Zahid hadiahkan kemenangan PRN Johor kepada ‘bossku’

Zahid hadiahkan kemenangan PRN Johor kepada ‘bossku’

Zahid Hamidi memuji Najib Razak kerana mengharungi pelbagai kritikan dalam membantu BN mencapai kemenangan besar.

JOHOR BAHRU:
Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi, menghadiahkan kemenangan besar gabungan itu pada PRN Johor kepada ‘bossku’, Najib Razak, dalam ucapan pasca pilihan raya malam tadi.

“Saya nak ucap terima kasih kepada pengurus kempen kita, Najib. Walaupun beliau diasak bertubi-tubi, difitnah setinggi gunung, dan dihina seluruh negara, tapi semangat beliau tetap kental dan utuh.

“Beliau punyai ketahanan luar biasa. Kemenangan besar ini hadiah untuk ‘bossku’,” katanya.

Menerusi ucapannya, Zahid sekali lagi mengesahkan Hasni Mohamad yang baharu memenangi DUN Benut akan dinamakan sebagai calon menteri besar.

“Saya akan kemukakan nama Hasni agar mendapat perkenan Tuanku Sultan Johor untuk teruskan tugas menerajui Johor sebagai menteri besar,” katanya semasa berucap sempena kemenangan BN pada PRN Johor, di Pejabat Perhubungan Umno negeri.

Beliau juga berterima kasih kepada Sultan Johor kerana memberi perkenan membubarkan DUN Johor demi mengembalikan mandat kepada rakyat sebelum ini.

Katanya, beliau berharap dengan kemenangan BN di Johor tidak akan mengecewakan Sultan Johor dengan wujudnya kerajaan stabil.

Selepas 12 hari berkempen, BN menang 40 kerusi daripada 56 DUN, meskipun dicabar oleh gabungan besar Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, serta parti Dr Mahathir Mohamad, Pejuang.

Sementara itu, Zahid ditanya pemberita adakah Umno akan mendesak pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU15.

“Tidak, tidak, tidak, buat masa ini belum lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.