
Mesyuarat itu diadakan untuk membincangkan pembentukan kerajaan dan pelantikan perdana menteri baharu.
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah adalah yang pertama dilihat tiba memasuki pekarangan Istana Negara pada 1.55 tengah hari.
Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya, Sultan Perak sebelum ini menerima menghadap ketua parti politik daripada PKR, DAP, Amanah, Umno, PAS, Bersatu dan Pejuang kira-kira dua jam pada Selasa.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, Agong menitahkan kepada pemimpin politik supaya bekerjasama menangani pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi serta meninggalkan politik lama.
Sultan Abdullah kemudian menerima menghadap 114 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai perdana menteri.
Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin.