Konflik Israel-Palestin: Apa langkah Malaysia seterusnya

Konflik Israel-Palestin: Apa langkah Malaysia seterusnya

Konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan, dan kestabilan serantau yang berkekalan.

Malaysia dukacita dan kesal dengan masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang tidak mampu menghentikan keganasan rejim Israel ke atas Palestin. Itu kata Perdana Menteri berikutan kekejaman terbaru Israel di Gaza.

“Sehingga kini Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat,” kata Muhyiddin Yassin pada 15 Mei.

Hubungan intim dan sokongan padu Washington terhadap Tel Aviv kita sudah lama maklum, walau siapa pun yang memegang jawatan presiden. Mana-mana ahli politik yang tidak menyokong Israel jangan mimpi jadi presiden AS.

Sokongan dan dukungan AS membuat Israel terus sombong , angkuh, bongkak, kejam, dan ganas.

Kata Muhyiddin, Malaysia akan terus berusaha menyeru komuniti antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin. Bagi saya dan tentu ramai yang setuju, itu satu langkah tepat. Apa lagi yang boleh atau akan Malaysia lakukan?

Menurut Perdana Menteri, penyelesaian terbaik konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan, dan kestabilan serantau yang berkekalan.

Lantas, kata Muhyiddin, Malaysia menyokong penyelesaian adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau “Two-State Solution” berdasarkan garis sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin. Ini sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin – Israel.

Namun beberapa pihak dalam negara termasuk NGO Melayu-Islam tidak setuju kerana pendirian kerajaan Muhyiddin yang dikatakan pentadbiran Melayu-Islam akan “mengiktirafkan penjajah Israel sebagai sebuah negara berdaulat”. Maksudnya memberi “legitimacy” kepada sebuah negara haram.

Setuju atau tidak dengan pandangan itu terpulang. Namun pihak yang membantah tidak pula mengemukakan cadangan alternatif atau menyatakan bagaimana konflik itu boleh diselesaikan.

Kerajaan tentu tida akan berganjak. Tetapi pada masa yang sama tidak memberitahu apa yang akan ia lakukan selain menyatakan sokongan terhadap “Two State Solution”. Butiran lanjut walaupun sedikit perlu dinyatakan.Tanpa itu ungkapan Inggeris “talk is cheap” akan timbul.

Lagi pun Malaysia kerap memberi gambaran ia mahu memainkan peranan dalam mencari penyelesaian konflik ini khususnya menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Mengenai kekejaman terbaru Israel terhadap Palestin, Muhyiddin berkata Malaysia mendahului langkah atau “take the lead” mengeluarkan kenyataan bersama Indonesia dan Brunei mengutuk keras keganasan yang masih berlaku. Ketiga-tiga negara, kita tahu, tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Bercakap mengenai Indonesia, teringat saya akan bekas presiden republik itu, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur. Allahyarham adalah agamawan yang memimpin Nahdatul Ulama untuk sekian lama sebelum menjadi presiden Indonesia pertama yang dipilih rakyat secara demokratik setelah jatuhnya Suharto pada 1998.

Izinkan saya memetik laporan portal berita Indonesia, Tirto ID, yang mengatakan Gus Dur memang unik, seorang tokoh Islam di Indonesia yang lahir dari keluarga kiai dari pondok pesanteren tradisional.

Meski pun demikian Gus Dur jauh dari stereotaip bahawa pemimpin Islam harus memusuhi Israel . Sebaliknya Allahyrham agak “dekat” dengan Israel.

Sebelum menjadi presiden, Gus Dur pernah pada 1994 diundang Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin, untuk menyaksikan penandatanganan perjanjian damai antara Israel dengan Jordan.

Gus Dur cintakan keamanan dan kedamaian dan bersedia berjumpa sesiapa sahaja sama ada Yshudi, Arab, Muslim mahupun Kristian.

Menurut Tirto ID, akhbar Israel, Haaretz, menyifatkan Gus Dur sebagai “a friend of Israel in the Islamic world“ dan wartawannya memulakan wawancara dengan Allahyarham dengan berkata “anda di Israel dikenali sebagai teman. Ini cukup tidak lazim unuk seorang pemimpin Islam”.

Semasa Gus Dur menjadi presiden Indonesia, Allahyarham mencadangkan negaranya menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Menurut satu hantaran di Facebook seorang warga Indonesia , Gus Dur berpendapat tidak banyak yang boleh dilakukan Indonesia jika terus berpihak kepada salah satu negara yang bersengketa.

Bagi Gus Dur, jika mahu berperanan menangani konflik Palestin – Israel, kedua-dua pihak mesti dirangkul dan diperlakukan secara adil kerana jika terus memusuhi Israel, bagaimana mahu mengajaknya berdamai.

Namun adakah apa yang diutarakan Gus Dur itu bererti mengabaikan nasib Palestin? Tidak sama sekali kata penyokongnnya sambil berkata sebaliknya solusi yang ditawarkan adalah langkah untuk menghentikan penderitaan rakyat Palestin akibat konflik-konflik dan pelbagai usaha damai pula mengalami jalan buntu.

Wartawan Indonesia, Riza Nasser, memberitahu saya memang Gus Dur sempat mewacanakan Republik Indonesia membuka hubungan dengan Israel tetapi kemudiannya ditentang banyak pihak.

Tentangan itu bagi saya tidak memeranjatkan kerana Indonesia adalah negara paling ramai umat Islam dan majoritinya anti Yahudi. Malah usia pemerintahan Gus Dur juga tidak lama apa lagi keadaan fizikalnya tidak mengizinkan Allahyarham menggorak banyak langkah susulan.

Betul atau salah, setuju atau tidak, sekurang-kurangnya Gus Dur cuba melakukan sesuatu demi mencari jalan ke depan untuk pendamaian konflik Palestin – Israel.

Adakah Indonesia akan berjaya memain peranan besar membawa Israel berunding damai dengan Palestin jika cadangan Gus Dur terlaksana?

Kita tidak akan tahu jawapannya. Yang pasti Joko Widodo, presiden Indonesia sekarang, tidak akan mengikuti langkah Gus Dur. Kalau Indonesia tidak mahu, apa lagi Malaysia.

Harap harap Malaysia ada rancanganya sendiri. Bukan sekadar mengeluarkan kenyataan berapi secara bermusim.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.