Kisah lanun diraja

Sekiranya membaca teks Melayu lama yang terhasil dari rahim istana seperti Sejarah Melayu, Hikayat Siak, atau Tuhfat al-Nafis, kita sulit menemukan kutukan terhadap kegiatan merompak di laut, atau pelanunan.

Hal ini kerana, di zaman lampau, pelanunan dianggap sebagai suatu yang positif.

Misalnya Sultan Husin Syah yang dikenali sangat korup peribadi dan pentadbirannya di Singapura memberitahu kepada Stamford Raffles, “Merompak itu sudah pusakanya, sebab itu tiada aib, tetapi yang merompak itu bukannya dia asal Melayu.”

Dalam erti kata lain, untuk istana “merompak itu sudah jadi satu tabiat”.

Perangai melanun atau merompak di laut dalam kalangan raja dan putera raja Melayu ini sebetulnya memang dirakam di dalam sejarah sejak era kerajaan purba di alam Melayu.

Ketika era kerajaan Funan, sekitar abad pertama Masehi, seorang ratu kerajaan Funan diperikan selalu memimpin angkatan laut untuk menyerang kapal pedagang yang melalui perairan.

Hal ini disebutkan oleh R. Braddell dalam artikelnya “A Study of Ancient Times in the Malay Peninsula and the Straits of Malacca”.

Maka tidaklah menghairankan terdapat catatan Tome Pires yang menyatakan Parameswara melanun di Singapura setelah tiba dari Palembang.

Baginda dikatakan membunuh Sang Aji di Temasek, dan apabila terusir ke Muar dan Melaka, kegiatan pelanunan baginda ini masih terus berjalan.

Setelah raja Melaka dan rakyatnya memeluk Islam, kegiatan pelanunan ini nampaknya disenyapkan dari Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Ini kerana, tiada peruntukan untuk menghukum mereka yang merompak di laut.

Hal ini tentunya menjadi tanda tanya memandangkan terdapat banyak kesalahan jenayah lain yang beria-ia dihukum, seperti menderhaka dan berzina.

Saya yakin golongan kanan Melayu yang sangat menyanjung dan melekatkan khayal muluk penuh romantika terhadap pemerintah Melayu-Islam di era tersebut kurang perasan akan kenyataan ini.

Mengapakah kegiatan pelanunan, iaitu merompak di laut, yang secara logisnya haram dan batil di sisi Islam, kalaupun tidak dianggap positif; telah didiamkan secara strategis oleh sektor Melayu zaman lampau?

Ahmad Jelani Halimi, seorang sejarawan yang menulis artikel berjudul “Lanun, Pedagang atau Penguatkuasa”, menariknya untuk Jurnal Warisan Johor Jilid IV, ada menyatakan 4 kemungkinan atau musabab mengapa pelanunan yang sepatutnya diperuntukkan hukuman hudud ini kurang disorot.

Mengapakah kegiatan jahat ini terlepas pandang, atau mungkinkah ia ditutup sebelah mata kerana ada kisah di sebaliknya?

Pertama, mungkin kerana “pada abad ke-18M ini terdapat ramai putera-putera raja yang tidak mempunyai kawasan pemerintahan mereka sendiri” lantas terpaksa “keluar berkelana sambil mencari keuntungan daripada merompak”.

Raja-raja dahulu berkahwin banyak, beranak banyak dan putera-putera raja ini sering berbalah. Tanpa negeri untuk ditadbir, mereka mulai menyamun. Hal ini tidak aneh kerana kekayaan Selat Melaka yang sibuk itu menyediakan keuntungan. Perompakan di laut adalah jalan singkat.

Kedua, selain bertindak sendiri, “anak-anak raja yang keluar berkelana itu mendapat tajaan istana”.

Malah, dalam keadaan selalu, kegiatan pelanunan itu mendapat kelengkapan atau fasiliti canggih.

Pengkaji menyatakan, “hasil rampasan itu akan dibahagi dua”, iaitu “beberapa peratus akan dijadikan hak mereka, manakala bakinya diserahkan kepada raja-raja atau pembesar yang menaja mereka”.

Malah, waktu itu, putera raja atau raja yang melanun ini dinamakan “perompak diraja” dan antara yang termasuk dalam kategori ini adalah Sultan dan Raja Muda Riau, serta adinda raja Palembang di abad ke-18 Masehi.

Selain itu anak-anak raja Siak antara lain Raja Buang Asmara atau gelaran Islaminya Sultan Muhammad Abdul Jalil Jalaluddin Syah (kadang dirujuk Sultan Mahmud), Raja Alam, Raja Ismail, Tengku Abdullah dan Syed Ali (menantu Yam Tuan Besar Siak) bebas sewenang-wenang melanun.

Ketiga, terdapat kemungkinan istana sendiri di abad ke-18M itu memang ketagih melanun. Ini kerana Raja Buang Asmara atau Sultan Muhammad Abdul Jalil Jalaluddin Syah, nampaknya tidak dapat menghentikan “habit” melanun dan merompak meskipun sudah bergelar sultan dan naik takhta kerajaan Siak. Baginda dikatakan sering merompak di laut, malah Tuhfat al-Nafis menyebut jika baginda berasa bosan iaitu “fikiran tiada ketahuan”, hobi mudah tuanku adalah perompakan: “Adapun Sultan Mahmud setelah Holanda duduk di Pulau Gontong itu, maka datanglah fikirannya tiada ketahuan lalulah ia keluar ke Sanglor merompak perahu-perahu Jawa hendak masuk ke Siak dan kecil Holanda pun dirompak.”

