Sang intelektual menurut Usman Awang

Kira-kira 40 tahun yang lalu, Sasterawan Negara Usman Awang memberikan ceramahnya di hadapan siswa Malaya dan Singapura di London pada 25 Mei 1970. Ceramah di Malaysia Hall itu diberi tajuk “Peranan Intelektuil”.

Tentu sangat menarik untuk membaca teks syarahan beliau yang bernas dan padat itu hari ini. Apatah lagi, jarang kita berkesempatan membaca hasil atau buah fikir Usman Awang di luar sastera, budaya dan dunia persuratkhbaran. Makanya sebuah karangan mengenai “intelektual” saya kira sangat mengesankan.

Kalau kita menyebut nama Usman Awang, bangsa Johor yang besar, ramai Melayu akan tersungkit punggung khusus kerana puisi beliau bertajuk “Melayu” itu menukilkan bait “menjadi tuan di negara Merdeka”.

Bait ini atau puisi ini sekali imbas dibaca mungkin ditafsirkan sebagai satu promosi akal budi Melayu atau lebih dahsyat ada yang menganggapnya sebagai iklan ketuanan Melayu.

Usman Awang dalam syarahan di London tersebut menggariskan 4 pengertian intelektual.

Pertama, fikirannya berkembang sesuai dengan perkembangan ilmu, yang mana “ilmunya tidak basi dan beku”.

Kedua, intelektual itu sentiasa berfikir dan kemudian menyumbang perkembangan idea atau fikiran tersebut. Ketiga, intelektual menggunakan ilmu, kemampuan berfikir dan kemahiran menganalisis untuk memberi kebaikan kepada masyarakat dengan cara “menchari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu”.

Akhir sekali, seorang intelektual itu mengenal kebenaran dan bukan setakat kenal, tetapi ikut memperjuangkannya. Intelektual melakukan itu dengan bebas kerana ia mengenal kebebasan dan berani bebas walaupun ditekan dan diancam. Bahkan intelektual akan terus memperjuangkan kebenaran dan kebebasan tersebut untuk masyarakat.

Oleh demikian Usman menyatakan seseorang intelektual itu tidak mesti graduan sebuah universiti. Tidak pula mesti pemimpin.

Usman menegaskan intelektual hendaklah mempunyai apa yang beliau namakan – sikap hidup – yang berkaitan dengan apakah sikap intelektual ketika berdepan dengan kepercayaan karut? Intelektual akan memilih ilmu pengetahuan serta sains teknologi.

Seorang intelektual akan memilih kemajuan ilmu. Kemudian apabila berdepan dengan perangai menyerah, menghamba diri dan menjadi robot, seorang intelektual akan memilih “kebebasan berfikir, semangat perwira dan jiwa besar”.

Seterusnya sang intelektual tidak akan membenarkan berlakunya jurang antara kaya dengan miskin, atau berilmu dengan tidak berilmu. Seorang intelektual akan sentiasa mencari jalan untuk menutup jurang itu.

Kemudian seorang intelektual akan melawan penindasan oleh golongan berkuasa dan kaya terhadap yang melarat. Intelektual tidak mengizinkan apa pun bentuk penindasan oleh manusia ke atas manusia lain .

Untuk intelektual melakukan pilihan murni di atas, ia perlu bergaul dengan masyarakat, turun ke padang dan dikenali oleh masyarakatnya.

Sehingga ia, si intelektual itu akhirnya menjadi sebati dengan rakyat dan mengerti suara rakyat, bukan kerana ia juga ikut kabut dengan kepercayaan lapuk, tetapi kerana ia berada di lapangan, bergelumang memastikan masyarakat segera tahu apa yang ia tahu, beroleh ilmu dan bersikap kritis menerusi pola sebab dan akibat.

Saya memetik ucapan almarhum Usman Awang tersebut:

“Peranan intelektuil ialah mengenal masharakat dengan sistimnya dengan sedalam2nya, melihat dengan sikap kritis segala sebab dan akibat. Jadi pergi ke desa, (bukan sebagai ‘tourist’ menyedut udara bersih dan menikmati pandangan alam atau menchari buah2an dimusim durian dan rambutan), tetapi menyoroti desa dan kampung sehingga ke dasar lumpur sawah, ke balik tungku dan dapur yang dingin, ke dasar belanga sumbing, periuk kosong dan pembuluh2 darah anak2 yang berisi kuman malaria.

“Untuk ini hanya ada suatu jalan saja, yaitu mengintegrasikan diri dengan kehidupan rakyat itu sendiri, mengenal harapan dan chita2nya, menyerapkan dua laranya dan bernafas degan nafas rakyat”.

Usman seterusnya memesankan agar intelektual tidak hanya “banyak idea dan teori, tetapi umumnya tidak mempunyai kesanggupan dan kemampuan untuk mempraktikkannya’”.

Usman Awang juga menyerukan sebuah masyarakat contoh dalam syarahan langkanya itu. Apakah masyarakat contoh menurut Usman Awang?

Ia adalah masyarakat yang “susunan dan sistemnya mendorong orang untuk maju dan berilmu”. Bukan masyarakat yang menghalang dan menyekat kebebasan berfikir, dan bersuara.

Usman menulis begini: “apakah masharakat itu, suasana dan sistimnya mendorong orang untuk maju dan berilmu, ataupun mendorong orang untuk menjadi penindas dan pemeras dan saling menekan. Apakah sistim dan suasana masharakat itu menjadikan orang bersifat indvidualistik ataupun membina semangat tolong-menolong dan gotong royong” .

