Kerajaan diminta ambil tindakan ahli politik, isteri babit rompakan berkumpulan

Kerajaan diminta ambil tindakan ahli politik, isteri babit rompakan berkumpulan

Ahli politik itu dikatakan ahli parti komponen dalam kerajaan perpaduan.

Lim Lip Eng (kanan) dan peguam Guok Ngek Seong dalam sidang media hari ini.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan seorang peguam menggesa Putrajaya mengambil tindakan terhadap seorang ahli politik dan isterinya atas dakwaan terbabit rompakan berkumpulan.

Lim dan Guok Ngek Seong, peguam mewakili mangsa – seorang warga China – berkata ahli politik itu bukan saja masih aktif, tetapi ahli parti dalam kerajaan perpaduan.

Mereka bagaimanapun enggan menamakan pasangan itu.

“Mangsa mahu peguam negara mengkaji kemungkinan mendakwa baki dua suspek memainkan peranan penting dalam kes itu,” kata Geok dalam sidang media hari ini.

Pada 13 Dis lalu, dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merompak seorang ahli perniagaan China dua tahun lalu.

Guok berkata, selepas siasatan, polis mengesyorkan untuk mendakwa pasangan itu bersama tiga lagi pegawai SPRM.

Katanya, semua lima suspek ditahan selepas laporan polis dibuat berhubung rompakan yang berlaku pada 10 Dis 2021.

“Mangsa mengucapkan terima kasih atas kecekapan tinggi polis dalam menyelesaikan kes itu dan menahan suspek.

“Tetapi, jika mereka (dua individu) yang bertanggungjawab tidak dihadapkan ke muka pengadilan, imej dan reputasi negara serta sistem keadilan mungkin terjejas.”

Guok berkata, dakwaan pembabitan pasangan itu jelas kerana pegawai SPRM tidak akan tahu wang di rumah mangsa tanpa maklumat.

Lim berkata, ini kali kedua beliau menerima aduan pegawai SPRM merompak ahli perniagaan di kondominium mewah.

Katanya, pelaku menggunakan alasan serbuan atau menyiasat kes untuk memasuki rumah mangsa sebelum merompak mereka.

Beliau mempersoalkan Jabatan Peguam Negara kenapa mengambil masa lama sebelum mendakwa tiga pegawai SPRM itu.

Katanya, kes itu hanya mula berjalan selepas beliau menulis surat kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said, manakala 30 surat lain yang ditulis kepada pelbagai pihak berkuasa sejak dua tahun lalu tidak mendapat respons positif.

“Kenapa ambil masa lama sangat? Jabatan Peguam Negara perlu memberi penjelasan kepada mangsa dan orang ramai berhubung kelewatan ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.