
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Ruslin Jusoh berkata sindiket itu menawarkan anak angkat kepada pasangan yang tiada anak yang didaftarkan sebagai anak kandung, manakala doktor yang terlibat menandatangani dan mengesahkan Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01.
“Sindiket akan memasukkan maklumat kanak-kanak serta pasangan, seolah-olah anak itu dilahirkan isteri pasangan berkenaan, dan ejen bersama-sama pasangan akan menguruskan pendaftaran kanak-kanak di JPN menggunakan dokumen palsu,” katanya dipetik Bernama.
Menurutnya, urusan dikenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM20,000. Kebanyakan bayi yang terlibat kini berumur antara 12 dan 16 tahun dengan identiti sebenar ibu kandung mereka tidak diketahui, kerana urusan serahan bayi diatur oleh pihak sindiket.
Ruslin berkata, doktor itu ditahan di Putrajaya manakala seorang lagi yang juga ejen aktif melakukan kegiatan itu di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, ditahan di rumahnya di Melaka.
“Dengan tertangkapnya kedua-dua mereka ini, JPN dapat menyelesaikan sebahagian daripada kes sindiket pemalsuan palsu maklumat kelahiran yang dijejaki sejak 2009 di sebuah klinik bersalin swasta di Petaling Jaya,” katanya dalam sidang media.
Tambahnya, rekod kelahiran kanak-kanak terbabit yang majoritinya berketurunan Cina telah disenaraihitamkan.
“Saya seru agar ibu bapa mereka hadir dan beri kerjasama dengan JPN untuk menyelesaikan siasatan; jika tidak, JPN sendiri akan mengesan dan menjejaki mereka,” katanya.
Beliau berkata sehubungan itu, segala maklumat sedia ada dalam daftar kelahiran akan dikemas kini dan dibetulkan, iaitu dengan membuang maklumat ibu bapa terlibat, manakala status warganegara kanak-kanak itu akan menjadi ‘belum ditentukan’ kerana identiti ibu bapa sebenar tidak diketahui.
“Ibu bapa terbabit dibenar membuat permohonan ‘pengangkatan’ sekiranya mahu terus menjaga kanak-kanak itu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tertakluk kepada prosedur perundangan yang betul,” katanya.
Beliau menambah, JPN akan bekerjasama dengan JKM dan Kementerian Kesihatan dalam kes itu.
Ruslin berkata pihaknya juga akan melakukan siasatan dalaman bagi melihat sama ada terdapat anggota JPN terlibat dalam sindiket, dan klinik atau hospital terlibat juga akan dihubungi bagi mendapatkan pengesahan kelahiran bayi.