Bekas pengurus cemerlang restoran rayu bantuan akibat desakan hidup

Bekas pengurus cemerlang restoran rayu bantuan akibat desakan hidup

Alexander Maria Soosai, bekas pengurus Nicmass 1940-an di The Starling Mall, sangat memerlukan bantuan selepas hilang punca pendapatan.

Sebelum ini Alexander Maria Soosai (paling kanan) adalah pengurus sebuah restoran di Petaling Jaya yang berjaya. (Gambar Alexander Maria Soosai)
PETALING JAYA:
Bayangkan keadaan ini: Anda menjalani kehidupan selesa dengan pekerjaan yang disukai sehingga lupa apa itu rasa kekurangan.

Kemudian, tanpa diduga semua itu diragut oleh keadaan yang jauh di luar kawalan anda dan buat pertama kalinya sejak bertahun lama, makanan dan tempat tinggal bukan lagi sesuatu yang pasti dalam hidup anda.

Kedengarannya seperti satu mimpi ngeri, bukan? Malangnya, sejak setahun lalu, ia adalah kenyataan yang perlu dihadapi ramai rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik.

Pandemik Covid-19 dan perintah sekatan yang berlarutan telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Sekiranya anda keluar memandu di kawasan komersial berhampiran, jumlah kedai yang kini ditutup dengan gantungan papan tanda ‘untuk dijual’ agak mencemaskan.

Akibat ada saja perniagaan yang terpaksa gulung tikar setiap hari, pekerja terbiar, dan lazimnya gagal mendapat pekerjaan lain dalam masa yang singkat akibat waktu sukar ini.

Inilah nasib yang menimpa Alexander Maria Soosai, 58, seorang warga Petaling Jaya yang sedang berdepan kesukaran sejak beberapa bulan lalu.

Dalam ulasan mengenai restoran di Google, ramai pengunjung memuji layanan yang diberikan oleh Alexander dan anak buahnya. (Gambar Alexander Maria Soosai)

Kelibat Alexander sudah tidak asing lagi bagi penduduk Damansara Utama, kerana dia adalah bekas pengurus restoran Nicsmann 1940 di Starling Mall yang kini ditutup.

Seorang veteran dalam industri perkhidmatan sajian makanan, dia telah melayani pelanggan dengan senyuman sejak tahun 1980-an dan di bawah pengawasannya, tidak ada pelanggan yang pulang dengan perasaan tidak puas.

Walaupun Nicsmann telah ditutup, ulasannya di Google masih menjadi tatapan umum dan sebilangan besar mereka memuji Alexander dan pasukannya.

Seorang pelanggan Bryan Tan menulis, “Saya boleh katakan bahawa perkhidmatan di sini sangat bagus. Kami meminta untuk pindah ke luar untuk menikmati bir, tetapi Alexander menawarkan ruang persendirian sebagai ganti.

“Apa yang menarik, dia tidak mengenakan bayaran tambahan untuk ruang persendirian dan kami hanya menghabiskan minuman terakhir kami dengan selesa sebelum pergi,” tulis Bryan.

Ulasan oleh Yvonne Chean, berbunyi, “Terima kasih kepada pasukan anda untuk pengalaman yang cemerlang ini, terutama kepada Alex. Teruskan kecemerlangan!”

Memandangkan kebanyakan ulasan cenderung menumpu kepada kualiti makanan dan perkhidmatan, terutamanya Alexander yang sering dipuji kerana layanannya sudah pasti ia sesuatu yang sungguh bermakna.

Alexander (paling kanan) gemar melayan pelanggan dengan senyuman dan menyangka dapat bekerja dengan selesa sehingga bersara. (Gambar Alexander Maria Soosai)

Walaupun melayan pelanggan dengan setia dan cemerlang, Alexander tidak terlepas dari nasib malang pada pertengahan Mei tahun ini, apabila Nicsmann terpaksa ditutup, menyebabkan lelaki itu hilang mata pencarian.

Lebih malang lagi, isterinya, seorang pekerja runcit, turut hilang pekerjaan dan terpaksa menjaga anak lelaki mereka di Pulau Pinang, yang mempunyai anak kecil.

Buat masa ini, Alexander dan keluarganya bertahan dengan bantuan amal dan keikhlasan rakan-rakan serta orang asing, walaupun dia sendiri tidak pasti berapa lama lagi mereka dapat terus berteduh di rumah itu.

