Petua 3: Cara mengolah persetujuan

Petua 3: Cara mengolah persetujuan

Propagandis tahu rakyat tidak bergerak hanya dengan fakta; rakyat bergerak dengan rasa.

Dalam dunia yang penuh dengan berita dan kebanjiran maklumat, kita sering merasakan bahawa kita bebas membuat penilaian sendiri tentang apa yang berlaku di sekeliling kita. Namun dalam banyak keadaan, cara kita memahami sesuatu isu sebenarnya dipengaruhi oleh pilihan-pilihan yang dibuat oleh media dan propagandis belakang tabir.

Inilah proses yang dikenali sebagai ‘mengolah persetujuan’, satu cara halus bagaimana media dan propagandis membentuk persepsi masyarakat tanpa kelihatan seperti memaksa mereka bersetuju dengan sesuatu perkara. Ia bukan manipulasi fakta secara terang-terangan, tetapi bagaimana maklumat dipilih, dibingkaikan dan diulang sehingga masyarakat akhirnya menerima satu versi realiti yang nampak logik dan natural sebagai apa yang mereka fikir datang daripada diri sendiri.

Proses ini biasanya bermula dengan apa yang dipanggil ‘agenda setting’, iaitu apabila media memutuskan isu mana yang patut diberi perhatian dan isu mana yang dibiarkan sepi. Bila media memberi tumpuan besar pada sesuatu topik misalnya kenaikan harga barang, keselamatan jalan raya, atau konflik politik, kita tanpa sedar menganggap topik itu penting, kerana itulah yang selalu muncul di depan mata, diviralkan dan bakal dibincangkan oleh ramai orang.

Antara sebab sesuatu isu cepat menjadi tumpuan rakyat ialah kerana ia menyentuh langsung kehidupan mereka. Apa-apa yang mengganggu ketenangan rakyat, sama ada harga barang naik, keselamatan anak di jalan raya, peluang pekerjaan, perkhidmatan kesihatan atau sekecil gangguan utiliti, semuanya dianggap isu besar kerana menyentuh kepentingan hidup mereka. Pada hakikatnya, ruang kehidupan rakyat sangat luas; hampir apa sahaja boleh berubah menjadi isu jika ia menjejaskan periuk nasi atau ketenteraman jiwa. Di sinilah permainan halus bermula; bagaimana propagandis mahu mengangkat isu-isu ini secara beremosi.

Propagandis tahu rakyat tidak bergerak hanya dengan fakta; rakyat bergerak dengan rasa. Maka setiap isu perlu dibentangkan bukan sekadar sebagai maklumat, tetapi sebagai sentuhan emosi positif seperti sayang, suka dan simpati atau emosi negatif seperti marah, takut dan benci bergantung kepada naratif yang mahu digerakkan. Menjadikan ia sensasi, pandangan berpihak diambil pula dari rakyat dan pemimpin pendapat, kemudiannya dipaparkan secara berulang-ulang. Kita mungkin fikir kita memilih sendiri isu untuk diberi perhatian, tetapi sebenarnya pilihan itu dipengaruhi oleh apa yang perlu ditonjolkan kepada kita setiap hari oleh propagandis menerusi media.

Di sinilah permulaan proses mengolah persetujuan berlangsung secara lembut melalui pemilihan isu. Setelah sesuatu isu dipilih, proses itu diteruskan melalui ‘framing’ atau pembingkaian. Media tidak sekadar melaporkan peristiwa, tetapi memilih sudut pandang penceritaan tertentu. Dua organisasi media boleh melaporkan cerita yang sama tetapi memberi gambaran yang sangat berbeza. Satu bingkai mungkin membuatkan kita rasa marah, satu lagi mungkin membuatkan kita rasa simpati. Kadang-kadang perbezaannya hanya pada ayat atau metafora yang digunakan, tetapi kesannya besar kepada cara kita memahami sesuatu isu. Di sinilah mengolah persetujuan berlaku pada peringkat makna, iaitu dengan membentuk cara kita mentafsir realiti melalui gaya penceritaan dan sudut pandang tertentu.

