
Istilah ‘orang kampung’ biasanya digunakan oleh kita untuk memperlekehkan seseorang atau sesetengah pihak yang kita rasa mereka terkebelakang.
Kalau kita nampak orang berpakaian tak kena dengan sekeliling, kita akan tertanya-tanya, “budak kampung mana ni?” Tak kiralah sama ada pakaiannya tak secantik orang lain, atau mungkin cantiknya terlampau berlebihan sehingga kelihatan janggal. Atau, bila kami para karyawan menulis rencana, novel atau skrip untuk drama TV atau wayang, sering ditanya oleh pihak penerbit, “karya awak ni berat sangat. Tak faham orang kampung nanti.” Ironinya, pengkarya ini pun asalnya budak kampung juga. Eh! Bukankah Anwar Ibrahim orang Cherok To’kun? Siti Nurhaliza kan budak Kuala Lipis?
Rendah sangatkah darjat orang kampung? Kolot sangatkah mereka dari segi kemodenan dan pembangunan? Tertinggalkah mereka untuk mengikuti pemikiran yang bijak-bijak?
“Jawapannya ialah ya dan tidak,” sambut kawan saya, Jais.
Jais, kawan baya-baya saya, pernah bekerja di Kuala Lumpur selepas tamat Tingkatan 5. Tetapi tak sampai dua tahun dia pulang semula ke kampung. Selepas mengikut-ikut orang bekerja kontrak pembinaaan, akhirnya dia jadi kontraktor kelas F dan buat kerja-kerja dengan majlis daerah sehingga hari ini.
“Kuala Lumpur bukan tempat aku,” kata dia. “Memang benar kami di kampung sedikit ketinggalan. Kami kurang terdedah dengan citarasa terkini, baik fesyen, muzik, budaya kopi hipster atau isu semasa. Dengar pun dari jauh saja. Kami tidak terlibat dengan ‘kehidupan malam’ di tengah hiruk-pikuk Bukit Bintang yang padat dengan bunyi muzik, kenderaan dan silau neon. Kenapa? Sebab kami yang pilih macam tu.”
Kata Jais lagi, “kami tak berminat bersesak. Kami lebih suka bunyi cengkerik, meranduk sungai dan masuk hutan. Takkan itu mundur?”
Betul juga. Sebaliknya saya lihat, orang bandar pun cari kampung, hutan dan sungai untuk ‘healing’. Orang kampung pula yang kegelian melihat orang bandar berhentikan kenderaan mereka di tepi jalan dan terlompat-lompat bergambar di tepi bendang. Takkan maksud nak ‘healing’ ialah menjadi mundur?
“Tapi bila orang macam kau tak tahu mainan politik, senang orang politik masuk menipu,” saya sengaja simbah Jais dengan minyak. Bukan saya tak tahu Jais bijak.
“Sebab itu kawasan kampung adalah deposit tetap bagi parti politik tertentu. Diorang pergunakan korang dengan mainkan isu kaum, agama dan macam-macam lagi supaya korang kekalkan sokongan.” tambah saya lagi.
“Itu kami tak peduli,” jawab dia selamba. “Biasalah. Mana-mana politikus akan pergunakan siapa sahaja tak kira di kampung atau di bandar. Tapi orang kampung tak rugi. Bantuan banjir, zakat, Baitulmal, WiFi berpusat, semua dapat. Boleh mohon rumah Mesra Rakyat, mohon bantuan Felcra…semua ada.”
Ya! Saya setuju. Orang kampung macam-macam dapat. Dalam kita memperlekehkan betapa kolotnya mereka, mereka sebenarnya menikmati banyak benda. Jadi, untuk apa mereka tak undi pihak yang memberi nikmat kepada mereka?
“Kau nak kata orang kampung malas?” tempelak Jais lagi. “Orang bandar apa kurangnya? Melepak kedai mamak 24 jam.”
Terbakar juga dia akibat simbahan minyak saya. “Ada antara korang terpaksa buat kerja ‘part time’ untuk duit lebih sedangkan kami di kampung tenang-tenang aja bekerja dan berkebun.”