Dokumen sejarah juga menyorot anak raja Kedah, Tengku Long Putera melanun di Larut; dan Raja Ibrahim, putera Sultan Salehu’ddin dari Selangor antara tahun 1743 sehingga 1770 Masehi, turut kerap melanun.

Perompak diraja ini sudahnya bertelingkah sesama sendiri mencetus perang saudara yang mengheret rakyat terbawah.

Nicholas Tarling dalam buku “Piracy and Politics in the Malay World” menyebutkan anak-anak raja yang melanun ini adalah “pemalas dan tidak berakhlak”.

Tanpa Tarling pun kita tentu dapat berfikir dengan mata hati, ia adalah perbuatan memualkan.

Ada peribahasa Melayu berbunyi, “intan salah serudinya (canainya)”, yang bererti, “biarpun berketurunan baik, kalau tidak berpelajaran atau membuat kelakuan yang buruk, nescaya jahat dan hina juga jadinya”.

Keempat, kita tidak dapat menafikan terdapat kerajaan Melayu di zaman lalu yang tertubuh atau lahir dari kegiatan pelanunan. Malah kata “lanun” itu berasal dari suku kaum yang biasa melanun iaitu suku kaum Melayu Illanun yang beroperasi di Teluk Lanao, sekitar Mindanao.

Fakta ini menjelaskan serba-sedikit satu hal yang menarik iaitu, meskipun kegiatan lanun ini sudah lama dan berakar, akan tetapi kata lanun itu sendiri masih baharu.

Selain kata lanun itu asing dalam teks klasik, saya juga mendapati sukar ditemukan pantun, atau peribahasa yang menggunakan kata lanun. Mungkin saja kata yang lebih banyak digunakan adalah bajak laut (atau penyamun di laut).

Terlepas dari niat sebenar anak-anak raja ini melanun, ini kerana ada dakwaan ia bukan “animus furandi” (intention to steal) tetapi sebaliknya satu kegiatan gerila memandangkan kapal dagang yang diserang itu selalunya dari pihak penjajah, atau membawa barang dagangan penjajah Inggeris dan Belanda; tetapi ia tetap pelanunan.

Sesuatu perbuatan yang jahat, cabul, batil, mungkar, nista, keji, biadab, bebal, jenayah, sundal, jengkel, mual, muntah, dan berdosa itu tidak dapat kita cuci dengan istilah berkebajikan dan penuh kemuliaan.

Sayugia diingatkan kegiatan pelanunan dan perompakan ini dirujuk oleh Abdullah Munshi di dalam Kisah Pelayaran Abdullah sebagai “menghisap kering dan melumpuhkan kegiatan rakyat mereka sendiri”.

Dalam erti kata lain, pelanunan ini bukan satu natijah gerakan pembebasan. Perompak diraja ini bukanlah Robin Hood. Ia tidak patut dikhayalkan sedemikian. Ia juga bukan satu romantika ala novel Joseph Conrad.

Terdapat banyak rekod kegiatan pelanunan di alam Melayu menceritakan aktiviti tersebut terkesan lebih seperti satu serangan keganasan.

Pada 2017, The Malay Heritage Centre di Singapura, yang bertempat di Istana Kampung Gelam (satu waktu dahulu adalah istana Sultan Husin yang disebutkan di awal artikel) menganjurkan pameran mengenai budaya masyarakat Bugis.

Salah satu aspek yang diketengahkan dalam pameran dengan penyelidikan tersebut adalah kegiatan pelanunan dalam kalangan orang Bugis.

Jamal Mohamad, pengurus di pusat tersebut mengatakan, kegiatan pelanunan menjadi satu cara hidup lantaran ketiadaan sumber. Barangan yang disamun itu kemudian didagangkan kembali sebagai mata pencarian.

Hari ini, kegiatan pelanunan oleh perompak diraja abad ke-18 Masehi ini tidaklah dapat disanjung dan dijadikan panduan dalam zaman moden yang mana negara bangsa bermaruah memilih untuk menandatangani kovenan antarabangsa seperti ICERD, dan CEDAW.

Kita tidak dapat lagi menggunakan alasan ia adalah satu cara hidup, atau kerana memang ketagihan menyamun apatah lagi cuba mewajarkannya dengan alasan budaya.

Syukur juga perompak diraja seperti yang disebutkan oleh Ahmad Jelani Halimi itu sudah tidak lagi bermaharajalela.

Hari ini sistem monarki kita diberkati dengan Raja Melayu dan putera serta puteri yang terdiri daripada golongan intelektual seperti terlihat pada sosok tubuh Sultan Nazrin Shah, atau putera kedua Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz, yang mengasaskan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), atau Tunku Puteri Intan Safinaz, puteri Sultan Kedah, yang merupakan wanita pertama menyandang jawatan pro-canselor di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hari ini, jika anda seorang saudagar besar, dan punya kapal kargo yang melintasi perairan Siak-Johor-Singapura; anda akan melafaz Alhamdulillah kerana tidak perlu berdepan dengan aktiviti pelanunan seperti masa lampau.

Kenapa? Syukur “kita sudah menandatangani” Statut Rom.
Ini kerana kegiatan pelanunan atau perompakan ini, di darat mahupun di laut tidak dapat lagi diterima akal, agama malah undang-undang kontemporari.

Mujur juga para lebai dan Melayu zaman ini semakin arif tentang poin yang saya bentangkan di atas.

Itulah puncanya kadang kala mereka turun menunjuk perasaan, berdemonstrasi dalam panas (dan kadang berhujan) untuk menyatakan kebencian mereka terhadap kemungkaran pelanunan, anti kegiatan samun dan menolak rasuah.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.