Walaupun sudah berumur, Alexander sanggup melakukan apa saja pekerjaan, namun jauh di sudut hatinya, dia masih teringin memberi pengalaman makanan yang terbaik kepada pelanggan.

“Saya suka berjumpa orang baru, berkomunikasi dengan mereka, memberi mereka perkhidmatan yang sewajarnya,” katanya kepada FMT.

“Pendek kata saya memang suka berinteraksi dengan orang ramai.”

Kelebihan pekerjaan inilah yang mendorongnya melakukan yang terbaik setiap hari, walaupun mental dan fizikalnya sangat letih.

Dan setelah menimba sedikit pengalaman bekerja di pejabat ketika muda, seruan sebenarnya adalah untuk bertemu dengan orang baru yang menarik setiap hari.

Malangnya, sebaik restoran itu ditutup akibat wabak, Alexander kehilangan pekerjaan dan sejak itu bergelut untuk meneruskan kehidupan. (Cecilia Cletus @ FMT Lifestyle)

Sebelum berdepan pandemik, mungkin ramai yang pernah melihat Alexander berdiri di pintu masuk Nicsmann, menyapa orang ramai dan mengundang mereka untuk makan di dalam.

Menurut Alexander, dia mampu menghabiskan masa sehingga empat jam, mundar-mandir di restoran tanpa rehat, berjalan sehingga 15,000 langkah sehari.

Sambil mengetepikan memori melayan pelanggan yang sukar, banyak kenangan manis di mana Alexander mampu menceriakan hari tetamunya.

“Ada seorang wanita yang lalu di premis kami ketika waktu makan tengah hari. Dia bertanya adakah kami menyediakan set makan tengah hari. Saya kata, kami ada, termasuk hidangan sup brokoli.

“Katanya, saya suka sup brokoli! Tapi saya sudah makan, jadi mungkin saya singgah lain kali’. Jadi saya kata, ‘Apa kata puan masuk dan saya jamu dengan sup brokoli memandangkan ia kegemaran puan,” kenangnya.

Walau wanita itu ragu-ragu pada mulanya, Alexander memutuskan untuk menghidangkan sup itu secara percuma sebelum pulang.

Beberapa minggu kemudian, wanita itu kembali bersama sekumpulan 30 rakan untuk makan di Nicsmann.

Satu komik yang dihasilkan seorang rakan memaparkan nasib Alexander mula tular di media sosial, menyebarkan kesedaran mengenai keadaannya. (Gambar Jon Tham)

Momen-momen seperti inilah yang menjadikan pekerjaannya yang cukup meletihkan amat bermakna, malah dia sanggup bertugas sehingga bersara sekiranya wabak ini tidak melanda negara.

“Selepas PKP pertama, kami buka sebentar, tetapi perniagaan tidak sama seperti sebelumnya,” kata Alexander.

“Dan PKP demi PKP yang dilaksanakan telah mempengaruhi perniagaan sedikit demi sedikit.”

Dia sanggup berkorban untuk membantu restoran itu bertahan termasuk gaji yang dipotong dan bekerja dengan kru yang paling minima.

Namun, segala usaha Alexander sia-sia, Nicsmann akhirnya terpaksa menghentikan operasinya pada bulan Mei, menyebabkan dia hilang punca pendapatan.

“Ia adalah satu tamparan hebat kerana saya fikir akan berada di sini beberapa tahun lagi, mungkin sehingga bersara,” keluh Alexander.

“PKP ini benar-benar menghancurkan rancangan dan impian saya.”

Dengan wang simpanan yang semakin menyusut, Alexander terpaksa bergelut untuk memastikan keluarganya bertahan sehingga terpaksa meminta bantuan Kempen Bendera Putih bagi mengelakkan keluarganya dari kelaparan.

Walaupun komik yang memaparkan pengalaman dan rayuannya mula tular di media sosial, Alexander masih memerlukan pekerjaan untuk kembali berdikari.

“Pekerjaan bukan sekadar kerjaya buat saya, sebaliknya satu kepuasan apabila pelanggan gembira dengan layanan dan makanan yang cemerlang,” kata Alexander.

Alexander dan keluarganya sedang berdepan kesukaran untuk membeli bahan makanan dan membayar sewa rumah mereka. Bantulah dengan menderma ke akaunnya (Maybank 107041033817) atau dengan menghubunginya di 013-3254491.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.