Tatkala membaca bahagian ini, saya tersentak dan memikir bagaimanakah masyarakat kita yang nampaknya sudah terbatas dan tersekat oleh kesungkupan fikiran.

Terdapat banyak had yang tidak dapat dilanggar. Sedemikian banyaknya kepungan atau sempadan yang dibuat oleh agamawan atas nama fatwa. Kemudian masyarakat terhempuk lagi terhenyak oleh feudalisme yang diberi pelbagai pakej untuk menghalalkannya.

Usman Awang menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai (ketika itu Usman berucap dalam tahun 1970) 2 peristiwa bersejarah yang melihat para intelektual turun padang untuk mengetuai masyarakat dan melakukan perubahan dengan kebebasan berfikir dan pencarian kebenaran.

Insiden pertama adalah “penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia”.

Usman memuji pengasasan UKM yang menurutnya lahir daripada inisiatif golongan intelektual. Usman dalam syarahannya menghimbau peristiwa tersebut: “Mereka sechara praktikal mengadakan pertemuan bersejarah
seramai lima puluh orang di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 25hb Ogos, 1968.

“Berikutnya terbentuk sebuah Jawatakuasa Penaja Universiti Kebangsaan yang sesudah membikin kempen kepada rakyat, lalu mengadakan Kongres Universiti Kebangsaan pada 15 Mac 1969, setahun sesudah kongres itu universiti Kebangsaan telah memulakan kuliahnya”.

Satu lagi insiden yang mana para intelektual menunjukkan sikap hidup secara positif ialah dalam hal menangani peristiwa Teluk Gong, iaitu apabila pihak kerajaan menafikan hak peneroka dan petani di Telok Gong untuk memiliki bahagian yang telah mereka usahakan.

Usman Awang mengingatkan siswa di London itu begini:

“Chontoh lain tentang kegiatan dan peranan intelektuil kepada masharakat ialah peristiwa petani Teluk Gong. Wakil dari intelektuil ini bukan saja berusaha menemui petani dan pihak kerajaan, tetapi juga telah pergi ke Penjara Pudu, menemui pemimpin2 petani yang ditahan di Penjara Pudu tanpa pembicharaan sechara adil di mahkamah.

“Meskipun penyelesaian tanah petani2 yang meneroka tanah Teluk Gong itu tidak seratus peratus memuaskan, tetapi sebahagian besar petani2 itu akhirnya berhasil memiliki tanah, walaupun dalam jumlah yang belum menchukupi untuk keperluan kehidupan mereka”.

Hari ini, dengan puluhan buah universiti, ribu mungkin juta graduan kita, Malaysia tidak menghasilkan intelektual, tetapi malah robot dan penyangap anugerah cemerlang. Untuk itu ahli akademik terkejar-kejar menulis makalah konon ilmiah yang tidak diketahui apakah sumbangannya kepada masyarakat.

Sasaran seorang intelektual telah dikotakkan kepada berapa jumlah kertas berindeks, jumlah geran terhitung dalam kantung, restu atau masam muka bos yang gila populariti dan lebih hancing terbilang oleh tanda suka di FB.

Persoalan pokok negara, seperti masalah mendesak mengenai pendidikan, sosial, hak asasi manusia dan ekonomi tidak kedengaran ditangani secara bertanggungjawab dan bersikap.

Paling-paling pun forum yang diberi nama gah sedikit “wacana” yang muluk-muluk sahaja perbincangannya dan tidak kritis. Dalam banyak keadaan sang intelektual tidak bersama masyarakat, sebaliknya bersama penindas.

Usman akhirnya mengingatkan bahawa seorang intelektual itu mempunyai banyak beban. Salah satunya adalah “membongkar keburukan dan mendedahkan penindasan yang tak ketara, yang tersembunyi di balik undang2 dan peraturan2 yang memang dibuat dan disediakan untuk kepentingan golongan kechil yang berkuasa dan berpengaruh”.

Yang mengerikan menurut saya entah-entah penyakit disebut dalam perenggan di atas ini ada di universiti yang nyawanya dibidani para intelektual masa lampau. Ya, boleh jadi. Boleh jadi juga tidak. Moga-moga tidak. Entah-entah silap. Harap mujur tiada.

Malah untuk mencari ilmuan, profesor dan majlisnya, sasterawan (negara dan bukan negara) yang “membongkar keburukan dan mendedahkan penindasan yang tak ketara, yang tersembunyi di balik undang2 dan peraturan2 yang memang dibuat dan disediakan untuk kepentingan golongan kechil yang berkuasa dan berpengaruh” ketika korupsi sedang bermaharajalela sebelum 9 Mei 2018 pun rasanya payah.

Ramai yang lebih halai balai. Baru sekali dua ini nampak kepala mereka terjongol di balai Gerak Budaya, diintai potret Syed Hussein Alatas, Ali Shariati dan Ahmad Boestamam. Al-maklum kerajaan sudah bertukar. Baru sekali dua ini nampak mereka mencatat coret yang tersangka ganas dan kritis di Twitter, acah ciapan yang semangatnya – konon – merakyat.

Seperti yang saya nyatakan di awal tulisan ini, Usman Awang adalah satu khazanah bangsa Johor yang sangat hebat dan telah menghidupkan kepedulian untuk masyarakat dengan cara yang mencabar, iaitu berguling dalam arena sastera dan kemudian turun dalam masyarakat.

Beliaulah lambang bangsa Johor yang boleh dibanggakan hari ini. Putera Kuala Sedili. Moga-moga syarahan beliau mengenai “intelektuil” yang saya hidupkan kembali perbahasannya hari ini akan menyenangkan roh almarhum di alam sana.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.