Larang rumah terbuka Hari Raya, himpunan keluarga, kata aktivis

Larang rumah terbuka Hari Raya, himpunan keluarga, kata aktivis

Aktivis berkata, kurangnya pematuhan prosedur operasi standard semakin meluas kini.

PETALING JAYA:
Seorang aktivis kesihatan menggesa supaya sekatan ke atas rumah terbuka dan himpunan besar keluarga sempena sambutan Hari Raya dilaksanakan susulan situasi wabak Covid-19 kini.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, sekatan tersebut boleh membantu melindungi golongan rentan seperti warga emas dan kumpulan bermasalah kesihatan.

Azrul memberitahu FMT bahawa beliau terkejut himpunan besar melibatkan lebih 50 orang seperti majlis perkahwinan dan berbuka puasa dibenar diadakan sewaktu kes jangkitan Covid-19 meningkat.

Beliau berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semakin berkurang sekarang.

“Daripada keadaan yang boleh dilihat secara peribadi dan di media sosial kini, ramai orang tidak memakai topeng muka apabila menghadiri himpunan ramai.

Risiko jangkitan meningkat tinggi apabila keadaan itu berlaku.

“Perjalalanan rentas negeri harus diteruskan, sementara solat secara berjemaah dihadkan kepada 1/3 kapasiti mana-mana surau, masjid atau dewan solat .

“Jika boleh, solat jemaah Aidilfitri tahun ini dibuat di tempat terbuka di luar bangunan seperti padang, tempat letak kereta atau lapangan di mana wujud peredaran udara yang baik.

Baru-baru ini, pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, Malaysia perlu belajar daripada ledakan kes Covid-19 yang berlaku di India yang menyaksikan lebih 300, 000 dijangkiti wabak itu pada satu hari.

Adeeba, yang dilantik ke Majlis Sains Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga mahu semua himpunan besar orang ramai dilarang, selain mempercepat proses pemberian vaksin lebih cepat.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy bersetuju dengan Adeeba sekali gus menggesa Putrajaya melarang sementara semua himpunan besar sehinggalah kes jangkitan harian menurun kepada dua angka atau kadar jangkitan atau Rt lebih rendah daripada 0.8.

Beliau berkata, kerajaan tidak perlu menunggu untuk mengenakan lebih banyak sekatan kerana lonjakan kes kini lebih tinggi berbanding semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua pada Januari.

“Kerajaan juga harus menimbang semula keputusan membenarkan bazar Ramadan diadakan,” katanya kepada FMT.

“Terdapat laporan mengenai kesesakan di beberapa bazar ini. Penggunaan kaedah platform atas talian adalah pilihan lebih baik.”

Beliau berkata, isu pematuhan SOP terus menjadi cabaran utama.

“Orang ramai harus tahu apakah yang patut mereka lakukan. Jika kita lihat kesesakan berlaku, jangan hampiri tempat itu.

“Malangnya keadaan sebalik yang berlaku. Ia mengecewakan,” kata Subramaniam.

Azrul berkata, SOP Covid-19 sudah memadai untuk menghalang wabak tersebut, tetapi merujuk kepada aduan orang ramai berhubung tindakan longgar yang diambil terhadap orang kenamaan.

“Dengan orang kenamaan dan ahli politik terlepas daripada tindakan susulan amalan dwistandard dalam penguatkuasan, maka kredibiliti peraturan kesihatan awam juga terhakis.

“Orang ramai mula bersikap sinis terhadap SOP. Ini masalah besar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.