Bersama, atau bersama-sama

Bersama, atau bersama-sama

Dalam tradisi orang Melayu kata 'bersama' itu perkataan paling sopan digunakan oleh ulama dalam bab fikah melibatkan mandi wajib.

faisal tehrani

Sayangnya, apabila Rafizi Ramli mengetengahkan gerakan baharu, ‘Bersama’, beliau tidak bertanya saya terlebih dahulu. Iyalah, buat apanya dia perlu bertanyakan saya? Akan tetapi sungguh, kata ‘Bersama’ itu kurang sesuai untuk dijadikan nama satu gerakan politik. Juga kurang manis dilekatkan pada parti politik. Tidaklah aneh ramai orang Melayu tersenyum-senyum sendiri mendengarkan kata ‘Bersama’ itu.

Dalam tradisi dan kerangka orang Melayu, kata ‘bersama’ itu merujuk kepada hubungan badani. Malah, kata ini perkataan paling sopan digunakan oleh para ustaz, kadi dan ulama khususnya dalam bab fikah melibatkan mandi wajib.

Kata ‘bersama’ ini menunjukkan akal budi Melayu yang mana ia digunakan sebagai satu kata lapik. Dalam sastera ia dinamai ‘eufemisme’ atau ungkapan yang lebih halus demi menggantikan kata-kata yang dianggap kasar, tabu, atau tidak menyenangkan. Tujuannya untuk membuatkan pendengar atau pembaca tidak terlalu terkejut.

Kalau merujuk perbuatan berganding tangan, bergotong-royong, bersekali dan bergabung tenaga; kata yang kita gunakan adalah ‘bersama-sama’. Mana-mana guru bahasa Melayu dalam kalangan Gen X terutama Munshi Bahasa akan gesit menegur kalau kata ‘bersama’ digunakan dalam karangan pelajar di sekolah. Budak-budak sekolah yang baru naik gatal akan ketawa bersama-sama.

Maka moleknya kata yang sesuai adalah ‘Parti Bersama-sama’. Malah ‘parti bersama’ membawa maksud yang lebih dahsyat, yang sukar untuk saya bentangkan dengan kata-kata.

Hal ini tidaklah memaksudkan saya mentertawakan gerakan baharu yang ingin dikemukakan Rafizi tetapi, saya susah hati dengan kata ‘bersama’ yang sedang dinormalisasikan dalam politik.

Persenggamaan politik memang berlaku hari demi hari terutama dalam lapangan politik Melayu. PAS misalnya pernah berhenjut dengan DAP bertahun lama dalam Pakatan Rakyat sebelum bercerai. Waktu tindih- menindih itu berlaku macam-macam dalil keluar: babi, UEC, derhaka semua dilanggar. Pakatan Rakyat menjadi ranjang yang menggiurkan. Ramai yang meleleh dengan Pakatan Rakyat. Sempat Perak, Selangor, serta Pulau Pinang digenggami oleh Pakatan Rakyat ini.

Oleh sebabkan Pakatan Rakyat ini dapat bertapak makanya PAS dapat mencelah, menyingkap dan menghunjam masuk negeri seperti Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Ramai agamawan PAS diberi tauliah dan dengan itu berada di mimbar masjid. Semua itu hasil bersama dengan DAP.

Semangat 46 juga pernah menjadi satu gerakan baharu dalam politik. Sempatlah juga serpihan Umno itu bersama dengan PAS saling hentak-menghentak sehingga berolehlah Kelantan, yang kemudian membuka jalan kepada pemerintahan Nik Abdul Aziz Nik Mat. Memang PAS dalam hal ini sangatlah pandai bersama.

Kelahiran yang dihasilkan dari proses bersama itu sangat mengagumkan, dan dalam sejarah politik negara membuka jalan kepada perubahan besar pada 2018.

Kalau tidak kerana Pakatan Harapan bersama dengan Bersatu selepas 2016, tak terbayang dek akal sihat untuk meletakkan beberapa pemimpin Umno dalam jel kerana korupsi. Meskipun bersama itu tidak lama, terlahirlah pula beberapa anak-pinak yang kadangkala bila difikirkan hanya menyusahkan hidup rakyat.

Parti Rafizi yang baru ini sebetulnya berpotensi menjadi gerakan politik yang canggih kerana memang ada sejarah politik kita menyebabkan terlahirnya macam-macam benih baharu. Kemenjadian itu lantaran proses bersama berjaya meyakinkan rakyat bahawa ia perkahwinan yang kekal. Dalam dunia terbiasa umpat dan gosip, kahwin cerai parti politik selalu membuatkan kita terpesona lagi-lagi dalam kalangan orang Melayu. Bersama ini juga kadangkala melahirkan anak kacuk yang aneka macam.

Saya tidaklah ingin mengecam pengikut Rafizi yang sudah naik berahi kerana membayangkan kalau Chandrasekaran Joseph Vijay boleh melakukannya dengan gerakan baharu di Tamil Nadu, India, maka konon, mengapa tidak parti Rafizi melakukan darihal yang sama.

