PAS dengan jawatan ketua pembangkang

PAS dengan jawatan ketua pembangkang

Takiyuddin Hassan selaku timbalan setiausaha agung PN beritahu media Ahad lalu PAS ambil alih jawatan ketua pembangkang dipersetujui majlis tertinggi gabungan.

Mohsin Abdullah

Dalam artikel Isnin lalu saya tulis PAS akan ambil alih jawatan ketua pembangkang di Parlimen dan lengkaplah penguasaan parti itu dalam politik pembangkang negara ini.

Ini saya tulis berdasarkan apa yang Takiyuddin Hassan selaku timbalan setiausaha agung Perikatan Nasional beritahu media Ahad lalu selepas mesyuarat khas PN.

Beliau juga memberitahu, PAS ambil alih jawatan ketua pembangkang dipersetujui Majlis Tertinggi PN. Yang perlu dilakukan kata Takiyuddin lagi ialah menentukan calon bagi jawatan itu. Ini memerlukan ‘sedikit masa’, kata beliau.

Maka hampir semua media melaporkan begitu yakin wakil PAS akan jadi ketua pembangkang. Antaranya Sinar Harian, Berita Harian, Bernama, Malay Mail, New Straits Times dan ya – FMT juga. Tidak mungkin semua tersilap dengar apa Takiyuddin kata dan tersalah faham. ‘I don’t think so’.

Selain Takiyuddin kata apa yang beliau kata kepada media (seperti apa yang kami faham apa beliau kata) tidak ada apa yang dilakukan sama ada oleh PAS mahupun PN.

Lalu berkata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, pejabat speaker masih belum menerima sebarang arahan atau dokumen rasmi berkaitan perkara tersebut.

“Perkara ini memerlukan dokumen bertulis yang jelas bagi memperincikan dan memperjelaskan kedudukan dari sudut perundangan selaras dengan peraturan Dewan Rakyat,” kata Ramli.

Siapa yang harus melakukan itu semua? Yakni menghantar dokumen rasmi dimaksudkan. Pada pandangan saya tentulah PAS kerana ia ada jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan pembangkang di Parlimen dan khusunya Takiyuddin sendiri selaku timbalan setiausaha agung PN. Dan beliau juga setiausaha agung PAS.

Oleh kerana tiada apa yang berlaku atau dilakukan, kenyataan timbalan speaker membawa erti Hamzah Zainudin (yang dipecat Bersatu tempoh hari) masih kekal berperanan sebagai ketua pembangkang, setakat ini. Itu kata kuncinya ‘setakat ini’.

Hamzah semasa ditemui media tiga hari lalu enggan komen. ‘Later’ katanya. Sesungguhnya seperti saya tulis Isnin lalu kehilangan jawatan ketua pembangkang ‘is a big blow to Hamzah’. Tamparan hebat ketika beliau mencari sinar setelah dipecat Bersatu.

Perlu diingat, Hamzah mendapat jawatan ketua pembangkang atas ihsan PAS kerana parti itu beri laluan kepadanya. Secara logik Presiden PAS Hadi Awang atau sesiapa daripada partinya layak duduk kerusi ketua pembangkang. Ini kerana bak dikata tadi jumlah kerusi terbanyak milik PAS dalam kalangan pembangkang di Parlimen.

Itu masa Hamzah ada parti. Sekarang tidak berparti. Bolehkah seorang Ahli Parlimen bebas jadi ketua pembangkang? Kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari: “Amalan paling kukuh dari sudut peraturan dan demokrasi berparlimen ialah mana-mana Ahli Parlimen yang bukan daripada kerajaan dan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen pembangkang wajar diiktiraf sebagai ketua pembangkang.”

Betul katanya itu. Beliau juga berkata: “Ini termasuk jika majoriti Ahli Parlimen pembangkang mengekalkan Ahli Parlimen Larut (Hamzah) sebagai ketua pembangkang.”

Itu juga betul. Cuma Hamzah tidak mungkin dapat sokongan majorti kerana Ahli Parlimen Bersatu tidak akan setuju. Kecuali beliau memang ada 18 Ahli Bersatu menyebelahinya seperti beliau dakwa.

Atau Hamzah jadi ahli PAS. Saya ulang apa yang ditulis dalam artikel lalu: ‘Jika beliau masuk PAS dan parti itu pula pilih beliau jadi ketua pembangkang Hamzah pun menang besar. Muhyididn (Yassin) tepuk dahi. PN tak aman’.

Tidak kira masuk PAS atau tidak tidak, jika Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang ia menunjukkan PAS tidak peduli atau tidak hormat keputusan Bersatu pecat Hamzah dan geng. PAS tunjuk ia masih sayang Hamzah. Bersatu marah dan boleh buat kacau.

Jika demi solidariti PN dan mengambil kira apa kata Takiyuddin kepada media yang disebut tadi, Hamzah diketepikan dan PAS ambil alih ketua pembangkang atau beri kepada orang Bersatu, Hamzah marah dan buat kacau. Bolehkah beliau buat kacau dalam keadaan terumbang-ambing sekarang?

Atau beliau dan geng yang dipecat Bersatu duduk di luar PN (sama ada sebagai Ahli Parlimen bebas atau ahli parti baharu) tetapi hanya sokong PAS tentu tidak Bersatu.

Muhyiddin bersama gengnya dalam Bersatu pula duduk dalam PN juga hanya sokong PAS dan tentunya tidak ‘Hamzah dan Co’. Memang ‘kong kali kong’ tetapi saya ulang apa yang pernah saya tulis: PAS biasa main dua kolam. ‘No problem’.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.