
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, RUU Kerja (Pindaan) 2021 gagal menghapuskan titik ambang gaji bulanan RM2,000 bagi mereka yang layak dilindungi oleh akta tersebut, dengan menjelaskan bahawa ini juga termasuk dalam draf pindaan pada 2018.
“Ini bermakna pekerja yang mendapat gaji melebihi RM2,000 tidak akan dilindungi oleh Akta Kerja yang dipinda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Memetik pendapatan pertengahan di Malaysia berjumlah RM2,062 pada 2020 mengikut angka Jabatan Perangkaan, Santiago berkata, dianggarkan hanya kira-kira separuh daripada 9.4 juta penerima gaji akan dilindungi oleh akta tersebut.

Beliau juga berkata, RUU itu akan menghapuskan peruntukan menjelaskan gangguan seksual, menyediakan perlindungan bersalin kepada semua pekerja tanpa mengira tahap gaji dan memberi kuasa kepada ketua pengarah Kementerian Sumber Manusia untuk menyiasat dan memutuskan pertikaian berkaitan gaji bagi pekerja yang berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan.
“Pindaan semasa juga tidak seperti cadangan awal dan gagal mengenal pasti asas diskriminasi merangkumi bahasa komprehensif termasuk alasan khusus seperti jantina, agama, bangsa, kecacatan, status perkahwinan, kehamilan, bahasa dan umur,” katanya.
Sebaliknya katanya, peruntukan itu digantikan dengan peruntukan am yang memberi kuasa kepada ketua pengarah untuk menyiasat dan memutuskan pertikaian berkaitan diskriminasi dan mengeluarkan arahan.
“Dengan kelemahan ini, kerajaan perlu meneliti semula pindaan terbabit atau ia hanya akan mempersendakan objektif awal rang undang-undang itu untuk menyelaraskan Akta Kerja dengan piawaian buruh antarabangsa,” katanya.