Aku, Cina Ampang

Ada satu permainan yang diajari oleh guru sejarah saya tatkala di sekolah. Permainan itu namanya “permainan jadi-jadi”. Cara ia dimainkan sedikit aneh. Guru akan memadankan 2 orang pelajar atau lebih; dan setiap pelajar akan memilih untuk “menjadi” bangsa yang lain dari keturunan asalnya.

Misalan, jika pelajar itu India, dia harus memilih menjadi seorang Iban, dan kemudian mencari episod sejarah dan latar tokoh Iban yang harus dikuasai dan dihayati, sehingga serasa-rasa dia memang seorang Iban. Pelajar Iban pula, akan menjadi seorang India, dan mencari dari mana-mana teks sejarah untuk menelusuri hayat bangsa India, dan memilih seorang tokoh yang dapat ditekuni dan dihidupkan dalam diri.

Dengan itu, “permainan jadi-jadi” akan membolehkan pelajar kelas saya ketika mata pelajaran sejarah, seseorang yang lain. Kadang-kala kami akan “bertukar kulit”, Cina misalnya akan menjadi Melayu dan Melayu pula merasa menjadi Cina.

Dalam satu “permainan jadi-jadi” saya telah memilih untuk menjadi seorang Cina. Bukan sebarang Cina, tetapi Cina Ampang.

Kawasan itu kira-kira 5 batu dari Kuala Lumpur. Ketika itu, Ampang mencakupi 2 setengah batu ke arah Circular Road. Kawasan ini juga termasuk Sungai Puteh di bahagian timur, Sungai Keting di selatan dan juga Bukit Belacan di bahagian utara.

Orang Cina pada 1820 sekitar 12 ribu orang, khusus di Negeri Selat, dan terlalu sedikit di negeri Melayu. Akan tetapi, menjelang 1860, jumlah orang Cina mendadak menjadi 100 ribu orang. Di Selangor, kaum Cina sudah pun bertapak sekitar 1824 di Lukut.

Saya membayangkan saya Cina Lukut yang dibawa ke Ampang untuk melombong bijih. Dalam 1857, penerokaan bersejarah yang pertama di Ampang itu bermula dengan 87 orang kuli Cina dan 2 orang ketua kampung pelombong. Mereka semua berbangsa Fui Chew Hakka.

Namun demikian, saya membayangkan hutan tebal di sekitar Ampang. Ular berbisa. Juga nyamuk. Hanya 17 orang sahaja yang hidup setelah diserang malaria. Untuk menampung kerja buruh yang semakin kasar, 150 orang lagi didatangkan dengan 5 buah bot.

Saya tidak dapat membayangkan derita di Ampang sebagai seorang Cina. Tempat itu hulu. Ia jauh dari peradaban manusia. Kerja saban hari membanting tulang dan menyimbah keringat menapis bijih di tebing lombong. Di bawah cahaya terik matahari, ramai yang tumbang; akan tetapi saya menjadi hamba manusia. Saya tidak punya pilihan lain.

Apa yang saya lakukan di Ampang? Saya seorang Cina yang lahir di selatan pesisiran pantai di Kwantung, China. Saya diberitahu saya boleh menjadi kaya di sebuah negeri yang jauh dan setelah mengumpul wang besar, saya boleh kembali semula ke China. Kekasih saya sudah menanti dan akan kekal menanti untuk diperisterikan. Dia sudah berjanji tidak akan mengahwini lelaki lain.

Di Ampang, derita saya bukan sahaja kerana melarat oleh penyakit dan kebuluran. Bukan juga kerana kerja kuat. Saya malah merindui kampung halaman. Saya mengharap setiap hari supaya tidak mati di bumi yang kejam sekali. Saya membayangkan mencium rambut kekasih yang harum. Saya menangis sunyi pada malam hari.

Pada siangnya, saya berdepan dengan mandur yang memaksa sikapnya. Demi Tuhan, kehidupan saat itu amat sukar. Teman-teman pelombong lain, meskipun Cina, bukanlah dari bangsa sama. Memang Fui Chew Hakka kaum utama dalam kalangan kaum Cina di Ampang. Akan tetapi saya juga berdepan dengan puak Kantonis. Mereka beramai-ramai tiba di sini ketika Chow Ah Yeok (Chow Yock Wang) menjadi pemimpin ketiga dalam kalangan pemimpin Cina di Kuala Lumpur pada 1880. Puak Kantonis menyokong Yap Ah Loy dalam perang saudara Selangor. Itu perang orang besar-besar.

Selain mereka, saya juga perlu bersenggolan dengan pelombong Cina dari puak Ta-pu Hakka. Mereka bukanlah pelombong bijih yang bagus di Ampang. Sebetulnya mereka lebih terlibat dengan penjualan ubat, menjadi tukang besi, atau urusan pajak gadai dan kadang juga sebagai penjahit. Kebanyakan kedai-kedai ubat dan penjahit hari ini dari golongan Hakka.

Suatu saat saya hampir mati kerana dipatuk ular tedung di luar lombong. Kumpulan Ta-pu Hakka inilah yang merawat saya.

Setelah beberapa lama menetap di Ampang, saya sudah mulai ragu akan menjadi kaya dan impian memeluk kekasih di China semakin kabur. Saya mulai melihat masa hadapan di tanah yang jauh ini. Saya tahu, ia bumi asing tetapi lama-kelamaan semuanya menjadi sungguh alami di sini.

Saya kian percaya, inilah tempat sebenar tumpah peluh dan darah.

Di Ampang, aktiviti perlombongan secara kecil-kecilan sudah dilakukan oleh orang Melayu sebelum kedatangan Cina. Pada 1875, penghijrahan pelombong Cina menjadikan perlombongan secara besar-besaran berlaku di Ampang. Eksport pertama bijih timah pada 1859 dari Ampang menarik minat pedagang, dan juga pelombong lain.

