
Parti itu turut mempersoal sama ada satu kertas Kabinet berkaitan status pengasingan pendaftaran automatik Undi18 sudah diusulkan oleh kementerian dalam mesyuarat Jemaah Menteri atau sebaliknya.
“Sebagaimana dinyatakan berkali-kali oleh menteri sendiri, dia (menteri) menyokong pelaksanan Undi18 yang mendapat mandat hampir semua parti politik termasuk lebih dari dua per tiga ahli Dewan Rakyat.
“Parti MUDA ingin mendapat kepastian dari menteri berkaitan perkara ini memandangkan satu mesyuarat Kabinet telah pun dibuat sejak kenyataan itu dikeluarkan. Adalah baik sekiranya menteri maklumkan status terkini usul berkenaan dengan merungkai beberapa persoalan.
“Sekiranya belum bilakah ia akan diusulkan? Apakah pendirian terkini kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai usul ini,” katanya dalam kenyataan.
Pada 31 Mac lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk mengasingkan proses hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik.
Reezal berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharap dapat melaksanakan usaha itu dengan segala formula dan ruang yang ada, memandangkan semua anggota Jemaah Menteri hari ini menyokong Undi18.
Dalam pada itu, MUDA berkata walaupun berbeza dari segi politik kepartian, parti tersebut sedia menyokong hasrat Reezal untuk membawa usul berkenaan ke Kabinet kerana rakyat sedang menantikan sama ada janji yang dibuat Reezal itu sudah dikotakan.
“Ini penting kerana beliau adalah wakil belia dalam Kabinet yang memikul tanggungjawab besar bagi pihak anak muda di Malaysia.
“Melalui memorandum terbuka yang kami terbitkan sebelum ini, MUDA berpandangan bahawa usul ini mesti dan boleh dilaksanakan dengan segera memandangkan ia mengikuti proses yang sedia ada,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun, dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September 2022 dan kenyataan itu dipertikaikan ramai pihak yang menganggapnya sebagai tidak munasabah.
Bulan lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan PN bersikap realistik, tidak takut untuk melaksanakan Undi18, dan tidak patut dipersalahkan apabila SPR mengumumkan penangguhannya.
Muhyiddin menjelaskan, beliau telah mendesak SPR untuk melaksanakan Undi18 menjelang September, namun badan itu tidak dapat berbuat demikian dan pentadbirannya menghormati kebebasan SPR, selain menegaskan penangguhan Undi18 tidak harus dijadikan bahan politik.
Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon layak bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.