Apandi nafi jadi wakil Jho Low, cuma bantu atur mesyuarat dengan peguam negara

Apandi nafi jadi wakil Jho Low, cuma bantu atur mesyuarat dengan peguam negara

Bekas peguam negara itu berkata, beliau hanya bertindak mengatur pertemuan antara firma guaman antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat dengan kerajaan diwakili Idrus Harun.

Bekas peguam negara, Apandi Ali, menafikan menjadi wakil Jho Low, sebaliknya beliau dimohon firma guaman antarabangsa, Kobre & Kim dari Washington, Amerika Syarikat, meminta bantuannya mengatur mesyuarat dengan Jabatan Peguam Negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas peguam negara, Apandi Ali, menafikan beliau bukan wakil Jho Low, sebaliknya dihubungi firma guaman antarabangsa, Kobre & Kim dari Washington, Amerika Syarikat, yang memohon bantuannya mengatur mesyuarat dengan Jabatan Peguam Negara, pada akhir Mei.

Beliau mendakwa, perbincangan antara wakil Kobre & Kim dengan peguam negara sebagai mewakili kerajaan di Jabatan Peguam Negara, termasuk disertai pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat positif pada mulanya.

“Saya kemudian mengatur beberapa siri perjumpaan di mana wakil daripada Kobre & Kim datang ke Malaysia. Pada perjumpaan di Jabatan Peguam Negara itu, kerajaan diwakili peguam negara dan pegawainya serta pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tujuan perjumpaan itu adalah bagi berbincang untuk membawa balik dana yang didakwa diseleweng Jho Low daripada 1MDB. Selepas perjumpaan terbabit di mana pada waktu itu dilihat positif, ia kemudian dibatalkan oleh Jabatan Peguam Negara secara tiba-tiba atas alasan yang hanya diketahui mereka,” katanya menurut Berita Harian.

Hari ini, Peguam Negara Idrus Harun, dalam kenyataan, mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, melakukan tawaran penyelesaian kepada kerajaan.

Beliau menegaskan kesemua tawaran penyelesaian menerusi wakil Jho Low ditolak pihaknya.

“Jabatan Peguam Negara mengesahkan dalam tahun ini, Jho Low melalui wakilnya telah membuat percubaan untuk mendapatkan satu penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.

“Dalam percubaan ini, wakil Jho Low telah bertemu dengan beberapa agensi kerajaan Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara. Kesemua tawaran penyelesaian daripada wakil Jho Low telah ditolak Jabatan Peguam Negara,” kata kenyataan itu.

Dalam laporan The Edge yang memetik sumber, Jho Low, didakwa menawarkan kepada kerajaan RM1.5 bilion sebagai penyelesaian bagi pertuduhan mahkamah dikenakan terhadapnya.

Jho Low didakwa menyeleweng wang 1MDB berdepan saman USD3.78 bilion (kira-kira RM15.85 bilion) yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.