Dana RM100 juta Mitra 2023 dimanfaat sepenuhnya, kata pengerusi

Dana RM100 juta Mitra 2023 dimanfaat sepenuhnya, kata pengerusi

R Ramanan berkata maklumat tentang penerima dana Mitra akan diterbitkan di laman sesawang demi ketelusan.

Pengerusi R Ramanan berkata Mitra menerajui program mengeluarkan isi rumah daripada kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat India di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM100 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pada 2023, kata pengerusinya, R Ramanan.

Ramanan berkata dana tersebut disalur ke beberapa inisiatif seperti subsidi pengajian ijazah sarjana muda, program pendidikan awal, dan bantuan dialisis.

Program lain termasuk inisiatif teknikal seperti pengoperasian dron Mitra, dan program lanjutan perkhidmatan data serta automasi dielektrikkan.

Mitra juga melaksanakan program pemberian laptop dibaik pulih kepada sekolah Tamil.

“Dalam semakan data sebelum ini, kita dapati hanya 35% (dana Mitra) dimanfaatkan pada 2016. Ia meningkta kepada 57% pada 2017, namun menurun ketara kepada 1% pada 2018.

“Selepas itu, penggunaan meningkat kepada 58% pada 2019, dan berterusan meningkat kepada 63% pada 2020 dan 73% pada 2021. Tahun lalu, 63% dana digunakan. Bagi 2023, kita mencapai kadar 100%,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, maklumat setiap penerima dana Mitra akan diterbitkan di laman sesawang unit itu demi ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Dalam pada itu, Mitra menerajui program mengeluarkan isi rumah daripada kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat India di Kuala Lumpur.

Inisiatif berkenaan bermula di Kuala Lumpur sebagai fasa pertama, dengan rancangan memperluaskan ia ke negeri lain secara berperingkat.

“Program dengan sokongan dana sebanyak RM8.24 juta mahu membantu kira-kira 1,800 isi rumah yang dikenalpasti menerusi sistem e-Kasih.

Ia sejajar dengan arahan perdana menteri untuk menumpukan pada mengurangkan kemiskinan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.