara kehendak “deep state” AS ialah mepertahankan kedudukannya sebagai kuasa besar untuk menjaga kepentingan minyak, serta memelihara keselamatan Israel.

Selepas Perang Dunia Ke-2, banyak negara mencapai kemerdekaan dan akibat persaingan dengan Soviet Union, AS juga campur tangan dalam hal ehwal banyak negara asing. Mereka juga menerapkan konsep “deep state” ini pada negara baru merdeka. Antara aspirasi utama “deep state” ini ialah memastikan negara mereka tidak jatuh ke tangan komunis. Untuk itu tentera menjadi institusi dominan dengan bantuan tentera dihulurkan oleh AS.

Di Asia Tenggara, peranan tentera dilihat amat besar, khususnya di Indonesia, Myanmar dan Thailand. Walaupun selepas kejatuhan Suharto, Indonesia berusaha melaksanakan demokrasi tetapi Thailand dan Myanmar menyaksikan pengaruh besar tentera yang tidak boleh digugat oleh rakyat.

Malah dalam pilihan raya umum Thailand minggu lalu, seperti mana yang berlaku di Myanmar beberapa tahun lalu, proses demokrasi mereka terhad dengan kekuasan tentera yang terus kuat dalam kerajaan dan Parlimen. Konsep “deep state” terserlah di Myanmar dan Thailand. Ia tidak “deep” atau “terpendam.” Bagaimana tentera menggunakan atau berpakat dengan istana adalah jelas bagi para pemerhati.

Di Malaysia, soal “deep state” tidak timbul selama mana Perikatan dan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno terus memerintah. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu di atas runtuhan Malayan Union dengan penggubalan perlembagaan menjadikan tidak perlunya ada “deep state.”

Segala institusi negara, dari istana, tentera, perkhidmatan awam terpelihara dalam perlembagaan negara, dengan parti politik memerintah yang selaras dengan apa yang dirasakan sebagai jati diri atau tonggak negara.

Tetapi Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Lambat laun rakyat akan memilih parti selain daripada Umno dan BN. Tidak akan ada sesebuah parti yang akan memerintah selama-lamanya.

Maka selepas pilihan raya umum 2008 apabila BN kehilangan 5 negeri, beserta kegagalan memperoleh majoriti 2/3 di Dewan Rakyat, maka kesedarannya ialah tidak boleh tolak kemungkinan kerajaan akan bertukar parti suatu hari nanti.

Selepas pilihan raya itulah timbul kekhuatiran kalau-kalau parti selain BN yang menang, maka jati diri dan tonggak negara seperti yang dianggap oleh golongan tertentu akan terjejas.

Dari masa itu, bermulalah penekanan terhadap konsep ketuanan Melayu, malah disebut sesiapapun yang memerintah negara, mereka tidak boleh meminda apa yang disebut sebagai teras atau tonggak negara. Untuk ini, bukan saja polis dan tentera dilihat sebagai tonggak negara, tetapi ahli akademik Melayu turut mengeluarkan hasil pemikiran bagi mempertahankan negara. Institut penyelidikan juga ditubuhkan untuk menghujah kuat apa yang disebut sebagai tonggak negara.

Maka dalam keadaan inilah disebut mengenai “deep state” di Malaysia. Maknanya walaupun pilihan raya umum akan menghasilkan parti yang lebih terbuka dan bebas daripada Umno dan BN, namun mereka berharap ia tidak akan menjejaskan apa yang disebut sebagai jati diri negara.

Tetapi setelah PH memenangi PRU14, maka dirasakan “deep state” itu perlu digerakkan. Jadi apa jua pembaharuan atau refornasi yang hendak dilakukan, maka “deep state” ini akan mengambil berat.

Maka tidak mustahil pembaharuan yang hendak dilakukan kerajaan seperti ratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Pembasmian Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom dilihat sebagai mengancam jati diri negara seperti mana yang dianggap oleh “deep state.”

Tetapi seperti biasa, tidak semua rakyat yang menyokong “deep state.” Ada yang mengemukakan aspirasi negara alternatif, yang berbeza daripada apa yang dipegang oleh Malaysia sejak 60 tahun lalu. Kalau rakyat kuat, mereka merupakan “deep people” Malaysia, yang timbul kerana hendak mengimbangi “deep state.”