Proses seterusnya adalah ‘priming’ dengan melengkapkan proses itu dengan menyediakan kerangka mental untuk kita membuat penilaian. Apabila media berulang kali menonjolkan dimensi tertentu misalnya keselamatan, moral, integriti, atau kebolehan ekonomi, kita cenderung menggunakan dimensi itu sebagai kriteria utama untuk menilai sesuatu isu atau cara pemimpin tersebut menangani masalah. Jika media selama berminggu-minggu membayangkan bahawa ekonomi sedang suram, maka apa-apa berita kecil tentang ekonomi pun akan dinilai melalui lensa kebimbangan. Jika media menonjolkan kenyataan tentang jenayah, kita akan melihat isu keselamatan dengan lebih cemas daripada biasa. Walaupun kita rasa kita membuat penilaian sendiri, sebenarnya mood dan kerangka penilaian itu telah tersedia lebih awal melalui proses ‘priming’ yang berlaku tanpa kita sedari.

Bila ‘agenda setting’, ‘framing’, dan ‘priming’ bergabung maka lahirlah ruang sosial yang kelihatan seperti persetujuan kolektif. Ia tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi hasil daripada naratif yang dipilih, diulang dan diperkuatkan dalam jangka masa tertentu sehingga masyarakat membentuk satu pendapat yang seolah-olah natural. Inilah yang dimaksudkan dengan mengolah persetujuan; bukan memaksa orang bersetuju, tetapi membawa mereka perlahan-lahan ke arah satu tafsiran yang dianggap normal, masuk akal, dan diterima secara umum.

Contoh paling jelas dapat dilihat dalam liputan Amerika Syarikat terhadap Perang Iraq 2003. Media memberi tumpuan besar kepada ancaman senjata pemusnah besar-besaran, membingkaikan konflik sebagai tindakan mempertahankan dunia, dan mencipta mood ketakutan terhadap ‘ancaman luar’. Gabungan ini menjadikan masyarakat yakin bahawa perang itu wajar, walaupun kemudian terbukti senjata tersebut tidak wujud. Ketika dalam peperangan tersebut rakyat yang terbunuh tidak disebut secara terus, biasanya dilabel sebagai ‘collateral damage’ atau pun kemusnahan sampingan, biar realitinya yang terbunuh ialah rakyat Iraq. Zionis Israel pula melabel sukarelawan pasukan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai ‘pengganas’, merupakan satu pembingkaian jahat yang tidak berasas sama sekali. Ini kerana mereka tidak membawa sebarang senjata, hanya sarat dengan makanan, minuman dan ubat-ubatan.

Contoh lain boleh dilihat dalam krisis pelarian di Eropah, di mana bingkai ‘pelarian sebagai ancaman’ memberikan hasil politik yang berbeza berbanding bingkai ‘pelarian sebagai mangsa kemanusiaan’. Naratif ekonomi seperti inflasi dan kenaikan harga barang juga menunjukkan bagaimana media boleh mengolah persetujuan dengan memilih sama ada mahu menonjolkan faktor global luar kawal atau meletakkan beban kepada dasar kerajaan.

Akhirnya, memahami cara media dan propagandis mengolah persetujuan bukan bertujuan menjadikan kita curiga semata-mata, tetapi supaya kita lebih sedar bahawa pemikiran kita tidak pernah terputus dari ekosistem maklumat yang mengelilingi kita.

Dengan memahami bagaimana isu dipilih, bagaimana cerita dibingkaikan, dan bagaimana mood dibentuk, kita dapat menilai maklumat dengan lebih matang dan tidak mudah hanyut dalam arus naratif yang dominan. Dalam dunia digital yang semakin cepat dan bersimpang-siur, kesedaran ini bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.