2 ditahan, polis rampas ganja lebih 200kg

2 ditahan, polis rampas ganja lebih 200kg

Kedua-dua lelaki itu direman hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

PETALING JAYA:
Dua lelaki tempatan ditahan dan dadah lebih 202kg disyaki jenis ganja yang bernilai lebih RM506,000 dirampas menerusi beberapa serbuan di Kubang Pasu, Kedah dan Perlis Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Mohd Roze Shaari berkata, dalam serbuan pertama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah/Perlis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di depan sebuah pasar raya di Changlun pada 1.45 tengah hari.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah Proton Inspira menjumpai enam guni putih mengandungi 20 slab berbalut kertas kuning keemasan dan plastik lutsinar berisi mampatan daun kehijauan disyaki ganja dianggarkan 121,785g.

Beliau berkata, serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, kira-kira 3 petang menjumpai empat guni mengandungi 81 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dianggarkan 80,869g dalam bilik.

Katanya, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Melayu, Padang Besar, Perlis pada serbuan sebelah malam.

Siasatan awal mendapati suspek pertama ialah penganggur dengan tiga rekod lampau dan saringan air kencing menunjukkan positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, suspek kedua yang tidak bekerja dan tiada rekod jenayah, manakala saringan air kencing menunjukkan negatif dadah.

“Kedua-dua suspek direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dipetik Bernama pada sidang akhbar di Alor Setar, Kedah hari ini.

Selain ganja, beliau berkata, polis merampas sebuah kereta BMW dan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

Katanya, polis percaya suspek sudah lama terlibat dengan kegiatan jenayah itu dan dadah tersebut disyaki diseludup dari negara jiran untuk pasaran di Kedah serta Perlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.