Bot sangkut di pokok nipah, 14 pelancong terkandas 4 jam

Bot sangkut di pokok nipah, 14 pelancong terkandas 4 jam

Bagaimanapun semua pelancong terbabit disahkan selamat dalam kejadian di Sungai Bolong, Tuaran itu.

Anggota bomba berjaya menyelamatkan 16 orang termasuk 14 pelancong Korea Selatan yang terkandas kira-kira 4 jam di Sungai Bolong, semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seramai 16 orang termasuk 14 pelancong Korea Selatan terkandas kira-kira empat jam selepas bot yang dinaiki tersangkut pada pokok nipah di Sungai Bolong, Tuaran malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam ketika bot terbabit membawa pelancong yang terdiri daripada sembilan wanita dan empat lelaki dewasa bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki serta dua jurupandu bot.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abd Qawie Abdul Gapar, berkata mereka menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.50 malam sebelum menghantar 10 anggota ke lokasi.

Katanya, tempat kejadian itu terletak sejauh tujuh kilometer dari BBP Tuaran.

“Kita memindahkan semua pelancong dan jurupandu bot ke tebing sungai menggunakan bot penduduk kampung sebelum menyerahkan kepada syarikat pelancongan bertangunggjawab untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Sinar Harian.

Abd Qawie berkata semua mangsa disahkan selamat.

“Operasi kemudiannya ditamatkan pada 12.57 tengah malam selepas bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.