Tetapi itulah, saya susah hati. Parti Rafizi ini naratifnya tidak merunding dengan orang seni sastera seumpama saya. Saya difahamkan logo parti Rafizi ini adalah kancil.

Alahai ini seperkara lagi yang mengecewakan saya. Memanglah kancil dalam mitos dan kisah fabel kanak-kanak sering dirujuk sebagai seekor mamalia menceruh yang meski kecil, teramatlah cerdik lagi pintar.

Akan tetapi dalam kerangka orang Melayu, cerdik dan berakal ini ada dua jenis. Pertama, akal budi Melayu iaitu sejenis kearifan lokal. Kedua, akal badi Melayu yang saya syarahkan juga dalam buku ‘Manikam Budi’ terbitan Kawah Buku. Akal badi Melayu ini akal yang penuh tipu muslihat, licik dan bersifat memperdayakan. Kancil dalam fabel Melayu adalah haiwan sebegini. Yang dianggap pandai tetapi sebenarnya menjerat.

Makanya logo atau simbol kancil untuk Parti Rafizi ini sudah membawa mesej salah. Memadai dengan menjualkan pula kisah-kisah Rafizi dengan formulanya, ia boleh membawa beban yang tidak sesuai. Ia membawa bayangan gerakan baru ini bersifat menjerat, memperdayakan, dan melicik sahaja. Jadinya maksud yang hendak dicapai tidak mencapai.

Hal ini bukanlah angan-angan saya. Dalam pantun-pantun Melayu, watak kancil sering dianggap nakal, liar, degil dan ikut suka hati sendiri. Ambil sahaja contoh pantun ini:

Anak kancil memungut jambu,
Sudah kenyang lari ke hutan;
Sejak kecil menuntut ilmu,
Supaya senang hari kemudian.

Pembayang pantun di atas nampaknya mengaitkan kancil dengan pihak yang meragut kesempatan. Atau hayati pula pantun seterusnya:

Anak kancil tegak menengkar,
Kena sepak lari mengerang;
Sejak kecil banyak belajar,
Supaya kelak menjadi orang.

Jika kita membaca sekali pembayang dan maksud pantun di atas kita akan beroleh sesuatu yang jelas, kancil dianggap seperti anak-anak degil yang diingatkan dengan nasihat agar cepatlah belajar, dan perlu bersabar. Hal kancil degil dan tidak mahu mendengar kata ini terlihat lagi dalam pantun serangkap di bawah:

Anak kancil diluru tupai,
Lumpuh kaki jalan merangkak;
Awak jahil mengaku lebai,
Disuruh mengaji nafas pun sesak.

Bukan sahaja kancil dalam pantun Melayu itu binatang yang suka memesong, ia juga dianggap emosional, kuat melatah, terpaling dan lekas marah. Hal ini ada dalam pantun terkenal di Riau:

Berebut beruk merendam labu,
Kancil marah buntal bersorak;
Terkentut datuk dalam kelambu,
Katil patah bantal berselerak.

Pantun jenaka di atas juga adalah satu pantun erotis yang berkias iaitu kisah orang yang hendak bersama, tetapi malangnya tak mampu. Yang dapat kentut masam.

Memang dalam bayangan pengundi muda dan urban yang barangkali terpisah dari kefahaman dan tafsiran fabel dan pantun Melayu, kancil kelihatan bersemangat dan bijak. Tetapi orang Melayu yang selalu membaca kisah kancil dalam Hikayat Sang Kancil sudah terbiasa dengan peribahasa mengenai kancil yang lain iaitu peribahasa ‘gajah berak besar, kancil pun hendak berak besar akhirnya mati kebebangan’.

Peribahasa ini bermaksud pihak yang hendak meniru-niru perbuatan orang besar, akhirnya diri sendiri binasa. Makna ‘kebebangan’ adalah tertahan; atau terbebang. Jika kita melekatkan peribahasa ini kepada kancil parti Rafizi tentulah ia akan menjadi hujah kancil cuba menjadi gajah (Umno-Barisan Nasional) atau gajah seekor lagi (PKR-Pakatan Harapan), tetapi terlupa yang ia hanyalah kancil, atau napuh. Berak kancil tentulah tak akan sebesar berak gajah.

Ini membawa pula kita kepada peribahasa ‘gajah sama gajah bertarung, kancil mati di tengah’. Ia membawa maksud supaya kita menghindar diri dari masuk dalam gelanggang perbalahan yang kekuatan beradu tak mampu kita tolakkan. Kalau digagahkan juga, kita sebagai kancil akan mati dilenyek.

Tidaklah kita nafikan, mungkin parti Rafizi akan beroleh kerusi di mana-mana. Mungkin di Pandan. Kalau saya jadi pengundi Pandan, daripada banker eloklah Rafizi. Tetapi itulah, ‘Bersama’? Aduhai segan dan merah padam muka bila hendak menyebutnya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.