
Sejak 24 Jan sehingga hari ini, purata 2,000 ke 3,000 pesakit disahkan terkena jangkitan koronavirus setiap hari, manakala purata kematian adalah 25 ke 40 pesakit sehari di mana ia merebak dengan pantas, terutamanya di China.
Purata 2,000 pesakit baru sehari akibat jangkitan koronavirus novel 2019 (2019-nCov) dipercayai adalah angka rasmi yang disahkan melalui ujian darah.
Menariknya, jika setiap hari terdapat purata 2,000 pesakit yang disahkan terkena jangkitan di China, berapakah purata jumlah pesakit yang datang ke hospital setiap hari kerana mengesyaki mereka terkena jangkitan koronavirus meskipun ia mungkin hanya mengalami selsema dan batuk yang biasa?
Secara logiknya, kumpulan pesakit yang masih di peringkat disyaki terkena jangkitan ini tidak akan dimasukkan ke angka rasmi sehinggalah keluarnya laporan ujian darah mengesahkan ia adalah jangkitan koronavirus dan bukannya sekadar selesema dan batuk biasa.
Tidak pasti apakah jumlah rasmi pesakit terkena jangkitan koronavirus yang dilaporkan setiap hari diterhadkan (was limited) oleh kapasiti keputusan ujian darah yang mampu dilakukan setiap hari? Yang pasti, angka purata jumlah pesakit yang disyaki semestinya adalah lebih tinggi.
Jika purata jumlah pesakit yang disyaki yang melaporkan diri ke hospital China setiap hari ini diketahui, ia pasti akan memberi gambaran sebenar betapa daruratnya jangkitan koronavirus di China sehinggakan perintah berkurung terpaksa dikeluarkan.
Tindakan negara China menyiapkan sebuah hospital baru yang dilengkapi 1,000 katil pesakit di dalam masa 6 hari, menandakan keadaannya sangat serius. Perlu diingatkan pesakit yang disyaki mesti dikurung di hospital sehingga laporan darah selesai untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain andainya mereka disahkan positif. Oleh itu, hospital ini satu infrastruktur yang amat perlu di dalam mengehadkan penyebaran wabak ini.
Kecepatan hospital ini dibina memberikan gambaran jangkaan jumlah pesakit yang datang ke hospital di China kerana mengesyaki mereka terkena virus koronavirus setiap hari adalah sangat tinggi.
Jadi tidak menghairankan mengapa hampir semua negara yang terjejas menyekat penerbangan terutamanya dari dan ke Wuhan dan Hubei, dan terpaksa melancarkan misi membawa pulang warga masing-masing daripada kawasan wabak ini.
Selain itu, diharap ada pihak yang dapat mengumpul maklumat daripada pesakit koronavirus yang baru untuk mengetahui apakah terdapat ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja pesakit yang disahkan terkena jangkitan koronavirus sebelum pesakit sendiri?
Jika ada, maklumat perbezaan tarikh antara ahli keluarga, sahabat atau rakan sekerja pesakit disahkan terkena jangkitan koronavirus dan pesakit sendiri perlu dikumpulkan untuk memberikan gambaran purata masa yang diperlukan koronavirus untuk bertindak ke atas mangsa baru. Pakar menyatakan tempoh pengeraman adalah antara 2 sehingga 14 hari. Jika maklumat tambahan dapat dikumpulkan, dan disebarkan kepada umum, mungkin boleh ketahui apakah tempoh pengeraman virus ini berbeza antara umur pesakit, contohnya.
Dari statistik kematian pula, penting juga untuk didedahkan kepada umum statistik umur pesakit dan jumlah hari pesakit diberikan rawatan di hospital sebelum mereka meninggal dunia. Begitu juga dengan kadar kesembuhan pesakit daripada koronavirus, statistik umur pesakit dan jumlah hari rawatan sebelum pesakit disembuhkan selepas dimasukkan ke hospital juga sangat penting diketahui umum.
Apakah orang tua lebih berisiko atau virus ini tidak mengenal umur? Apakah rawatan awal membantu ataupun kebarangkalian untuk sembuh daripada koronavirus bergantung sepenuhnya pada tahap sistem imuninasi individu masing-masing?
Kedua-dua maklumat ini penting untuk memberikan konteks yang betul kepada umum mengenai kadar kematian koronavirus ini. Ia juga akan memberikan kesedaran kepada semua untuk terus ke hospital melakukan ujian darah meskipun ia mengalami selsema dan batuk biasa.
Mungkin segala maklumat yang dicadangkan dalam artikel ini ini sudah ada di pihak tertentu. Jika ada, diharap pihak berkenaan dapat berkongsi di mana boleh mendapatkan maklumat ini agar ia dapat dikongsi kepada umum kerana ia akan memberikan perspektif yang betul dan mengurangkan jumlah berita palsu mengenai wabak koronavirus.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.