Umpan PAS mengena?

Umpan PAS mengena?

Mungkinkah PAS amat sayangkan Umno sehingga Hadi mengajaknya bersama?

Berkata Hadi Awang menerusi ruangan Minda Presiden PAS yang disiar media rasmi partinya pada 31 Dis 2022 bahawa Umno sedang hanyut.

Panjang lebar Hadi menulis. Bermula dengan mengimbau sejarah penubuhan Umno dan perlembagaan parti itu, yang kata beliau secara “terang-terangan mereka (Umno) merupakan sebuah parti yang mewakili orang Melayu-Islam dan Bumiputera bukan Islam (Orang Asal), kategori yang termasuk suku kaum dari Malaysia Timur”.

Hadi mengakui (ini istilah paling sesuai pada hemat saya untuk merumus pandangan beliau) “demikianlah semangat Umno dalam memperjuangkan kelangsungan masa depan Bumiputera dan Islam dalam satu konsep bahawa kaum Bumiputera khususnya Melayu-Islam ialah penduduk asal Malaysia”.

Ada lagi “pujian” beliau terhadap ciri-ciri baik Umno yang saya tidak cadang ulangi, cuma musykil kerana jika tahu Umno “memperjuang kelangsungan masa depan Bumiputera khususnya Melayu dan Islam” mengapa PAS memusuhi dan memerangi parti itu sekian lama? Rujuk Amanat Hadi mungkin boleh dapat jawapannya.

Apa pun kata Hadi, Umno sudah pasti dihinggapi penyakit tua, menghadapi cabaran getir apabila tewas PRU14 dan “kini lebih parah keadaannya dalam PRU15”.

Lantas Hadi menuduh ada golongan (dalam Umno) yang melepaskan ideologi perjuangannya, satu keadaan kata beliau yang “laksana orang lemas tidak tahu berenang dan meraba-raba apa sahaja bagi menyelamatkan diri termasuk memeluk batu yang lebih menggelamkannya”.

Itu dilihat Hadi berlaku “apabila ada kelompok yang melompat ke arah Pakatan Harapan (PH) yang menjadi gabungan antara DAP, PKR, dan PAN” (PAS pantang menggunakan istilah Amanah apabila merujuk parti itu).

Imbas kembali. Apabila PRU15 menyaksikan tidak ada gabungan memperolehi cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan secara mutlak, PAS cuba memikat Umno memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) yang dianggotainya dengan Bersatu. Umno sebaliknya memilih PH hasil kerja keras presidennya, Ahmad Zahid Hamidi. Boleh disimpulkan PAS bukanlah peminat Zahid.

Hadi biasa menabur elemen negatif setiap kali merujuk ketiga-tiga parti yang dikatakan tadi. Begitu juga kali ini. Tidak perlu saya huraikan label yang beliau lekatkan ke atas DAP, PKR, dan Amanah kerana ramai sudah biasa mendengarnya.

Seterusnya Hadi mengakui tahu dalam Umno “masih ada kepimpinan di semua peringkat yang masih setia kepada perlembagaannya yang mempertahankan Islam, Melayu, dan Bumiputera yang tidak redha kepada kapten yang membawa bahteranya tanpa kompas betul sehingga boleh melanggar batu karang”. Cukup setakat itu walaupun pelbagai “malapetaka” yang didakwa Hadi akan dilanggar bahtera Umno.

Hadi tidak menamakan kapten bahtera Umno berkenaan. Rasanya umum tahu siapa yang dimaksudkan. Ironinya apabila PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional dengan Umno pada 2019, itulah kaptennya yang mengemudi bahtera Umno.

Meneliti apa yang dikatakan Hadi mengenai ada orang Umno yang tidak redha kapten mereka membawa bahtera tanpa kompas betul, bolehkah ia disifatkan umpan PAS kepada orang Umno yang anti-Zahid untuk bertindak?

Atau bolehkah itu dianggap mengapi-api Umno menukar kepimpinan, mencabar dan mengalahkan Zahid apabila pemilihan Umno diadakan selewat-lewatnya Mei ini ?

Apatah lagi berpandukan sifir politik yang heboh diperkatakan sekarang – kalahkan Zahid, Umno tarik sokongan terhadap PH sekali gus kerajaan perpaduan tumbang. Teori ini saya sentuh sepintas lalu pada artikel 6 Jan berjudul “Langkah London betul atau khabar angin?”.

Izin saya menambah, sifir politik itu juga mencongak Umno tanpa Zahid akan menyokong PN untuk jadi kerajaan. Hadi kemungkinan besar berjawatan besar jika itu terjadi.

Atau mungkinkah PAS amat sayangkan Umno sehingga Hadi mengajaknya “bersama pertahan akidah perjuangan dan umat” dan “janganlah hanyut dan dihanyutkan”.

Agak jelas apa yang mahu disampaikan Hadi. Lebih jelas ialah kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Umno perlu kerjasama dengan PAS untuk bangkit. Itu katanya. “It cannot get clearer” apa yang PAS mahu.

Jika apa yang dilontar PAS khususnya Hadi satu umpanan, adakah orang Umno sudah memakannya? Tidak dapat dipastikan.

Tetapi sudah ada suara dalam kalangan Umno yang mahu jawatan presiden dipertandingkan kali ini. Ertinya mereka mahu Zahid dicabar. Ada ketua Umno bahagian yang lantang berkata kestabilan bukan alasan untuk elak pemilihan parti. Ada pula yang mendakwa sebarang sekatan bertanding terutama jawatan tertinggi “akan hanya menafikan suara dan kemahuan akar umbi”.

Apa pun alasannya mungkin mereka mahu Umno menyokong PN kerana teruja dan terangsang dengan apa yang dipanggil Gelombang Hijau, merujuk kemenangan besar PN (sebenarnya PAS) di wilayah utara serta pantai timur Semenanjung pada PRU15.

Mungkin mereka melihat peluang menang lebih cerah jika bersama PAS terutama pada PRN di enam negeri tidak lama lagi. Bertambah ghairah mereka apabila ada penganalisis politik berpendapat bahawa sukar meredakan “tsunami PN” (baca Gelombang Hijau) dalam tempoh singkat atau waktu terdekat meskipun mengakui ia bersifat sementara.

Zahid sendiri memberitahu khalayak beliau sedia dicabar. “Saya bukan nak riak tetapi saya telah dicabar dan menang,” kata beliau merujuk pemilihan parti 2018.

Namun tentunya ada dalam Umno yang tidak mahu jawatan “top two” dipertandingkan. Maknanya mereka mahu Zahid dan Mohamad Hassan kekal sebagai presiden dan timbalan presiden.

Ada pemerhati percaya kumpulan itu sudah atau akan mengorak langkah memastikan apa yang mereka idamkan menjadi kenyataan.

Lalu pemerhati dan juga penganalisis politik ada yang meramalkan Perhimpunan Agung Umno 11-14 Jan ini akan “panas” dengan perang mulut kumpulan pro-presiden dan anti-presiden tercetus di pentas.

Namun menurut amalan lazim Umno, perwakilan yang berucap biasanya ditentukan ibu pejabat dan mereka akan berhujah mengikut garis parti. Jarang sekali ucapan yang tidak sehaluan dengan nada pimpinan kedengaran pada perhimpunan.

Adakah lain keadaanya kali ini ? Kata orang “there’s always a first time for everything”. Betul. Tetapi bak kata orang juga “old habits die hard”.

Saya mengundur diri kali ini dengan bertanya adakah Hadi kelak akan tersenyum gembira atau bermasam muka kecewa?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.