
Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun, mewakili NGO Undi Sarawak, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu di Mahkamah Tinggi Kuching semalam.
Mereka juga meminta deklarasi daripada mahkamah bahawa sebarang kelewatan pelaksanaan Akta Undi18 adalah satu bentuk penindasan kepada pengundi dan mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun secara sah dijangka boleh mengundi pada Julai sebagaimana dijanjikan.
SPR sebelum ni berkata, penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun tidak dapat dilaksanakan sehingga September 2022 berikutan beberapa isu akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan selepas itu berkata, SPR akan mengambil langkah segera bagi melaksanakan perubahan itu, diikuti perbincangan dengan Jemaah Menteri. Susulan itu, perkara itu dijangka dapat dilaksanakan akhir tahun ini.
Pada sidang media yang berlangsung dalam talian, seorang daripada lima pemohon terbabit, Ivan Alexander Ong berkata, pelaksanaan itu penting khususnya bagi belia di Sarawak kerana pilihan raya negeri dijadualkan berlangsung pada 7 Ogos selepas darurat ditamatkan.
“Akta Undi18 mesti dilaksanakan pada Julai tahun ini bagi memastikan golongan belia Sarawak boleh malaksanakan hak sebagai pengundi kali pertama ketika pilihan raya negeri berlangsung.
“Undi Sarawak berpegang teguh kepada kepercayaan kami bahawa belia berusia 18 hingga 20 tahun mempunyai hak dalam perlembagaan untuk mengundi. Perkara ini penting kerana Sarawak mempunyai kira-kira 125,000 hingga 135,000 belia dalam kategori usia itu.”
Katanya, walaupun maklum balas Takiyuddin dan Jemaah Menteri disambut baik, pihak berkuasa masih belum memperlihatkan tempoh masa konkrit bila pelaksanannya.
Simon Siah dari kumpulan peguam ‘Kamek for Change’ yang mewakili pemohon berkata pengurusan kes dijadualkan berlangsung 24 Mei ini.
Walaupun tidak banyak masa antara masa permohonan semakan itu dan tarikh pilihan raya negeri, Siah percaya mereka akan memperoleh hasil yang diinginkan.
“Tindakan tidak membenarkan belia mendaftar pada Julai terutama menjelang pilihan raya negeri, adalah penindasan pengundi khususnya pemohon, yang tidak akan sempat mendaftar untuk pilihan raya.
“Ini tidak dapat diterima dan kami percaya SPR melanggar hak pengundi muda ini yang mempunyai suara dalam menentukan masa depan negeri bagi lima tahun akan datang,” katanya.