Sarawak dikenakan PKP mulai Sabtu

Sarawak dikenakan PKP mulai Sabtu

Fasiliti kesihatan di negeri itu dalam keadaan kritikal, dengan 81 kes dalam ICU, menurut JPBN Sarawak.

SOP bagi PKP di Sarawak akan diumumkan di laman web MKN esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sarawak akan dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai Sabtu hingga 11 Jun, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Dalam kenyataan, JPBN Sarawak berkata, fasiliti kesihatan di negeri itu berada di paras kritikal, dengan 81 kes dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), 31 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP di Sarawak akan diumumkan di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

Negeri berkenaan telah berada bawah PKP bersyarat (PKPB) sejak 12 Mei lalu.

Sarawak mencatatkan 772 kes jangkitan hari ini, jumlah kes harian kedua tertinggi di negeri itu sejak bermulanya wabak Covid-19.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sarawak sebanyak 44,738, menurut JPBN.

Katanya, peningkatan kes harian yang ketara ini dikesan selepas sambutan Aidilfitri, yang melibatkan aktiviti berziarah, dengan 3,272 kes dilaporkan dalam tempoh 9 Mei hingga 15 Mei.

Sepanjang tahun ini, sebanyak 714 rumah panjang telah diletakkan bawah PKP diperketatkan (PKPD), dan perintah berkenaan masih berkuat kuasa di 98 rumah panjang.

“Mengambil kira situasi Covid-19 di Sarawak yang semakin meruncing, situasi fasiliti kesihatan yang kritikal, dan tambahan lagi dengan varian baharu (VOC) yang dikesan di Sarawak baru-baru ini, kita perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk mengawal jangkitan Covid-19 sekarang, sebelum kita berada di situasi yang lebih parah lagi,” katanya.

JPBN turut menasihatkan orang ramai, terutamanya mereka yang akan menyambut Hari Gawai pada hujung bulan ini, agar mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Sambutlah Gawai dengan ahli keluarga yang tinggal serumah sahaja atau di ‘bilik’ (Rumah Panjang) masing-masing atau menggunakan teknologi berhubung secara maya.

“Jangan balik rumah panjang atau kampung, duduk di rumah sahaja, jangan melakukan sebarang aktiviti ziarah atau ‘ngabang’, jangan berkumpul di suatu tempat atau ruai, usah menganjurkan aktiviti sabung ayam,” katanya.

Dengan pengumuman ini, setiap negeri dan wilayah persekutuan di negara ini, kecuali Sabah, akan berada bawah PKP mulai Sabtu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.