
Perintah itu ditandatangani di bawah nama Muhyiddin Yassin. Nama sebenar perdana menteri dalam kad pengenalannya adalah Mahiaddin Md Yasin.
Pesuruhjaya Kehakiman Norsharidah Awang hari ini membenarkan permohonan habeas corpus oleh Awang Sari Lasikan kerana penggunaan ‘alias’ itu melanggar Akta Fungsi-fungsi Menteri dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).
Peguam Zafran Zafri Mohd Zaini berkata, mahkamah membatalkan perintah tahanan pencegahan Sari itu dan mengarahkannya dibebaskan serta-merta.
“Di bawah Akta Fungsi-fungsi Menteri, nama dinyatakan dalam warta adalah Mahiaddin Md Yasin iaitu nama dalam MyKad beliau,” kata Zafri.
Polis menahan Sari di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) pada awal tahun lalu dan menahannya selama 60 hari untuk siasatan.
Muhyiddin kemudian menandatangani perintah tahanan itu dalam kapasitinya sebagai pemangku menteri dalam negeri kerana tiada Kabinet pada 9 Mac tahun lalu. Beliau dilantik menjadi perdana menteri pada 1 Mac tahun sama.
Tahanan pencegahan itu dicadangkan polis dan seorang pegawai inkuiri di bawah undang-undang dadah berkenaan.
Zafri yang dibantu peguam Danial Amir berkata, mahkamah membenarkan permohonan habeas corpus Sari kerana prosedur di bawah akta berkenaan mesti dipatuhi dengan tepat.
“Kami membangkitkan isu teknikal dan mahkamah bersetuju dengan kami,” katanya kepada FMT.
Penghakiman itu mencetuskan persoalan berhubung kemungkinan ratusan lagi perintah tahanan seumpamanya yang ditandatangani Muhyiddin.
Pesara hakim Gopal Sri Ram bagaimanapun berkata, penghakiman itu tidak menjejaskan kes lain ditandatangani Muhyiddin menggunakan ‘alias’ berkenaan.
“Saya tidak rasa dokumen lain ditandatangani perdana menteri atau menteri lain menggunakan ‘alias’ akan membawa kesan perundangan,” katanya dengan menambah, mahkamah tepat apabila membenarkan permohonan itu kerana melibatkan kebebasan seseorang.
Peguam Persekutuan Muhamad Safuan Azhar mewakili kerajaan, menteri dalam negeri dan Superintendan Pusat Pemulihan Simpang Renggam.