Apabila Raja Abdullah memberi permit besar-besaran kepada saudagar Cina untuk mengusahakan aktiviti perlombongan, Ampang menjadi serta-merta pesat. Ketika itu saya sudah memadam sama sekali angan-angan untuk pulang. Saya terpaksa memilih untuk mengahwini seorang gadis dari puak Ta-pu Hakka, bapanya yang menyelamatkan saya dari racun ular berbisa.

Buat seketika Perang Saudara Selangor membuatkan keadaan huru-hara. Keadaan kembali tenang ekoran campur tangan British pada 1875 dan pemindahan pusat pemerintahan ke Kuala Lumpur pada 1880 menyelamatkan kemerosotan bijih timah. Selepas 1880, Ampang menjadi makmur semula dengan bijih timah. Menjelang 1896, Ampang memiliki 29 dari 565 ekar tanah yang terdapat perlombongan bijih, tidak termasuk yang dimiliki oleh kapitan Cina.

Pada 1884 nasib saya berubah sedikit, taukeh saya membeli lombong milik Messrs. Juga lombong kepunyaan Hill, Rathbone dan Lister di Petaling. Tauke saya juga memiliki lombong bijih menggunakan enjin stim yang dibelinya dari syarikat Eropah. Saya menjadi orang kepercayaan oleh pengalaman yang banyak.

Apabila tiba-tiba tauke menjual lombong di Ampang-Ulu Klang kepada Syarikat Messrs, Patterson, Simons dengan harga 170,000 dolar, saya menjadi pekerja bawah orang Inggeris. Saya beritahu tuan punya lombong apa yang mereka lakukan salah.

Orang Eropah gagal dalam industri perlombongan bijih sekitar 1884 dan 1885. Ia hasil impak dari kesilapan aplikasi teknologi Barat kepada latar Asia. Mereka tidak mempunyai pengalaman cukup apabila menghabiskan kos berlebihan dalam mesin dan hal pengurusan.

Saya beritahu mereka, kaum Cina berjaya dalam perlombongan kerana mereka menggunakan kos buruh murah, barangan, dan pelan kerja yang baik. Saya menjelaskan kepada tuan saya satu-satunya jalan untuk orang Inggeris memintas kekuatan dan kecekapan pemilik lombong Cina adalah dengan memperkenalkan teknologi baru yang bersesuaian.

Tuan saya percaya. Dia membawa masuk teknologi baru sistem hidraulik dalam melombong dan ini menjadi revolusi dalam perlombongan lantas membawa kepada penggunaan kapal korek. Tuan saya memberikan peranan besar kepada saya dalam syarikat perlombongan itu dan perlahan-lahan saya menjadi mandur, menjadi ketua mandur, dan pembantu pengurus.

Hasil kerja keras, saya kemudian diberikan kuasa menjaga sebuah lombong berkeluasan 4 batu setengah dengan kekuatan 1,500 orang pekerja. Lombong itu boleh menghasilkan sebanyak 700 hingga 800 pukal bijih sebulan. Oleh kepercayaan yang diberi, saya kemudian menggunakan 3 enjin diesel sekitar 1200 HP di lombong ini. Menjelang 1914, loji elektrik dipasang di lombong yang saya jagai dan jumlah buruh meningkat seramai 2,000 orang.

Ketika itu masalah saya hanyalah pada pelombong haram berbangsa Cina yang dipanggil “tikus hutan” kerana aktiviti mereka tanpa lesen. Terdapat juga pelombong Melayu seperti Abdul Rani Bilal dan Penggawa Tua melakukan aktiviti perlombongan bijih secara berskala kecil di Ampang hingga ke simpang Ulu Klang.

Saya mengajak pelombong haram itu menyertai lombong saya, manakala pelombong Melayu saya berikan bantuan dengan membeli hasil bijih mereka.

Sebelum meninggal dunia saya memberitahu anak-anak. Bumi ini menyediakan saya hayat yang panjang, nestapa, dan berliku. Namun demikian bumi bertuah ini juga menghamparkan buat saya, rezeki yang atas kegigihan dan kerajinan membekalkan kemewahan dan mengisi fantasi kekayaan.

Betul, saya kini sudah hartawan di saat nazak. Akan tetapi jangan lupa saya mengorbankan semua yang saya punya. Saya meninggalkan kampung halaman untuk menjadi setia di daerah yang jauh. Saya bangunkan daerah kumuh itu menjadi sebuah kota yang besar dan pesat. Saya tidak menatap lagi wajah ibu dan bapa yang ditinggalkan sewaktu usia remaja. Saya tidak pernah tahu bagaimana mereka meninggal dunia.

Saya mungkin mengahwini seorang isteri yang setia dan budiman. Akan tetapi kekasih saya di desa, entah dia masih hidup atau dia sudah tua renta. Dia barangkali percaya, lalu menunggu kepulangan saya yang tidak kunjung tiba.

Saya beritahu anak-anak; “Kita telah memberikan semua kudrat dan sepenuh jiwa raga kepada bumi ini. Jangan sekali-kali berpaling. Sejak aku dipatuk ular di luar lombong itu, dan kemudian hidup kembali; aku sudah berikrar. Aku anak bumi ini. Aku anak Ampang. Aku, Cina Ampang.”

Ada satu permainan diajari guru sejarah saya tatkala di sekolah. Permainan itu namanya “permainan jadi-jadi”. Permainan ini diciptakan oleh guru saya agar kami saling mengenal. Kerana di 1980-an, di sekolah kebangsaan, masih ada rakan bangsa Cina untuk bermain.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.