Jais tak berhenti di situ. Dia bangkitkan betapa pentingnya kuasa beli orang kampung.
“Dulu, orang buat lagu dan buat album sasaran utama jualannya pun orang kampung. Pendek kata, semua orang mahukan duit orang kampung, undi orang kampung, kan? Sekarang pempengaruh media sosial pun turun kampung cari konten. Orang kampung pun ada yang dah jadi pempengaruh!”
Saya setuju tetapi tetap mengusulkan sesuatu agar orang kampung tingkatkan sikit pengetahuan mereka dengan banyakkan membaca.
“Orang bandar banyak ke membaca?” tanya Jais pula seperti memulangkan paku buah keras. “Apa yang penting sangat kalau kami tak baca apa yang engkau baca?”
Atau, tak dengar muzik yang orang bandar dengar dan berfesyen seperti orang bandar yang sentiasa terkini?
“Rugilah,” jawab saya mengacah lagi.
“Bolehkah kami kata orang bandar macam engkau rugi kalau tak kenal mana rotan dan mana damar? Mana tongkat ali dan mana tunjuk langit?” jawab Jais dengan nada sedikit meninggi. “Mesti orang bandar kata tak penting untuk kenal nama bermacam jenis ikan, kan? Cukuplah sekadar kenal ikan yang nak dimakan saja. Samalah! Buku yang kami tak perlu, buat apa kami baca?”
Jais mengawal emosinya. “Akhirnya, hidup kita ni nak apa, Ron? Kau ada rumah, aku ada rumah tapi aku tak berhutang. Kau ada kereta, aku pun ada. Aku pun hantar anak ke sekolah dan universiti macam orang bandar. Aku, orang tua aku pun dapat pergi haji. Kat mana kami tertinggal?”
Betul kata Jais. Saya mengaku. Kawan-kawan saya di bandar bila bersembang pasal politik, gemar merendahkan mentaliti orang kampung tetapi mereka sendiri jarang benar bercakap dengan orang kampung. Kalau masuk ke kampung waktu pilihan raya pun, bawa perangai orang bandar. Menyampah orang kampung tengok.
“Bak kata peribahasa, seperti rusa masuk kampung. Ha! Ha! Ha!” sindir Jais.
Nampaknya, saya mula sedar sesuatu yang lebih pedih. Istilah ‘orang kampung’ itu bukanlah merujuk kepada lokasi. Ia merujuk kepada cara kita meletakkan orang lain di bawah supaya kita rasa lebih tinggi. Benar, ada orang kampung mungkin tak tahu istilah-istilah besar yang kita di bandar selalu laungkan, tapi mereka memilih sendiri cara hidup yang mereka rasa selesa.
“Itu maknanya terlalu sedap duduk di zon selesa,” kata saya.
“Apa masalahnya dengan comfort zone?” Jais mula melibas balik. “Maksudnya orang luar desa tak hidup selesa? Jadi siapa yang lebih bermasalah sekarang?”
Kali ini nafas saya pula tersekat. Jais menyambung lagi. “Salahkah kalau kita berasa cukup dengan keperluan kita? Salahkah kalau kita tak ikut orang lain yang berlumba-lumba mengejar entah apa? Kalau kau kata kami tak tahu banyak sebab berada di zon selesa, maka di bandar pula penuh dengan orang yang tahu semua isu dunia tetapi masih tak selesa dengan hidup sendiri.”
Jais menegaskan bahawa orang sepertinya tidak berminat untuk mengikut perlumbaan yang kita semua anggap kononnya wajib.
Dari situ, saya makin faham bahawa istilah ‘orang kampung’ bukan lagi bermaksud untuk mereka di kampung, tetapi untuk kita yang suka memperlekeh orang lain demi hendak menampung kebocoran sendiri.
Saya melihat mulut Jais senyum menyenget dengan misai yang bergerak-gerak. Jais berasa dia menang. Dan saya rasa kali ini memang dia menang.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.